Surah al-Qasas 28 : Surah ini duturunkan di Mekah, mengandungi 88 ayat. Dinamakan surah “Al-Qasas” (pelbagai Kisah) kerana kisah-kisahnya yang telah dialami oleh Nabi Musa (a.s) ada disebutkan pada ayat 25.
Intisari kandungannya: Menerangkan kebenaran Al-Qur’an dan kandungannya yang jelas nyata. Setelah Allah Ta’ala menceritakan perihal Nabi Musa (a.s) yang telah lalu zamannya, lalu menerangkan ni’matNya kepada Nabi Muhammad (s.a.w) bahawa Baginda dengan ni’mat yang tersebut menceritakan perkara-perkara yang ghaib itu sedang ia tidak ada tempat berlakunya peristiwa Nabi Musa menerima wahi di Gunung Turnisia, juga tidak menyaksikan kejadian itu dengan mata kepala sendiri, dan tidak pula mempelajarinya dari sesiapapun.
Kemudian diterangkan: Meskipun kandungan Kitab Suci Al-qur’an tidak diturunkan dengan sekaligus bahkan ia diturunkan sedikit demi sedikit dan berhubung antara satu sama lain, dengan berisi hukum-hukum dan keterangan, nasihat-nasihat dan pengajaran, kisah-kisah dan misal perbandingan, selain daripada dalil-dalil dan bukti yang menegaskan dasar tauhid dan kebenaran Rasul-rasul yang diutus oleh Allah’Azza wa Jalla. Tiap-tiap bahagian Al-Qur’an yang diturunkan itu adalah berhubung dengan sesuatu peristiwa atau menurut keadaan yang diperlukan pada masa turunnya.
Oleh kerana golongan hartawan dari kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad (s.w.t) terdorong melakukan tentangan itu kerana terpedaya kepada kekayaan mereka, maka Allah Ta’ala menceritakan kisah Qaarun yang kaya-raya dan lebih besar kekayaannya daripada kekayaan mereka, tetapi Qaarun kaya itu akhirnya dibinasakan oleh Allah Ta’ala bersama-sama dengan segala harta kekayaannya.
Ditegaskan pula hendaklah, seseorang itu berusaha mencari dengan harta kekayaan yang dilimpahkan Allah Ta’ala kepadanya dengan mengerjakan amal kebajikan yang mendatangkan pahala dan membawa kepada keselamatan dunia dan akhirat. Dalam pada itu, janganlah ia melupakan bahagiannya dalam dunia untuk merasai kesenangannya seebelum dapat merasai kesenangan yang kekal di akhirat.
Surah ini diakhiri dengan Kisah Nabi Muhammad (s.a.w) yang terpaksa keluar berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dalam keadaan bimbang, lalu turun firman Allah Ta’ala memberi semangat kepadanya dengan menegaskan bahawa Allah yang menurunkan Al-Qur’an kepada Baginda, dan memerintahkan Baginda dan umatnya membaca, dan mengamalkan kandungan Al-Qur’an yang mulia itu, sudah tentu akhirnya akan menjayakan Baginda mengalahkan pihak lawannya, dan mengembalikannya ke negerinya dengan sendiri, Tanah Suci Makkah al_Mukarramah, dengan mendapat kemenangan yang besar.
No comments:
Post a Comment