Surah Ar-Ra’d 13 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 43 ayat. Dinamakan surah “Ar-Ra’d” (Guruh) kerana perihalnya ada disebut pada ayat 13.
Intisari kandungannya: Menegaskan tentang kebenaran Al-Qur’an sebagai sebuah Kitab Suci yang diturunkan oleh Allah (s.w.t.) kepada junjungan kita Nabi Muhammad ((s.a.w)).
Menjelaskan I’tiqad kepercayaan berdasarkan tauhid yang menggambarkan keesaan Allah (s.w.t.) dan kekuasaanya. Sebagai buktinya ditegaskan bahawa Allah jualah yang menjadikan langit dan bumi dan segala isinya.
Allah jualah yang mentadbirkan sekalian makhlukNya dan Dialah jua yang mengetahui segala perkara yang ghaib dan yang nyata. Tiap-tiap seorang sentiasa dijaga dan diawasi oleh Malaikat yang bergilir-gilir siang dan malam, selain dari malaikat “Kiraaman Kaatibiin” yang menulis amal perbuatannya yang baik dan yang jahat.
Ditegaskan pulah bahawa Allah (s.w.t.) tidak akan mengubah keadaan sesuatu kuam sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri. Demikianlah “Sunnatullah” atau “Undang-undang Peraturan Allah” yang tetap berlaku kepada sekalian makhlukNya.
Surah ini disudahi dengan menegaskan: bahawa sikap orang-orang kafir tidak mahu mengakui Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai seorang Rasul, tidaklah menjadi hal, kerana cukuplah Allah (s.w.t.) menjadi saksi yang membenarkan kerasulannya sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Qur’an dan Kitab-kitab Taurat dan Injil, serta diakui oleh orang-orang yang jujur, yang ada pengetahuan mengenai Kitab-kitab Allah yang tersebut.
No comments:
Post a Comment