Jihad

Jihad : Jihad bermaksud berjuang sedaya upaya pada jalan Allah seperti dijelaskan dalam al-Quran: "Dan Berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (al-Haj:78).


78. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad Yang sebenar-benarnya Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah)”.

Jihad berasal dari perkataan 'juhd' yang bermaksud kuasa dan upaya (at-taaqah) serta kesukaran (al-masyaqqah), membabitkan dua pengertian iaitu secara umum dan khusus.

Pengertian umum jihad ialah segala daya usaha dan segenap kekuatan yang dicurahkan untuk menegakkan hukum dan perintah Allah di atas muka bumi ini dan membersihkan segala 'taghut' yang menjadi penghalang kepada jalan dakwah.

Jihad umum ini merangkumi jihad harta, nafsu dan keinginan kepada kemewahan,nafsu tamak, nafsu hasad dan dengki, nafsu ammarah bissu', perbelanjaan, pembelajaran, politik, penyampaian dakwah dan peperangan.

Jihad dengan pengertian yang khusus merujuk kepada perang pada jalan Allah.

Sayyid Abul 'Ala al-Maududi berkata: "Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam dengan menggunakan segala yang ada padanya daripada harta benda, jiwa raga, pena dan lidah, maka ia tanpa ragu lagi tergolong dalam orang yang berjihad di jalan Allah dengan pengertian jihad umum.

Tetapi kalimah jihad ini juga diungkapkan untuk pengertian jihad yang khusus iaitu peperangan dilakukan oleh kaum Muslimin untuk menentang musuh Islam kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan kebendaan duniawi.

Menurut Syeikh Sayyid Sabiq, jihad ialah menggunakan sepenuhnya kekuatan, kuasa dan upaya yang ada dan menanggung kepayahan dan kesukaran untuk memerangi musuh dan menangkis serangannya.

Di kalangan sarjana, ada yang memberikan pengertian lebih umum kepada jihad dengan turut memasukkan mujahadah iaitu jihad melawan hawa nafsu dan syaitan.

Ibnu Qayyim al-Jauzi meletakkan jihad dalam empat peringkat iaitu jihad terhadap hawa nafsu, syaitan, orang kafir dan munafik, orang zalim serta pelaku bidaah dan kemungkaran.

Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda maksudnya: "Sesiapa mati padahal dia tidak berperang dan tidak pun pernah berniat hendak berperang, maka matilah dia seperti mati jahiliyah".

Jihad bukanlah suatu peperangan secara agresif, menggunakan peralatan senjata, yang menghalalkan semua perkara bagi mencapai kepuasan dan kepentingan diri termasuk merosakkan rumah ibadat, membunuh kanak-kanak, wanita tak berdaya dan orang tua yang uzur, haiwan dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan.

Ia tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan dan jika tidak ia tidaklah dikatakan jihad.

Wasiat Saidina Abu Bakar kepada tentera Usamah jelas menggambarkan mengenai jihad dan garis panduannya, iaitu: "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak kecil, orang tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu atau unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil, maka biarkan mereka dengan apa yang mereka lakukan".

Garis panduan Saidina Abu Bakar ini digubal dalam undang-undang peperangan dalam dunia hari ini tetapi tidak ada yang mematuhi bahkan sengaja mengingkarinya. Israel atau Amerika bahkan Soviet apabila menyerang negara Islam dan umat islam sengaja mereka mensasarkan kepada 3 golongan yang lemah ini, sebagai sasaran untuk membalas dendam atau mungkin melepaskan geram.

Dalam perang Uhud, yang mana Rasulullah cedera dan kalangan sahabat meminta baginda mengutuk kaum musyrikin lalu baginda menjawab: "Aku diutuskan bukan untuk membawa laknat, tetapi diutuskan untuk menyeru dan pembawa rahmat."

Kemudian baginda berdoa: "Ya Allah, tunjuki kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Ungkapan Rasulullah itu jelas menunjukkan baginda berperang bukan kerana hausnya pada pertumpahan darah seperti pemimpin empayar besar lain, sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika, Israel dan Soviet terhadap negara yang lemah, tetapi kerana ingin menunjukkan jalan kebenaran dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah menggunakan peluang kelemahan orang-orang jahiliah ini, untuk membunuh sesuka hati, menawan setiap negeri, tetapi Rasulullah menyeru terlebih dahulu umat dari negeri itu supaya memilih Islam agama yang memberi ketenangan dan agama yang benar dari Allah yang mengambil tempat agama-agama samawi yang terdahulu. Islam adalah pengganti agamaNabi Daud a.s. dengan kitabnya Zabur, agama Hanif yang diwahyukan kepada Nabi Ibrahim a.s., agama Yahudi kepada Nabi Musa a.s. dengan kitab Taurat dan agama Nasrani (Kristian) di mana Allah mengurniakan kitab Injil kepada Nabi Isa a.s.

Al-Qur'an yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad adalah Kitab yang Haq yang tidak ada keraguan lagi padanya. Al-Qur'an bukan ciptaan nabi Muhammad s.a.w., kerana sememangnya nabi itu 'ummi' tidak tahu membaca dan menulis. Oleh kerana ini benarlah kenabian Muhammad s.a.w. dan benarlah al-Qur'an itu yang di dalamnya tersebut kisah-kisah sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab Zabur, Taurat dan Injil. Bahkan tidak ada perselisihan padanya.

Jihad adalah sesuatu tidak asing dari lembaran sirah perjuangan nabi. Menurut kiraan ahli sejarah, sepanjang 10 tahun nabi di Madinah, kira-kira 70 angkatan perang diutuskan untuk menghadapi peperangan dengan musuh Islam dan 28 angkatan itu dipimpin baginda sendiri.

Dalam jihad ini baginda menggunakan beberapa jenis pedang seperti Ma'thur, pedang terawal dimiliki baginda sebagai harta pusaka dari bapanya, al-'Adhab dan Zulfiqar iaitu pedang yang tidak pernah berpisah dengan baginda yang dihiasi dengan perak.

Tetapi di kalangan orang-orang bukan Islam, jihad kerap disalah erti sebagai perang suci yang dianggap sama dengan perang suci orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi sedangkan dalam terminologi Islam pengertiannya lebih luas.

Justeru, orientalis melemparkan kritikan dan mengadakan dakwaan kononnya Islam berkembang dengan mata pedang. Salah faham itu menyebabkan orang Islam sering dikaitkan dengan 'keganasan' (terrorism) sedangkan jihad dan keganasan jauh berbeza.

Sebenarnya matlamat peperangan dalam Islam ialah untuk meruntuhkan sistem kekufuran, menegakkan ubudiyah hanya untuk Allah serta menzahirkan keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam di atas muka bumi ini. Islam sama sekali tidak memaksa umat dari agama lain menganut agama Islam bahkah Islam memberi kebebasan kepada umat agama lain mengamalkan ajaran agamanya dalam sebuah negara yang diperintah oleh umat Islam.

Melainkan kerana penganut agama lain yang ada didunia hari ini sering melakukan kerosakan dan mengancam keselamatan orang-orang yang lemah. Maka dengan itu Allah memerintahkan berjihad. Allah s.w.t. berfirman;

"Dan, perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu hanya semata-mata untuk Allah." (al-Baqarah:193)

Maksud fitnah dalam ayat itu ialah kufur dan syirik, sebagaimana pendapat Ibnu Abbas, Qatadah, Mujahid dan Rabi'.

Islam tidak sekali-kali bermaksud untuk memaksa manusia menganut agama Islam melalui peperangan.

Mustafa al-Syiba'iy ada menegaskan, peradaban Islam adalah untuk mengajak manusia supaya saling kenal mengenal dan tolong menolong dalam keadaan damai.

Prinsip peradaban Islam, katanya, mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa.

Dalam Islam perang yang sah hanyalah bertujuan membela akidah, moral umat, kebebasan, kemerdekaan dan keselamatan umat.

Jihad perang disyariatkan untuk tujuan membalas serangan musuh, tetapi tidak secara melampaui batas seperti ditegaskan pada ayat 190 surah al-Baqarah;






190. Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang Yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang menceroboh (melampaui batas).


Ia juga diharuskan untuk membantu orang Islam yang lemah dan dizalimi orang kafir seperti dijelaskan pada ayat 75 surah an-Nisa' serta menghukum perosak agama dan masyarakat Islam termasuk golongan murtad, pemberontak, perompak dan lanun. Firman Allah s.w.t. :




75. Dan apakah Yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang Yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka Yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! keluarkanlah Kami dari negeri (Makkah) ini, Yang penduduknya (kaum kafir musyrik) Yang zalim, dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang membela Kami (dari ancaman musuh)".

JIHAD BAGI PEREMPUAN

Hakikat jihad menurut syara' ialah seorang muslim menyerahkan tenaganya untuk ‎mempertahan dan menyebarkan Islam bagi mencapai keredaaan Allah. Dari sini nanti akan ‎terbentuk sebuah masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina negara Islam yang sihat. ‎Jihad mesti berterusan hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling rendah ialah jihad di ‎dalam hati dan yang paling tinggi ialah berperang di atas jalan Allah. Mengorbankan waktu, ‎harta dan kepentingan diri sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga dikira sebagai ‎jihad. Begitu juga dengan menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta ‎memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah juga merupakan sebahagian daripada jihad.‎

Haji dan Umrah Adalah Jihad

Perempuan tidak perlu keluar berjihad atau berperang, cukup sekadar ‎mengerjakan haji ‎atau umrah bagi yang cukup syaratnya.‎

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita ‎mengetahui bahawa jihad ‎adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah ‎kami kaum wanita tidak boleh ikut ‎berjihad?” Baginda terus menjawab: ‎‎“Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling ‎baik ialah ‎mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.‎

Rasulullah SAW bersabda: ” Jihad orang yang tua, lemah dan ‎wanita ialah menunaikan ‎haji” (an-Nasa’i)”

Taat Suami Juga Jihad

Taat Suami Juga Jihad

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama ‎Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa' (wanita yang pintar berpidato) datang menemui ‎Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad ‎yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka ‎mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan ‎mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah ‎pula balasan kami untuk semua itu?"‎

Bersabda Rasulullah SAW:‎

‎"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya ‎taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad ‎pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat ‎melakukan demikian."‎

No comments: