Janabah

Atau disebut mandi junub, iaitu mandi yang wajib dilakukan beserta dengan niat yang tertentu dan wajibnya kerana sebab-sebab tertentu. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Ma’idah: ayat 6.
Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau Dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu Yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu Dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur”.

Di antara sebab diwajibkan mandi janabah ada enam perkara antaranya;

  1. Bersetubuh atau Jima’; dalil daripada Amir bin Syu’aib, ia berkata, Rasulullah (S.A.W.) pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila dua khitan telah bertemu dan hasyafah (Lihat Hasyafah) telah tertutup (lenyap), maka sesungguhnya wajib mandi”. Walaupun tidak keluar mani, atau tersalah masuk, atau termimpi, atau dipaksa, atau dalam keadaan tidak sedar.
  2. Keluar Mani dengan sebab bermimpi atau dengan sebab syahwat walau setitik sekalipun. Dalil daripada hadith yang diriwayatkan dari A’isyah bahawasanya seorang perempuan berkata kepada Rasulullah (S.A.W.):”Apakah wajib mandi apabila ia telah bermimpi dan melihat akan air”. Jawab Rasulullah (S.A.W.): “Ya”.
  3. Keluar darah Haid.
  4. Keluar darah Nifas.
  5. Wiladah (walau tidak basah sekalipun).
  6. Mati, yakni mati seseorang Islam bukan dianggap mati syahid.
Kefardhuan mandi janabah dua perkara, iaitu:

  • Niat dan meratakan air keseluruh badan. Niat mandi janabah, iaitu : Sahaja aku mengangkat hadas besar (mandi wajib/mandi junub/mandi janabah) wajib atasku kerana Allah taala.

    Kalau perempuan yang mandi kerana mandi keringnya haid atau nifas maka ia hendaklah ditentukan kepada sebab-sebab berkenaan.
  • Menyampaikan air keseluruh anggota badan, rambut, kulit dan celah-celah rongga badan yang nyata, kecuali rambut atau bulu badan yang amat lebat sehingga sukar untuk menyampai air. Wajib disampaikan air ke bawah rambut atau bulu badan yang jarang (tak lebat). Bagi lelaki yang belum berkhatan hendaklah disampaikan air sehingga ke dalam khuluf begitu juga bagi perempuan sehingga kepermukaan faraj. Bagi perempuan hendaklah dia duduk mencangkung apabila mandi untuk menyampaikan air ke bahagian zahir dari farajnya.

No comments: