Surah An-Nahl 16 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 128 ayat. Dinamakan surah An-Nahl (Perihal lebah) kerana perihalnya yang menakjubkandan perihal madunya yang menjadi ubat penawar ada disebut pada ayat 68 hingga 69.
Intisari kandungannya: Menegaskan bahawa apa yang telah dijanjikan oleh Allah itu tetap datang, maka janganlah orang-orang kufur ingkar meminta disegerakannya, kerana akibatnya amatlah buruk bagi mereka.
Menerangkan dalil-dalil tauhid yang terdapat pada kejadian langit dan bumi dan juga kejadian diri manusia sendiri, yang membuktikan kekuasaan Allah azzawajalla dan kemurahanNya. Kemudian diperintahkan supaya berlaku adiul dalam segala perkara dan menjalankan dasar ‘ihsan’ (berbuat kebaikan), iaitu segala apa jua yang dilakukan samada mengenai ibadat atau lainya, hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan sempurna. Diperintahkan pula supaya membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan, kerana merekalah yang perlu diberi keutamaan. Di samping itu dilarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar, dan daripada perbuatan menceroboh atau melakukan kezaliman.
Ditegaskan pula bahawa orang lelaki atau perempuan yang mengerjakan amal salih, sedang ia tetap beriman hingga akhir hayatnya, maka Allah (s.w.t.) akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik di dunia dan dengan menikmati sepenuh-penuh kebahagiaan meskipun ia hidup miskin, dan di akhirat pula ia akan beroleh sebaik-baik balasan. Sedang orang-orang kafir atau orang-orang yang tengelam dalam maksiat dihidupkan di dunia dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya, walaupun mereka kaya raya; dan di akhirat pula akan beroleh seburuk-buruk balasan.
Setelah itu Allah menerangkan cara dan tata tertib dakwah Islam, iaitu hendaklah dijalankan: pertama, dengan hikmah dan bijaksana. Kedua, dengan nasihat dan pengajaran yang baik. Ketiga, hendaklah berbahas dengan golongan yang menentang, dengan cara yang sebaik-baiknya, iaitu dengan lemah lembut dan kata-kata yang baik.
No comments:
Post a Comment