Surah al-Mu’minun 23 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 118 ayat. Dinamakan surah “Al-Mu’minun” (Perihal-orang-orang yang beriman), kerana sifat-sifat mereka dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan mereka dapati ada disebutkan pada ayat-ayat 1hingga 11.
Intisari Kandungannya: Menerangkan bahawa orang-orang yang beriman yang tetap berjaya dan diredhai Allah (s.w.t.) ialah mereka yang mengerjakan sembahyang dengan sempurna dan khusyu’, yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakatnya, yang menjaga kehormatannya dari perhubungan yang haram dan yang menjaga amanah serta menepati janjinya.
Setelah menerangkan perihal kejadiann manusia dan ni’mat-ni’mat yang telah dikurniakan kepadany, dan kisah nabi-nabi yang telah lalu bersama kaum masing-masing, lalu menerangkan perihal Nabi Muhammad (s.a.w) dan golongan kafir yang menentangnya.
Kemudian menerangkan bahawa harta kekayaan, anak pinak yang ramai, pangkat kebesaran dan pengaruh kebesaran yang telah diberikan oleh Allah (s.w.t.) kepada orang-orang ytang ingkar, tidak bermakna bahawa dengan itu Allah (s.w.t.) memberikan mereka kebaikan, bahkan pemberian yang demikian merupakan ujian adakah mereka menghargainya dengan bertaubat dan bersyukur atau mereka makin bertambah dosa dan tenggelam dalam kesesatan yang mereka pilih itu.
Ditegaskan pula bahawa dalam Islam, tridak ada perintah-perintah Allah (s.w.t.) yang menyusahkan atau memberati. Orang-orang yang sihat dan orang yang uzur, masing-masing dapat mengerjakannya sekadar kemampuan dan kesanggupannya.Surah ini diakhiri dengan memerintahkan baginda dan umatnya, supaya sentiasa memohon keampunan Allah (s.w.t.) dan rahmatnya semoga mereka selamat sentosa di dunia dan di akhirat
No comments:
Post a Comment