Li'an

Li’an : Iaitu qazaf (menuduh seorang perempuan berzina) seorang suami kepada isterinya, tetapi dia tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi. Maka si suami itu hendaklah mengucapkan sumpah dihadapan qadhi di atas masjid di hadapan khalayak ramai. Ucapan sumpah baik dari seorang suami atau sumpah pembelaan seorang isteri itu dinamakan LI’AN.

Kata li’an ( لِعَنْ ) adalah kata dasar daripada perkataan La’ana ( لَعَنَ ), kata tersebut berasal daripada kata la’an ( لَعَنْ ), ertinya terjauh dari rahmat Allah.

Menurut syarak, li’an adalah suatu ungkapan (ibarat) kata-kata tertentu yang dijadikan alasan bagi orang yang terpaksa menuduh kerana tikarnya dikotori, menyusul malu yang akan dialaminya.

Ucapan Li’an adalah seperti berikut: “Aku bersaksi dengan Allah, bahawa aku benar di atas tuduhanku terhadap isteriku …….(nama isteri) telah berzina dan bahawa anak ini adalah anak zina bukan daripadaku”. Demikianlah diulang-ulangnya 4 kali dan pada kali yang kelima ditambah “Atasku laknat Allah, jika aku berdusta”.

Setengah ulamak berpendapat seseorang qazaf atau lian hendaklah memulakan sumpahnya dengan perkataan Wallaahi, Wabillaahi, Watthollaahi..............".

Dalil daripada Firman Allah (S.W.T.) dari surah an-Nur: 6-7

Maksudnya: “Dan orang-orang Yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang Yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa Sesungguhnya ia dari orang-orang Yang benar".

" Dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang Yang dusta".

Sebab diturunkan ayat di atas ialah kerana Hilal bin Umayyah menuduh isterinya berzina dengan Syarik Ibnus-Samha’ kepada Rasulullah s.a.w.:

“Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal lalu berkata: Ya Rasulullah, apabila salah seorang dari kita melihat seorang lelaki dengan isterinya (berbuat curang), apakah dia harus pergi mencari saksi? Maka Nabi s.a.w. tetap berkata; Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal berkata: Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan hak, sesungguhnya aku benar. Dan Allah pasti akan menurunkan sesuatu yang dapat membebaskan punggungku dari hukuman (pukulan)”.

Maka dengan peristiwa itu turunlah ayat di atas, surah an-Nuur ayat 6 hingga 7.

Apabila selesai li’an dihadapan hakim, maka suami isteri itu wajib dipisahkan dan tidak akan berkumpul selama-lamanya. Sebagaimana sabda nabi menurut riwayat,

“Sahal bin Sa’d r.a. berkata : Saya mendatangi urusan ini dihadapan Rasulullah s.a.w. Sesudah itu diputuskan, bahawa setelah suami isteri bersumpah li’an, hendaklah dipisahkan hubungan suami isteri dan tidak akan berkumpul selama-lamanya”. (Hadits riwayat Muslim).

Hukum yang timbul akibat Lia’an
Seorang suami yang menuduh isterinya berzina, kemudian tuduhannya itu dikuatkan dengan li’an (bersumpah lima kali), maka timbullah lima hukum, iaitu:
1. Suami tidak dihukum dera
2. Isteri harus didera atau disebat atau dihukum rejam, kerana berbuat zina.
3. Terputus hubungan akad antara suami dan isteri.
4. Anak yang diperselisihkan bukan anak suami, tetapi anak zina yang dinasabkan kepada ibunya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ibnu Umar r.a. berkata: “Sesungguhnya nabi s.a.w. sudah melaksanakan li’an seorang suami, maka beliau menganggap anak yang diragui itu bukan anak dari suami, tetapi anak isterinya dan baginda memisahkan antara suami dan isteri”. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim).


5. Putusnya tali pernikahan itu untuk selama-lamanya, tidak boleh dirujuk atau dinikahi kembali oleh bekas suaminya, meskipun keduanya sudah pernah berkahwin dengan orang lain dan masing-masing bercerai. Sabda nabi s.a.w.: “Perhitungan amal perbuatan kamu yang semestinya di tangan Allah (dan kami hanya melaksana hukum zahir sahaja), tetapi salah seorang di antara kamu adalah pendusta. Sudah tidak ada jalan lain bagi engkau (suami) terhadap isterimu untuk kembali (selama-lamanya).

Yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dari hadits di atas bahawa suami yang bersumpah li’an ke atas isterinya tidak mungkin dapat rujuk kembali buat selama-lamanya.

Seorang isteri yang dituduh berzina
Seorang isteri yang telah dituduh berzina tidak akan dihukum rejam sampai mati, jika ia bersumpah bahawa ia tidak berzina atau membalas li’an dengan ucapan: “Aku bersaksi demi Allah bahawa si fulan (suami) adalah pendusta, menuduh aku berzina”. Diucapkan empat kali dan kali kelima siisteri mengucapkan: Dan aku sanggup menerima laknat Allah, jika sekiranya suamiku itu benar tuduhannya. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Dan dilepaskan isterinya dari hukuman oleh sumpahnya empat kali dengan nama Allah sesungguhnya suaminya benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan sumpah yang kelima, bahawa: laknat Allah atasnya apabila suaminya itu termasuk orang-orang yang benar”.

Hukuman terhadap suami
Sekiranya seorang suami yang menuduh isterinya berzina dan akhirnya terbukti bahawa suami itu melafazkan qazah dusta akan dihukum secara hukum hudud, disebat dengan 80 sebatan bagi orang merdeka manakala 40 rotan bagi hamba sahaya. Kesaksiannya tidak boleh diterima selama-lamanya, dan tidak boleh merujuk kembali kepada isterinya selama-lamanya.

No comments: