Imam Nawawi : Namanya ialah Mahyuddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Dilahirkan di Nawi, ( ) dalam wilayah Damsyik, Syam, pada bulan Muharram 637 Hijrah bersamaan 1233 masehi dan wafat pada tahun 676H ketika berusia 38 tahun. (Rujuk Matan al-Arba’iin: Mustapha Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1987)
Setengah berpendapat beliau dilahir pada tahun 618H dan wafat pada tahun 667 dalam usia 48 tahun. Pernah ditugaskan sebagai Pengasuh Darul Hadits Ash-Shalihiyah.
Ilmunya : di dapati dari hasil usahanya yang sungguh-sungguh. Beliau mulai menghafaz al-Qur’an sejak kecil lagi. Pada tahun 649 Hijrah semasa usianya baru dalam lingkungan sembilan belas tahun, beliau datang ke kota Damsyik untuk belajar, lalu mendiami di sebuah perkuburan yang bernama al-Rawahiyah (madrasah al-Rawahiyah) dengan mendapat perbelanjaan dari perkuburan tersebut.
Perhatiannya semasa belajar ditumpukan usaha mencapai ilmu pengetahuan segala bidang dan jurusan. Mulanya di hafal kitab fekah bernama at-Tanbih ( ) dalam tempoh 4 bulan setengah, di samping itu dihafalnya kitab al-Muhazzab ( ) bahagian ibadat.
Semasa dalam pelajaran, beliau tidak pernah membaringkan diri ditempat tidur kerana terlalu sibuk dengan pelajaran. Setiap hari beliau mempelajarai sebanyak 12 matapelajaran dalam berbagai jurusan ilmu agama.
Di antara guru-gurunya ialah, mahaguru Abdul Aziz bin Muhammad al-Ansari, Zainal Abidin bin Abdud Da’im, Zainuddin Khalaq bin Yusuf, taqiyuddin bin Abi al-Yasar, Jamaluddin as-Sairafi, Syamsuddin bin Abi Umar, Ibu Ishaq Ibrahim bin Isa al-Maradi, Ali al-Qadhi at-taflisi, Kamal Ishaq al-Mu’arri, Syamsudin Abdur Rahman bin Nuh dan ‘Izzuz Zin Umar bin Saad al-Arabali.
Penulisan dan Karangannya
Karangannya adalah banyak, di antaranya yang terkenal ialah ;
1. Syarah Sahih Muslim ( ),
2. Riadhus Salihiin ( ),
3. Al-Adzkar an-Naawawiyyah ( ),
4. At-Tibyaan Fi Adabil Jumlatil Qur’an ( ),
5. Al-Irsyaad Wat Taqrib Fi Uluumil Qur’an( ),
6. Al-Idhah Fi Manaasikil Hajji ( ),
7. Syarhul Muhadzaab ( ),
tak sempat diselesaikan wafat.
8. Ar-Raudhah ( ),
9. Tahziibul Asma’ wal Lughaat ( ),
10. Al-Manhaj ( ),
11. Matan Al-Arba’in ( ).
Di antara kitab itu ada yang digunakan dalam pengajian agama, terutamanya kitab Syarah Sahih Muslim (bahagian hadits), Al-Manhaj (Bahagian Fiqh) dan Matan al-Arba’iin (bahagian Hadits).
Kehidupannya sehari-hari, adalah sekadar memelihara kesihatan badannya. Makan minumnya sehari semalam hanya sekali. Masanya selama 24 jam digunakan sebahagian besarnya kepada bakti dan khidmat suci terhadap penyebara dan perkembangan ilmu pengetahuan agama Islam.
Pendek kata, beliau tidak sangat menghiraukan soal makanan, minuman dan pakaian serta perhiasan; apa sahaja yang ada memadailah. Dan beliau tidak berapa suka kepada makan buah-buahan kerana mengelak daripada mengantuk yang mengganggu tugasnya sehari-hari. Juga tidak gemar memakai pakaian yang menampakkan kemegahan, bagi beliau cukuplah pakaian yang kasar sahaja.
Keperibadiannya adalah penuh dengan takwa menurut ertikata yang sepenuhnya, waraknya dan kebersihan jiwanya. Sebagai seorang ulama’ amatlah suka ditemui. Ada riwayat yang mengatakan bahawa bahawa keengganan beliau memakan sebarang jenis buah-buahan bukan sahaja kerana mengelak daripada mengantuk, tetapi adalah juga kerana buah-buahan di Damsyik waktu itu dianggapnya lebih banyak mengandungi syubhat.
Beliau semasa hidup tidak pernah lupa daripada kewajipan menyebarkan ilmu dengan mengajar dan mengarang di samping beribadat, berpuasa, berzikit di tengah-tengah suasana hidup yang seba kurang. Hingga penuhlah hidupnya dengan usaha dan amal salih terhadap agama, masyarakat dan umat.
Imam Nawawi pernah diusir dari Syam akibat fatwanya yang tidak menyenangkan hati Sultan Al-Malik Al-Zahir. Imam Nawawi bukanlah sebagai seorang ulama’ yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja atau ulama’ yang merasa bahagia dengan ketinggian ilmunya, tetapi tidak berani menghadapi masyarakat sekeliling dengan petunjuk dan nasihatnya. Imam Nawawi bukanlah dari golongan ulama’ yang mencari keuntungan dengan ilmu, dengan membiarkan masyarakat umat di dalam kejahilan dan asyik dalam hiburan. Beliau memimpin umat; bukan umat memimpin beliau. Beliau menfatwakan kebenaran dengan tidak pandang kepada sesiapapun juga, walaupun akibatnya merugikan kedudukannya. Kerana inilah tugas ulama’ yang dikatakan Warasatul Anbiya’ ( ), iaitu mempusakai ajaran nabi dan menyampaikannya.
Imam Nawawi selama hidupnya telah banyak menulis dan mengarang, mengajar dan menasihat. Kegiatannya dalam bidang ini meletakkan peribadinya lebih terkemuka dan lebih dikagumi; terkemuka kerana kebenaran, dikagumi kerana kejujurannya. Beliau dalam tugasnya sebagai seorang ulama’ tidak membataskan ajaran dan nasihat dalam limngkungan para pengikut atau terhad dalam ruangan majlis pengajaran sahaja, tetapi meliputi ke seluruh masyarakat. Sedang pandagan hidupnya pun tidak sahaja ditumpukan di seditar pengajaran agama, tetapi ditinjaukannya ke arah masyarakat, sebab Islam baginya adalah menyeluruhi atau meliputi segala segi kehidupan. Islam menurut falsafahnya adalah seluruh hidup, tidak bercerai dan berpisah dari hidup.
Kerana ini, beliau selalu menyampaikan nasihatnya secara peribadi dan menulis beberapa pucuk surat kepada baginda Sultan Al-Malik Al-Zahir yang berdaulat di kala itu untuk menasihati baginda dalam urusan masyarakat kaum muslimin seluruhnya demi kepentingan negara.
Menurut riwayat, beliau pernah menulis kepada baginda menerangkan keadaan suasana negeri syam pada masa itu, yang awalnya disifatkan sebagai amat mengancam keselamatan rakyat akibat kesempitan hidup dan membumbung tinggi harga barang-barang. Di samping itu diterangkan pandangan dan pendapat secara ikhlas untuk segera bertindak bagi mengatasi keadaan itu. Tetapi amat disayangi, tulisannya yang ikhlas itu tidak dilayani baginda, malah dipandannya beliau seorang ulama’ yang suka mencampuri urusannya dan kerana ini beliau dianggap seorang yang tidak diingini. Sikap baginda itu tidaklah mencemaskan beliau, kerana hidupnya tidak mengharapkan sebarang kurnia daripada baginda. Apa yang akan terjadi akibat fatwanya adalah kerana sudah sewajarnya, kerana kebenaran dengan kebatilan adalah dua hal yang bertentangan.
Tidak beberapa lama kemudian, beliau menulis pula sepucuk surat kepada baginda, yang berisi kata-kata yang keras tetapi tegas. Surat ini bertalian dengan permintaan baginda mengenai fatwa bagaimana hukumnya mengambil harta rakyat untuk kepentingan negara yang sedang terancam oleh musuh.
Menurut riwayat bahawa apabila baginda sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tartar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama’-ulma’ yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.
Ketegasan Imam Nawawi
Ulama’ fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah: Masih adakah lagi orang lain?. Masih ada, iaitu al-Syeikh Mahyud Din An-Nawawi. Demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.
Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama’ fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu membri fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: Apakah sebab beliau enggan?. Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keengganan memfatwakan sama seperti fatwa para ulama’. Kerana beliau sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahawa baginda raja dahulunya adalah seorang tawanan perang, tidak ada sebarang hartabenda, tetapi pertolongan Allah (S.W.T.) telah dilimpahkan kurniaNya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja”.
“Ampun tuanku!”.
“ Adalah patik telah mendengar bahawasanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas, manakala dua ratus orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing. Mempunyai barang perhisan yang bernilai”.
“Andaikata tuanku sendiri membelanjakan semua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang iaitu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat”.
Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaan sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepada beliau kerana fatwanya yang amat menggemparkan, sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima sahaja perintah pengusiran itu dengan girang hati. Lalu beliaupun keluar ke Nawi (tempat kelahiran beliau). Para ulama’ syam telah berusaha menjemput beliau balik ke damsyik tetapi beliau enggan sambil berkata: “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa”.
Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama’ yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai.
Keberanian Imam Nawawi menegak suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama’, di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu yang benar menurut hukum walaupun kepada sesiapa juga, dan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi oleh seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.
Kewafatan
Wafat Imam Nawawi pada 24 Rajab tahun 676 Hijrah bersamaan 1277 Masehi dan di makamkan di sama, setelah sekian lama hidup dengan membujang, tidak beristeri, di tengah-tengah suasana masyarakat Damsyik dan telah berjaya menyumbangkan tenaga, fikiran dan ilmunya kepada agama Islam dan umatnya.
No comments:
Post a Comment