Surah Saba’

Surah Saba’ 34 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat. Dinamakan ‘Saba’ (perihal penduduk negeri Saba’) kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21.

Intisari kandungannya: pada awal surah ini Allah (s.w.t.) menegaskan bahawa segala puji tertentu bagiNya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam, Dilah yang Maha Melimpah ni’matnya dan rahmatNya kepada sekalian makhlukNya dalam alam kehidupan ini, dan Yang Maha Melimpah ni’matNya dan rahmatNya kepada orang-orang yang beriman dan taat – pada hari akhirat.

Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad (s.a.w) dan yang tidak percayakan tentang kedatangan hari kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan kepada nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah (s.w.t.) memberi amaran kepada golongan yang musyrik itu, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufurannya, maka mereka aka dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba’ (Yaman Tua) yang telah dibinasakan kerana mereka kufur ingkar.

Kemudian Allah (s.w.t.) menujukan firmanNya kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dan menerangkan bahawa bainda adalah diutus kepada umat manisia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman, dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.

Sebagai penutup digambarkan keadaan orang-orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas, takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab siksa yang disediakan untuk mereka. Semasa mereka diseret untuk menerima balasannya, mereka berkata: “Kami sekarang beriman ....”, tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya, kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.

No comments: