ISTIHSAN

ISTIHSAN : Dari segi bahasa ialah menganggap sesuatu itu baik atau sesuatu yang disukai oleh seseorang serta cenderung ke arahnya sekalipun dipandang buruk (tidak disukai) oleh orang lain.

Istihsan dari segi istilah pula dapat di bahagi kepada beberapa pandangan. Istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam tetapi ianya tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati. Oleh yang demikian, ulama berselisih pendapat tentang kehujahan Istihsan, ini kerana terdapat ulama yang menerima dan juga menolak Istihsan. Antara ulama yang menerima kehujahan Istihsan ialah ulama Hanafiah, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali. Manakala pula, antara ulama yang menolak kehujahan Istihsan ialah Imam Shafie dam ulama shafi’I serta sebahagian ulama Hanbali.

Ulama yang menerima Istihsan berpendapat bahawa Istihsan adalah salah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan awam. Manakala pula, menurut sebahagian ulama yang menolak kehujahan Istihsan, jika Istihsan dibenarkan ini boleh membuka jalan ke arah penggunaan akal fikiran tanpa sekatan yang mana ia terdedah kepada kesilapan dalam menetapkan hukum. Hal ini kerana hukum akan dibuat berdasarkan nafsu dan fikiran, sedangkan yang berhak membuat hukum adalah Allah s.w.t.


Menurut Mazhab Hanafi :
terdapat dua pengertian iaitu :

1) Qiyas yang tersembunyi illahnya kerana halusnya atau jauhnya dari ingatan hati lagi berlaku didalam keadaan menentang Qiyas yang jelas illahnya kerana bersegeranya kepada ingatan hati pada peringkat permulaan.

2) Dikecualikan masalah sempurna daripada konsep menyeluruh atau kaedah umum kerana ada dalil khusus yang mengkehendaki pengecualian itu sama ada dalil khusus itu terdiri daripada nas atau keadaan yang memaksa (darurat) atau uruf atau kepentingan (maslahat) atau lainnya.


Menurut Mazhab Maliki:

Mengutamakan tinggal sesuatu dalil dan membolehkan menyalahinya kerana ada dalil lain menentang sebahagian daripada kehendaknya.


Menurut Mazhab Hanafi :

Berpaling didalam menghukum sesuatu masalah daripada masalah-masalah yang sebanding dengannya kerana ada dalil yang khusus terdiri dari Al-Quran atau Sunnah.

Menurut Mazhab Shafie :
Sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh mujtahid.
Para ulamak mentakrifkan Istihsan sebagai beralih dari Qiyas jaliy kepada Qiyas khafiy atau mengecualikan masalah juz’iyyah dari asal yang kulliy atau kaedah yang umum berdasarkan kepada dalil yang menyebabkan peralihan ini. Antara ciri-ciri Istihsan ialah beralih dari menggunakan Qiyas jaliy kepada menggunakan Qiyas khafiy berdasarkan dalil tertentu. Selain itu juga,cirri Istihsan ialah menggunakan sesuatu masalah dari asal atau kaedah yang umum berdasarkan kepada dalil tertentu.
Secara rumusannya Istihsan adalah beralih daripada hukum yang diistinbatkan melalui Qiyas jaliy kepada hukum yang dikeluarkan melalui Qiyas khafiy atau pengecualian satu-satu masalah juz’iyyah daripada kaedah yang berbentuk kulliy kerana terdapat dalil lain yang lebih disenangi oleh seseorang mujtahid untuk berbuat demikian.


SEJARAH PERKEMBANGAN SUMBER ISTIHSAN

Sebelum Abu Hanifah menggunakan istilah istihsan, ulama-ulama sebelumnya telah menggunakan istilah ini. Iyas ibn Mu’awiyah seorang hakim dalam pemerintahan Umaiyah pernah berkata:

“tidaklah saya menemukan qadhi, melainkan apa yang dipandang baik manusia”.

Sesudah Abu Hanifah menjadi seorang mujtahid dan ahli falsafah dalam bidang hukum, istilah istihsan sering digunakan sehingga penggunaannya hampir sama dengan qiyas. Umpamanya Abu Hanifah berkata:

“qiyas memutuskan begini, sedang istihsan memutuskan begitu. Kami mengambil istihsan. Qiyas memutuskan begini, akan tetapi kami beristisan, andaikata tidak ada riwayat tentulah saya menggunakan qiyas. Kami menetapkan demikian dengan jalan istihsan, tidak bersesuaian dengan qiyas”.

Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang ahli hukum yang amat pandai menggunakan sumber istihsan dan banyak merujuk masalah-masalah berdasarkan sumber istihsan. Imam Abu Hanifah hampir-hampir digelar ‘imam Istihsan’ sebagaimana beliau digelar imam ahlul ra’yi.

Muhammad Ibnul Hasan, salah seorang murid Imam Abu Hanifah telah berkata:

“adalah Abu Hanifah telah berdiskusi dengan sahabat-sahabatnya tentang qiyas. Mereka dapat membantahnya. Tetapi apabila Abu Hanifah mengatakan: saya beristihsan, tidak ada lagi orang yang menandinginya kerana banyak dalil-dalil yang dikemukakan tentang istihsan dalam pelbagai masalah”.

Kemudian murid-muridnya yang mencapai darjat ijtihad mengikut jejak Abu Hanifah. Maka telah timbul banyak masalah berdasarkan istihsan sehingga mereka memberi pengertian bahawa istihsan itu merupakan satu dalil hukum dan para mujtahid harus mengetahuinya. Muhammad Ibnul Hasan berpendapat bahawa mengetahui masalah-masalah istihsan adalah syarat untuk berijtihad.

Muhammad Ibnul Hasan berkata:

“mengetahui masalah-masalah istihsan menurut para fuqaha adalah salah satu syarat ijtihad, sama dengan mengetahui dalil-dalil yang lain”.

Imam Abu Hanifah sendiri berkata:

“barang siapa mengetahui Al-kitab dan As-sunnah, pendapat para sahabat Rasulullah dan apa yang diistihsankan oleh para para fuqaha, dapatlah dia berijtihad terhadap hal-hal yang dihadapinya dan dia menjalankan yang demikian itu terhadap solatnya, puasanya, hajinya dan segala yang disuruh dan yang dilarang. Maka apabila dia berijtihad dan berqiyas kepada yang menyerupainya dapatlah dia beramal dengan yang demikian walaupun dia salah dalam ijtihadnya”.

Abu Hanifah sendiri tidak menegaskan definisi istihsan itu, dari pendapatnya, istihsan digunakan sebagai dalil-dalil hukum yang digunakan untuk menentang qiyas dan menguatkan istihsan itu bila ia bertentangan dengan qiyas. Maksud istihsan adalah tidak terang, terkecuali pada beberapa masalah yang merupakan hadis atau athar.

Beliau sering berkata:

“Andaikata tidak ada athar, tentulah saya berpegang pada qiyas. Andaikata tidak ada riwayat, tentulah saya berpegang pada qiyas.”

Tidak boleh dikatakan bahawa Abu Hanifah, Malik, dan sahabat-sahabat beristihsan tanpa menggunakan dalil-dalil yang syarak, tetapi sebenarnya mereka tidak menerangkan dalil-dalil yang telah mereka maksudkan, dan yang sebenarnya mereka kehendaki dengan pendapat itu. Hal ini tidaklah begitu menghairankan, kerana masa itu belum lagi terjadi masa pentakrifan istilah-istilah baru. Masa itu adalah masa ijtihad dan mereka itu diakui oleh masyarakat sebagai ahli-ahli ijtihad. Imam Syafie menyerang dengan amat tajam bila beliau mendengar pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah menggunakan istihsan ketika berdiskusi dengan beliau tanpa menerangkan maksud istilah itu.

Mungkin pendebat-pendebat Imam Abu Hanifah menggunakan istilah istihsan tanpa mengetahui sesuatu dalil kerana mereka bertaklid kepada imam-imam mereka. Apabila Imam Syafie bertanya kepada mereka tentang hakikat istihsan, mereka tidak dapat menjawabnya. Imam Syafie membantah orang-orang yang sering menggunakan kata-kata ijmak untuk dijadikan dalil mereka tanpa mereka menyebut dasar pegangan mereka itu. Pendapat-pendapat Imam Syafie, baik dalam Ar Risalah mahupun Al Umm tegas mengatakan bahawa istihsan tanpa dalil tidak dapat diterima bahkan haram dilakukan.


Dalam Ar Risalah Imam Syafie berkata:

“sesungguhnya haram atas seseorang menetapkan sesuatu dengan jalan istihsan, apabila istihsan itu menyalahi hadis. Dan tidak boleh lagi seseorang mengatakan: ‘saya beristihsan tidak menggunakan qiyas’. Andaikata kita boleh mengenepikan qiyas, bolehlah bagi ahli-ahli akal dari orang yang tidak mempunyai ilmu mengatakan sesuatu yang tidak ada hadis terhadapnya dengan menggunakan dasar istihsan. Istihsan itu sebenarnya hanya mencari enak sahaja”.

Dalam kitab Ibtal al-Istihsan, Imam Syafie menerangkan dalil-dalil yang menegaskan bahawa para mufti tidak boleh berfatwa dengan istihsan, kerana kalu berfatwa dengan istihsan bererti dia telah menyimpang dari Al-Quran dan Sunnah, al-ijmak dan qiyas. Dan bererti dia mengikuti pendapatnya sendiri.

Dalam masalah ini Daud Ibn Ali menyetujui pendapat Imam Syafie, sebagaimana ulama -ulama Hanbaliyah menyetujui fahaman Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Dalam kitab Risalah Al Usul, Daud menegaskan:

“Sesungguhnya menetapkan sesuatu dengan qiyas tidak wajib, dan menggunakan istihsan tidak boleh”.

Shafiyuddin Al Baghdadi dalam kitabnya Qawa’idal Usul dan Ibnu Qadamah Al Maqdisi dalam kitabnya Raudhatun Nazhir menyatakan bahawa Imam Ahmad ibn Hanbal bersetuju dengan pandangan Imam Abu Hanifah dalam masalah ini.

Demikianlah perkembangan dalam fasa pertama tentang kedudukan istihsan. Satu pihak menggunakan istihsan untuk sesuatu hukum yang mereka kehendaki walaupun mereka belum dapat menernagkan hakikat sebenar istihsan dan satu pihak yang lain menolak dari menggunakan istihsan dengan alasan bahawa istihsan adalah menurut fikiran semata-mata.

Sesudah masa membuat dalil bagi dasar-dasar yang digunakan selepas zaman Imam Syafie, barulah tokoh-tokoh fiqh mazhab Hanafi membuat pentakrifan istihsan dan menerangkan hakikat yang sebenarnya yang mereka ungkapkan dari cabang-cabang hukum yang dinukilkan daripada imam. Namun demikian, pentakrifan yang telah dibuat masih tidak dapat melepaskan istihsan dari arena perselisihan.


CONTOH ISTIHSAN ULAMAK HANAFI

Antara contoh penggunaan istihsan menurut ulamak Hanafiah terbahagi kepada dua iaitu:

1) Istihsan yang dalilnya qiyas khafiy

2) Istihsan yang pemgecualian dalilnya adalah maslahah


Istihsan Yang Dalilnya Qiyas Khafiy.

Contohnya adalah seperti berikut :

i.  Wanita berhaid harus membaca Al-Quran berdasarkan istihsan dan haram berdasarkan al-Qiyas. Pengharamannya berdasarkan kepada al-Qiyas, kerana ianya di qiyaskan dengan orang yang berjima’ yang mana Illah ( sebabnya) sama iaitu kedua-duanya sama dalam keadaan tidak suci dan diharamkan membaca al-Quran. Walaubagaimanapun, hukumnya adalah harus bagi seorang perempuan yang dalam keadaan haid untuk membaca Al-Quran berdasarkan istihsan. Ini kerana haid dan berjima’ tidak sama dari sudut waktu. Masa haid lama manakala masa berjima’ adalah sekejap. Oleh itu wanita yang dalam keadaan haid diharuskan membaca Al-Quran, jika tidak beerti dalam tempoh haid yang lama itu ia tidak dapat beibadat dengan membaca Al-Quran, sedangkan lelaki dapat membacanya sepanjang masa.

ii. Menurut ulama’ Hanafiah dan menurut al-Qiyas terang ( jaliy ), sisa burung helang adalah najis dan haram, kerana ia diqiyaskan dengan sisa binatang buas yang lain, seperti harimau dan serigala. Berdasarkan dagingnya haram dimakan. Menurut Istihsan pula, sisa burung helang dan burung penyambar yang lain tidak najis, kerana binatang tersebut makan dan minum menggunakan paruh dan ia adalah suci apabila diqiyaskan dengan mulut manusia yang bersih. Oleh itu, walaupun dagingnya haram dimakan tetapi air liur yang keluar daripada dagingnya tidak bercampur dengan sisa makanan yang dimakannya kerana ia minum dengan menggunakan paruh bukan lidah.Walaubagaimanapun, sisa binatang buas tetap haram menurut istihsan dan al-Qiyas kerana ia minum dengan menggunakan lidah yang bercampur dengan air liur yang najis.


Istihsan Yang Pengecualian Dalilnya Adalah Maslahah.

Contohnya adalah seperti berikut :

i. Hukum syarak menegah melakukan akad atau jual beli terhadap barangan yang tidak ada waktu akad. Berdasarkan Istihsan, harus akad pada jual beli saham, sewa menyewa, upah mengupah atau membuat tempahan atau semua bentuk urusan barangan yang tiada pada waktu akad. Hujah dan alasan penggunaan istihsan adalah kerana manusia memerlukan dan sudah menjadi kebiasaan mereka menjalankan urusan dengan cara tersebut.

ii. Ulamak menetapkan orang bodoh ( safih ) tidak sah tasarruf atau tabarrru’ yang berkaitan dengan harta milik mereka. Namun begitu, istihsan mengharuskan dan mengecualikan mereka tasarruf dengan mewakafkan harta untuk diri mereka sewaktu mereka hidup. Penggunaan Istihsan ialah atas dasar menjaga harta mereka daripada habis dan dibelanjakan dengan sia-sia.


BAHAGIAN-BAHAGIAN ISTIHSAN.

Istihsan Dengan Nas

Istihsan dengan nas bermaksud perkara pada setiap masalah yang menunjukkan hukum yang bertentangan dan berbeza dengan kaedah yang ditetapkan yang mempunyai nas daripada Allah SWT.
Dengan kata lain, istihsan ialah suatu nas khusus yang khusus daripada Allah SWT tentang juzuk tertentu hingga hukumnya bertentangan atau berbeza daripada hukum asal walaupun pada masalah yang sama yang sabit dan ianya menjadi kaedah umum.
Contohnya Puasa tidak batal apabila makan  secara tidak sengaja disebabkan lupa. Menurut kaedah umum dan al-Qiyas, puasa seseorang batal kerana ia tidak menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Namun hukum itu dikecualikan daripada kaedah umum berdasarkan hadis Baginda saw :

من اكل او شرب ناسيا فلا يفطر فانما هو رزق رزقا الله
Ertinya:

Barang siapa yang terlupa sedangkan ia berpuasa lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia menyempunakan puasanya. Sesungguhnya Allah memberi makan dan minum kepadanya. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dan At-Tarmizi dan Abu Daud dan Ibnu Majah)

Contoh lain adalah jual beli salam. Rasulullah saw melarang jual beli yang tidak ada di tempat ketika akad. Dalil nasnya :
من اسلف منكم فليسلف في كيل معلوم ووزن معلوم الى اجل معلوم

Istihsan Dengan Ijmak

Istihsan dengan ijmak ialah suatu peralihan daripada hukum pada satu-satu masalah yang telah menjadi kaedah umum kepada hukum yang diistinbat melalui ijmak. Ia terhasil setelah ulama’ mujtahid berfatwa tentang sesuatu masalah yang berlawanan dengan kaedah umum mengenai masalah yang serupa dengannya.

Dalam keadaan lain, para mujtahid berdiam diri dan tidak mengingkarkan apa yang dilakukan oleh masyarakat, yang mana ia bertentangan dengan kaedah umum yang ditetapkan. Sebagai contoh, tidak sah jual salam jika diqiyaskan kepada akad jual beli, kerana benda yang diakadkan belim wujud ketika akad. Oleh kerana jual salam adalah baik dan perlu dalam masyarakat , maka ulama’ mengira baik dan harus. Contoh lain adalah bayaran menggunakan bilik air dan al-istisna’.

Istihsan Berdasarkan Uruf

Hal tersebut berlaku pada masalah yang menjadi amalan dan kebiasaan masyarakat dan ia bertentangan dengan kaedah umum.Contohnya, menurut fiqh mazhab Hanafi,antara prinsip umum harta wakaf hendaklah berkekalan.Berdasarkan prinsip ini,maka tidak harus mewakafkan harta yang mudah dipindahkan kerana ia menunjukkan tidak berkekalan.Sebaliknya,Imam Muhammad bin Hassan dari mazhab Hanafi mengharuskan wakaf sama ada harta yang mudah dipindahkan kerana ia menjadi kebiasaan atau adat masyarakat mewakafkannya seperti buku-buku.Ia dibolehkan atas dasar istihsan yang menyalahi prinsip umum dan pegangan Imam Abu Hanafiah sendiri.

Istihsan Berdasarkan Maslahah

Antara contoh penggunaan istihsan ini ialah mengikut prinsip umum,tidak harus diberikan zakat kepada Bani Hasyim.Tetapi sebaliknya Abu Hanifah mengharuskan memberi zakat kepada mereka dizaman beliau berdasarkan istihsan.Iaitu untuk menjaga kepentingan mereka daripada diabaikan.

Istihsan Berdasarkan Darurat

Antara contoh permasalahan:Membersihkan perigi bernajis.Mengikut kaedah umum atau al-Qiyas,perigi tersebut tidak akan bersih walaupun ditimba sebahagian atau semua air dalamnya.Hal tersebut kerana,menimba sebahagian

air di dalamnya tidak memberi kesan atau tidak menyebabkan baki air yang ada itu bersih.Begitu juga jika ditimba semua air pun tidak akan membersihkan air yang baru keluar dari mata air dalam perigi tersebut.Justeru itu,air dalam perigi tersebut diharamkan bersih atau tidak akan bersih walaupun ditimba semua air bernajis.Oleh itu diharuskan mengambil air dari perigi tersebut kerana darurat dan diperlukan.

Istihsan Berdasarkan Qiyas al-Khafiyy

Keadaan ini berlaku terhadap masalah yang mana bercamtum di antara dua qiyas.Di mana salah satu jelas illahnya dan satu lagi tidak jelas illahnya.Istihsan jenis ini ialah dengan mengeluarkan hukum berasaskan qiyas yang tidak nyata.


PENUTUP

Apabila dikaji dan diteliti pengertian yang diberikan oleh ulamak Hanafi dan Imam Malik, penggunaan Istihsan menurut pendapat mereka bukanlah berdasarkan akal dan nafsu semata akan tetapi masing-masing berdasarkan dalil-dalil syarak juga.

Apabila diteliti pengertian istihsan menurut Imam Syafie pula adalah berlainan dengan pengertian yang diberikan oleh ulamak Hanafi dan Imam Malik. Dimana Imam Syafie menggambarkan penggunaan istihsan dengan berpandukan akal semata-mata, tanpa dalil syarak, oleh sebab itula beliau menolak berhujah dengannya.

Disini dapat dirumuskan bahawa perselisihan di antara ulamak mujtahid dan imam mazhab tersebut mengenai kehujahan istihsan merupakan perselisihan dari segi lafaz sahaja. Hal ini terjadi disebabkan tidak sama pengertian yang diberikan. Sebenarnya antara mereka tiada perselisihan, kerana matlamat mereka adalah satu iaitu membawa kebaikan untuk masyarakat, agama dan membawa kebenaran serta berhati-hati dan teliti dalam mengeluarkan hukum.

..Kertas Kerja Pelajar UKM Jabatan syariah Fakulti Pengajian Islam 2009

RUJUKAN : Abdul Karim Zaidan..الوجيز في اصول الفقه.Labenon: Resalah Public. 2006 Abd.Latif Muda,Rosmawati Ali@Mat Zin, Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd. 1997. Abdul Wahhab Khallaf. Sumber-sumber hukum islam.Bandung Risalah. 1984. Amir Husin Mohd Nor.. Falsafah Perundangan Islam.Mahzum Book Services. 2002. Hj Hassan bin Hj Ahmad. Usul Fiqh.Hamid Bhd. 1998. Mohd Nasran Mohamad, Anwar Fakhri Omar, Mohd Zamri Muda, Mohammad Zaini Yahaya. Metodologi Fiqh.Bangi: Universiti Kebangsaan. 2001.



No comments: