Solat Jumaat

Solat Jumaat : Solat dua rakaat yang dilakukan pada hari jumaat dalam waktu zohor dan disertai dengan 2 khutbah.

Solat ini merupakan solat yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. Ia adalah kelebihan yang dikurniakan khusus oleh Allah s.w.t. kepada umat nabi Muhammad yang akan memberikan kejayaan (khususnya diakhirat) melalui kemuliaan-kemuliaan yang ada pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya : “Kita adalah umat yang akhir yang wujud di dunia ini dan umat yang pertama (mendapat kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat, sekalipun mereka lebih dahulu diberikan al-Kitab (syariat samawi) daripada kita. Kemudiannya, hari ini (jumaat) adalah hari yang ditetapkan (diberi pilihan) kepada mereka (untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.), tetapi mereka berselisih padanya (tidak menerimanya) lalu Allah memberi petunjuk kepada kita (agar menerima hari tersebut). Hari bagi Agama Yahudi ialah esok (sabtu) dan bagi Agama Nasrani pada hari selepas esok (Ahad).(HR Bukhari dan Muslim)

Solat jumaat difardhukan di Mekah sebelum Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah. Walau bagaimanapun ia tidak dapat dilakukan di Mekah disebabkan orang-orang Islam lemah dan tidak mampu untuk berhimpun bagi menunaikannya pada waktu itu. Firman Allah s.w.t. :


Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) dan tinggalkanlah urusan berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya),

Daripada Tariq bin Syihah bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : “(solat) Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib ke atas setiap muslim”. (HR Abu Daud)

Syarat-Syarat Wajib Solat Jumaat.
Syarat wajib solat jumaat adalah sebagaimana syarat wajib solat fardhu yang lain, tetapi ditambah dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Islam. Tidak diwajibkan kepada orang bukan Islam.
  2. Baligh. Kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan solat jumaat.
  3. Berakal. Sihat akal fikirannya, tidak gila, tidak kurang akalnya.
  4. Merdeka yang sempurna.
  5. Lelaki. Solat jumaat tidak diwajibkan kepada orang-orang perempuan, tetapi jika seseorang perempuan Islam menunaikan solat jumaatnya maka sah solatnya dan tidak perlu lagi menunaikan solat zohor.
  6. Sihat tubuh badan. Orang yang sakit yang tidak mampu untuk ikut serta menunaikan solat jumaat tidak diwajibkan dan hanya wajib menunaikan solat zohor sahaja.
  7. Bermukim atau mustautin. Iaitu tinggal ditempat solat jumaat didirikan. Tidak wajib solat jumaat bagi orang yang bermusafir yang diharuskan walaupun jarak perjalanannya dekat, dengan syarat dia keluar sebelum terbit fajar dan berada di tempat yang tidak didengari laungan azan dari pekan yang ditinggalkan.

Syarat Sah Jumaat.
Apabila seseorang muslim mencukupi syarat-syarat wajib, maka dia wajib menunaikan solat jumaat, tetapi tidak sah jika tidak mencukupi empat syarat berikut:

  1. Hendaklah didirikan dalam sempadan kawasan bangunan atau binaan, yang tidak terpisah di antara satu sama lain dengan suatu penghalang yang besar.
  2. Bilangan penduduk yang bermustautin yang menjadi jamaah solat jumaat tidak kurang dari 40 orang lelaki yang cukup syarat (mengikut Mazhab Syafi’e). Ini berdasarkan hadits riwayat al-Baihaqi daripada Jabir bin Abdullah r.a.
  3. Dikerjakan dalam waktu zohor. Jika waktu zohor hampir tamat maka tidak diwajibkan solat jumaat. Jika sedang solat jumaat waktu zohor tamat maka hendaklah ditukarkan menjadi solat zohor dan dikerjakan empat rakaat.
  4. Tidak berbilang jumaat dalam satu qariah, kampung atau mukim. Jika berbilang-bilang kumpulan melakukan solat jumaat dalam satu masa, yang sah hanya yang paling awal dan yang lain semuanya tidak sah. Jika tidak diketahui yang mana satukah tempat yang dahulu maka semuanya menjadi tidak sah, jika dikerjakan juga akan berdosa. Hikmatnya agar stu perhimpunan sahaja dilakukan untuk menzahirkan syiar perhimpunan tersebut dan dapat menyatukan pemikiran, manakala pertaburan solat jumaat akan menyebabkan perpecahan masyarakat.
Kefardhuan Solat Jumaat.
Ia terdiri dai dua fardhu. Kedua-duanya merupakan asas kepada rukun Islam yang agung ini.

Fardhu pertama : Dua Khutbah.

  • Khatib berdiri ketika berkhutbah, jika ia berkuasa untuk berbuat demikian, dan kedua-dua khutbah hendaklah dipisahkan dengan duduk sekejap. Ini berdasarkan hadits Rasulullah s.a.w.: Muslim meriwayatkan daripada Jabir bin Sumrah r.a. : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melakukan dua khutbah dan duduk antara keduanya. Baginda juga berkhutbah dalam keadaan berdiri. (HR Muslim).
  • Khutbah disampaikan lebih dahulu daripada solat. Ini adalah pendapat ijmak ulamak.
  • Khatib berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil mahupun besar. Ini kerana khutbah sebahagian daripada solat.
  • Rukun-rukun khutbah disampaikan dalam bahasa arab.
  • Berturut-turut di antara rukun-rukun khutbah dan juga antara khutbah pertama dengan khutbah kedua serta antara khutbah kedua dengan solat jumaat.
  • Rukun-rukun kedua khutbah tersebut hendaklah didengari oleh kesemua 40 orang ahli jamaah yang mencukupi syarat-syarat sah solat jumaat.

Fardhu Kedua : Solat dua rakaat secara berjamaah.
Ulamak bersepakat mengenai perkara di atas bahawa bilangan rakaat ialah dua dan wajib dilakukan secara berjamaah.

Syarat untuk mendapat jamaah dalam solat jumaat hanya disyaratkan makmun mendapat satu rakaat penuh bersama imam, dan makmun tidak kurang daripada 40 orang. Jika makmun yang masbuk datang ketika imam bangkit dari rukuk pada rakaat kedua, solat jumaatnya tidak dikira, dan wajib baginya menyambung solatnya sebagai solat zohor selepas salam imamnya.

Rukun-Rukun Khutbah
Khutbah jumaat mempunyai lima rukun, iaitu;

  1. Memuji Allah s.w.t. dengan menggunakan mana-mana lafaz sekalipun.
  2. Berselawat ke atas Nabi s.a.w. dengan mana-mana kata-kata yang memberi makna selawat.
  3. Berpesan dan mengajak ahli jamaah agar bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan menggunakan mana-mana lafaz atau uslub.
  4. Membaca sekurang-kurangnya sepotong ayat al-Qur’an pada salah satu daripada dua khutbah. Ayat yang dibaca hendaklah memberi kefahaman dan makna yang jelas.
  5. Berdoa untuk orang-orang yang beriman pada khutbah yang kedua. Doa berkenaan boleh menggunakan mana-mana uslub atau gaya bahasa asalkan diterima masyarakat setempat sebagai bentuk doa.

Perkara Sunat di hari Jumaat.

  1. Mandi sunat pagi jumaat dengan niat tertentu.
  2. Membersih segala kekotoran dibadan dan memakai wangi-wangian. (wangian – kecuali ketika ihram haji atau umrah).
  3. Memakai pakaian yang paling elok, dan lebih afdhal pakaian berwarna putih.
  4. Memotong kuku dan merpelokkan rambut.
  5. Keluar awal ke masjid, agar mendapat pahala yang besar dari Allah s.w.t.. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari jumaat seperti mandi janabah, kemudian dia pergi ke masjid maka seolah-olah dia telah bersedekah dengan seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat yang kedua, seolah-olah dia bersedekah dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga, dia seolah-olah bersedekah dengan seekor kambing yang bertanduk. Sesiapa yang pergi pada saat keempat dia seolah-olah bersedekah dengan seekor ayam. Dan sesiapa yang pergi pada saat kelima, dia seolah-olah bersedekah dengan sebiji telor. Kemudian apabila imam keluar (menaiki mimbar untuk berkhutbah) para malaikat hadir bersama mendengar nasihat dan peringatan.
  6. Solat Tahiyyatul Masjid apabila memasuki masjid.
  7. Diam ketika mendengar khutbah.
  8. Solat dua rakaat selepas solat jumaat.

No comments: