Surah Al-Anbiyaa’ 21 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 112 ayat. Dinamakan surah al-Anbiyaa’ (perihal Nabi-Nabi) kerana peristiwa-peristiwa mengenai mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 48 hingga 91.
Intisari kandungannya: Mengingatkan umat manusia tentang kedatangan hari kiamat, untuk menghitung segala amal perbuatan yang mereka lakukan di dunia, dan untuk ditanya akan segala ni’mat yang telah dikurniakan kepada mereka, bagaimana mereka belanjakan?.
Ditegaskan pula bahawa Allah (s.w.t.) menjadikan seluruh alam dan segala yang ada padanya, yang begitu indah dan menakjubkan, bukanlah untuk hiburan dan permainan, tetapi dengan tujuan dan hikmah-hikmah yang ditentukan olehNya. Terutama untuk mengenal Allah (s.w.t.) yang menciptakannya, serta untuk beribadat kepadaNya.
Oleh itu, kajilah dan selidikilah segala yang ada di bumi dan di langit untuk mendapat faedah-faedah yang besar, kemudian gunakanlah dia dengan sebaik-baiknya sert bersyukurlah anak ni’mat-ni’mat Allah (s.w.t.) yang tidak terhitung itu.
Ditegaskan lagi bahawa alam langit di atas kepala kita meliputi matahari, bulan, bintang dan planet-planet yang tidak terhitung banyakknya, semuanya itu pada asalnya bercantum sebagai benda yang satu, kemudia dipisah-pisahkan, lalu masing-masing beredar terapung-apung di angkasa lepas, seperti keadaan yang ada sekarang. Hakikat ini telah menjadi satu kenyataan setelah manusia mencapai kemajuan dalam ilmu sains dan ilmu falak secara khusus.
Ditegaskan pula bahawa seluruh alam ini akan ditukar ganti dengan yang baru pada hari kiamat; sebagaimana Allah (s.w.t.) bekuasa menciptakan segala-galanya, dari tiada kepada ada, maka dia berkuasa menciptakannya semula dalam bentuk baru yang kekal.
Setelah itu diterangkan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) diutus oleh Allah (s.w.t.) kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai rahmat dan ni’mat yang besar. Sesiapa yang beriman dan menurut syari’at Islam yang disampaikannya, selamatlah dia dunia dan akhirat, dan bagi sesiapa yang mengkufurinya dan mengingkarinya celakalah dia dunia dan akhirat.
Surah ini diakhiri dengan Allah (s.w.t.) memerintah nabi Muhammad (s.a.w) sentiasa berdoa kepadaNya supaya dimenanginya apabila berhadapan dengan golongan kafir yang menentangnya, kerana Allah (s.w.t.) jualah yang melimpahkan rahmatNya dan Dialah yang tempat memohon pertolongan.
Doa permohonan Rasulullah (s.a.w) itu telah dimakbulkan, dan hasilnya kaum kafur musyrik yang menentang Islam telah berjaya ditewaskan. Dengan itu tersebarlah Islam ke seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment