Surah Al-Hijr 15 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 99 ayat. Dinamakan surah “Al-Hijr” (Perihal Penduduk Hijr) kerana peristiwa mengenai kaum Tsamud, penduduk tempat itu ada disebutkan pada ayat-ayat 80 hingga 84.
Intisari kandungannya: Menegaskan tentang kebenaran Al-Qur’an, dan balasan buruk yang akan menimpa orang-orang yang kufur ingkar, pada saat itu mereka menyesal dan merasa ingin kalaulah mereka (semasa di dunia dahulu) taat dan menjadi orang-orang Islam.
Menerangkan kisah kejadian manusia, penderhakaan iblis yang angkuh takbur, dan pertentang di antara kebaikan dengan kejahatan yang terus menerus berlaku sehingga berakhirnya dunia ini, kemudian balasan kebaikan dan kejahatan pada hari kiamat.
Untuk memberi kesedaran dan keinsafan, Allah (s.w.t.) menerangkan setakad mana buruknya bala’ bencana dan azab seksa yang telah menimpa kaum-kaum yang kufur derhaka dan tenggelam di dalam ma’siat pada masa yang lalu. Dalam hal ini diceritakan secara khusus hal kaum Lut dan penduduk kampung “Aikah” di negeri Madyan, serta penduduk Al-Hijr (Kaum Tsamud).
Setelah itu Allah (s.w.t.) menerangkan ni’matNya yang besar yang diberikan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dan umatnya iaitu tujuh ayat (Surah al-Fatihah) yang menjadi intisari Al-Qur’an, yang diulang-ulang bacaanya di dalam solat, serta diberikan al-Qur’an seluruhnya, yang amat besar kemuliaan dan faedahnya, sebagai panduan hidup dan dijamin pula pemeliharaanya dari sebarang perubahan selama-lamanya.
Bagi menghapuskan perasaan dukacita yang dialami oleh Rasulullah ((s.a.w)) disebabkan gangguan musuh-musuh Islam, Allah (s.w.t.) perintahkan baginda supaya ia sentiasa merayu kepadaNya dan tetap mengerjakan solat serta amal-amal kebajikan selagi hayat dikandung badan, kerana Allah jualah yang berkuasa menyelamatkannya dan membalas kejahatan golongan yang ingkar itu.
No comments:
Post a Comment