Surah Faatir

Surah Faatir 35 : Surah ini diturunkan di Mekah, mendungi 45 ayat. Dinamakan surah “Faatir” (Pencipta), kerana dalam ayat yang pertama, Allah Ta’ala menegaskan kekuasaanNya sebagai Pencipta yang menjadikan sekalian makhluk menurut bentuk yang dikehendakiNya.

Intisari kandungannya: Pada mulanya ditegaskan kekuasaan Allah ta’ala menciptakan sekalian makhlukNya, dan menegaskan bahawa apa jua jenis rahmat yang diberikanNya kepada umat manusia maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahanya, demikian pula sebaliknya.

Kemudian di peringatkan umat manusia, supaya janganlah mereka diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah pula mereka diperdayakan oleh Syaitan yang menjadi musuh dan mesti dijauhi tipu dayanya.

Kemudian Allah Ta’ala menerangkan bahawa Dia jadikan Al-Qur’an itu untuk diwarisi oleh orang-orang yang dipilihNya dari kalangan hamba-hambaNya; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri – dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Qur’an; dan ada yang bersikap sederhana; dan ada pula yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.

Setelah itu dikemukakan satu pertanyaan yang berupa amaran kepada golongan yang masih berdegil dalam keingkaran dan kekufurannya: Bukankah mereka pernah mengembara di muka bumi dan menyaksikan bagaimana kesudahan kaum-kaum kafir yang telah lalu zamannya?

Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa kalaulah Allah (s.w.t) mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka di sebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk pun, akan tetapi Allah tidak berbuat demikian, bahkan Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu (supaya orang-orang yang ingkar itu kembali insaf dan bertaubat, dan orang-orang yang degil akan bertambah azabnya). Kemudian apabila sampai tempoh mereka, maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya, kerana sesungguhnya Allah sentiasa melihat dan mengetahui keadaan sekalian hambaNya.

No comments: