Marhalah

Dua Marhalah : Ukuran jarak jauh perjalan dalam musafir. Ukuran ini adalah sebagai syarat sah bagi seseorang yang bermusafir melakukan solat jamak dan qasar; samada jamak taqdim atau jamak ta’akhir. Juga menjadi ukuran penting untuk diharuskan meninggalkan puasa ramadhan bagi mereka yang berpuasa dan sedang bermusafir, Rukhsah puasa.

Ukuran dua marhalah mengikut setengah pendapat ulama’ ialah kira-kira 60 batu, atau 89 kilometer. Walaupun begitu ukuran sebenar tidak dapat ditentukan kerana perselisihan pendapat di kalangan para ulama’.

Mengikut pendapat Imam Syafi’i, Imam Maliki dan Imam Hanbali: Lebih kurang 89 km. (Lihat al-Feqh Islami Wa Adillatuh, vol. 2). Ini bersandarkan penjelasan dari Ibnu Abbas yang melarang dari melakukan qasar kecuali dalam jarak perjalanan lebih dari empat barid (4 barid =16 farsakh).

“Wahai ahli Makkah, janganlah kamu melakukan qasar pada jarak kurang dari empat barid, dari Makkah ke Usfan.” (Riwayat Daruquthni)

Manakala mengikut Imam Hanafi: 85 km (Lihat : al-Rahbawi, al-Sholat Ala Mazahibil Arba’ah)
Ini berdasarkan hadis: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, untuk bermusafir selama lebih dari 3 hari kecuali bersama mahramnya.” (HR Bukhari).

Mengenai dalil yang dikemukakan oleh jumhur ulamak ini telah di diskusikan oleh Ibnu Qudamah di dalam Kitab Al-Mugni. Beliau mengatakan bahawa apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umar itu bertentangan dengan zahir ayat al-Quran. Kerana zahir ayat membolehkan qasar untuk setiap orang yang berjalan di mukabumi tanpa menghadkan jaraknya. Riwayat berkenaan juga menyalahi Sunnah Nabi s.a.w.:

"Anas berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila keluar sejauh tiga batu atau satu farsakh beliau sembahyang dua rakaat". (Hadits Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud) (Lihat al-Feqh Islami Wa Adillatuh, vol 2, hal 322)

Ibnu Qudamah mengakhirinya dengan mengatakan bahawa kehujjahan adalah bersama mereka yang membolehkan qasar bagi setiap musafir, kecuali apabila berlaku ijma’ yang menyalahinya.

Ulamak-ulamak Zahiriah juga berpegang kepada hadis satu farsakh. (Lihat Subulus Salam, vol. 2) Malahan Ibnul Munzir mengatakan, terdapat 20 pendapat ulamak mengenai jarak perjalanan yang membolehkan qasar. Bukan sekadar 1 farsakh, bahkan tidak mengenakan had langsung. Asal musafir sahaja. Pendapat ini ada dasarnya.

Timbul persoalan bila masa dibenarkan qasar atau jamak?. Menurut jumhur fuqaha’, selepas melepasi sempadan kampung.(Lihat al-Feqhul Wadhih, vol 1, Dr. Mohd. Bakar Ismail)

Menurut sebahagian ulama’ Kufah, boleh mengqasar sembahyangnya apabila dia sudah bersiap untuk bermusafir, walaupun masih berada di dalam rumahnya. Ada pula yang berkata, mulai dia bergerak untuk bermusafir. (Lihat koleksi Hadis Hukum, vol 4, Prof. T.M Hasbi, As-Shiddieqy)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan dengan ittifaq ulamak tentang perlunya melepasi sempadan kampung. (Lihat al-Feqh Islami Wa Adillatuh, vol 2)

Kesimpulannya para ulamak berselisih pendapat mengenai jarak membolehkan qasar atau jamak, hingga mencecah 30 pendapat. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa jaraknya sejauh satu farsakh ada dasarnya, malahan ramai pentahqiq memilih pendapat ini.

Jumhur ulamak pula mensyaratkan boleh qasar setelah melepasi sempadan kampung. Sebahagian kecil ulama’ tidak mensyaratkan. Dua masalah di atas, adalah masalah khilafiyah yang timbul ketika para ulamak masing-masing memahami hadis-hadis mengenainya. Dan dasar yang membolehkan qasar ialah firman Allah Taala di dalam surah al-Nisaa’:100, serta beberapa hadis nabi s.a.w.

No comments: