Surah Al-A’raaf 7 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 206 ayat. Dinamakan surah “Al-A’raaf” (Tembok yang tinggi), kerana dalam ayat 46 dan ayat-ayat yang berikutnya diterangkan perihal tembok al-A’raaf yang memisahkan antara syurga dan neraka.
Intisari kandunganya: menarik perhatian mengenai kitab suci Al-Qur’anul karim: tentang tujuannya diturunkan dan tentang kewajipan Rasulullah ((s.a.w)) menyiarkan ajarannya, serta memberi semangat kepada baginda supaya janganlah ia merasa bimbang atau berdukacita terhadap kaum kafir yang menolak dan mengingkarinya.
Diterangkan juga tentang kisah Rasul-rasul dan kaum masing-masing, serta bagaiman golongan yang menderhaka di antara mereka dibinasakan oleh Allah (s.w.t.). Diterangkan pula tentang ni’mat kejadian manusia dari bapa yang satu – Adam a.s., lalu disebutkan perihal Nabi Adam a.s. dan tentang keingkaran Iblis, serta diperintahkan supaya manusia berjaga-jaga dari hasutan Syaitan, musuh yang besar itu.
Kemudian digambarkan pula apa yang berlaku dalam alam akhirat, tentang ahli syurga dan ahli neraka dan tentang pengakuan mereka: bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah (s.w.t.) adalah benar.
No comments:
Post a Comment