Surah Luqman 31 : Surah ini diturunkan dimekah, mengandungi 34 ayat. Dinamakan surah “Luqman” (perihal Luqman) kerana kisah mengenainya ada disebutkan pada ayat 12 dan ayat-ayat berikitnya.
Intisari kandungannya: Dalam permulaan surah ini allah Ta’ala menerangkan perihal orang-orang yang berjaya dan berbahagia yang telah mendapat hidayah petunjuk Al-Qur’an dan mematuhi ajarannya. Kemudian diterangkan perihal orang-orang yang ingkar.
Setelah itu diterangkan perihal Luqman, seorang hamba Allah yang salih, yang telah dikurniakan Allah Ta’ala dengan ilmu pengetahuan dan hikmah kebijaksanaan. Luqman telah menasihati anaknya supaya menjauhi perbuatan syirik, dan supaya ia mengerjakan amal-amal yang salih serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Semasa menerangkan kisah Luqman dengan anaknya, allah Ta,ala menegaskan tentang wajibnya manusia bersyukur akan segala ni’mat yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan wajibnya wajibnya mereka menjauhi perbuatan syirik. Kemudia diperintahkan supaya tiap-tiap seorang berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya yang tidak akan dibalas budinya, lebih-lebih lagi ibunya. Setelah itu ditegaskan bahawa orang yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah Ta’ala dengan ikhlas dan tenang tenteram hatinya kepada apa yang ditakdirkan baginya, sesudah ia berusaha dengan bersungguh-sungguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya, berma’na ia telah berpegang simpulan tali penyelamat yang teguh kukuh, iaitulah ugama Allah.
Sebagai penutup ditegaskan, bahawa Allah jualah yang mengetahui dengan tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok, (samada baik atau jahat), dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.
No comments:
Post a Comment