Hukum Hudud

HUDUD : ( حدود ) jamak daripada perkataan ( حد ). Dan segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh. Dan segi segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T. Kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:"…….. dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah,
maka mereka itulah orang-orang Yang zalim".(
Al-Baqarah, 2:229).

Walau bagaimanapun ijmak ulamak memperincikan hukum hudud tadi dengan mengambil kira kriteria-kriteria tertentu sebelum seseorang yang dituduh melakukan kesalahan hudud dijatuhkan hukumannya. Mereka berpegang dan merujuk kepada banyak hadits-hadits yang telah diambil daripada Rasulullah s.a.w. Jika hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu, jenis hukuman yang lain boleh diambil kira, misalnya qisas, diyat dan ta’zir.

Kesalahan Hudud
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Zina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`. Zina pula terbahagi kepada 2 jenis pelakunya, iaitu Zina Muhsan dan Ghairu Muhsan. Muhsan ertinya penzina itu telah berkahwin atau pernah berkahwin dan telah melakukan persetubuhan, manakala Ghairu Muhsan pula lelaki atau perempuan yang belum pernah berkahwin. Kedua-dua jenis penzina ini apabila dilaksanakan hukum hudud ke atas mereka adalah berbeza diantara satu sama lain.

b) Qazaf, atau Menuduh orang berzina, iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang perempuan yang baik lagi suci samada isteri atau bukan isteri atau menafikan keturunan yang dilahirkan olehnya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

c) Khamar, Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.

d) Sariqah, Mencuri : iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.

f) Hirabah, Merompak : iaitu keluar seseorang atau sekumpulanyang tertentu dengan tujuan untuk mengambil harta orang lain yang bukan haknya atau membunuh orang tidak bersalah atau menakutkan orang ramai dengan cara kekerasan.

g) Bughat, Sesuatu kumpulan yang sengaja menentang pemerintah sesebuah negara atau negeri yang melaksanakan Islam. Mereka beranggapan hanya kumpulan mereka yang betul. Mereka ini harus diperangi jika memenuhi beberapa syarat antaranya:

  • Mereka mempunyai kekuatan hingga berani menentang pemerintah yang adil, atau mereka telah menawan sesuatu daerah dalam pencerobohannya.
  • Mereka benar-benar tidak mahu mengaku pemerintah yang adil sebagai pemerintah.
  • Mereka mendakwa mempunyai dasar yang serupa dengan al-qur'an dan hadits dan menganggap mereka boleh keluar dari pemerintah yang sah. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil". (al-Hujurat : 9)

Peralatan mendera, bilangan dan bahagian didera.
Kalau zaman ini hukuman kepada pesalah takzir kebayakkannya dilakukan menggunakan rotan, tetapi pada zaman Rasulullah s.a.w. dilaksanakan dengan beberapa perkara, antaranya sandal dan pelepah tamar.

Hal ini dibuktikan dari hadits yang diriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya: “Nabi s.a.w. pernah memukul seseorang dengan sandal, pelepah kurma empat puluh kali, kerana orang itu minum khamar”. (Hadits riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melaksanakan sebatan (dera) pada seseorang dengan pelepah kurma dan dengan sandal. Kemudian Abu Bakar juga melaksanakan sebatan empat puluh kali.

Dan semenjak Umar bin al-Khattab memerintah, kaum muslimin mendekati masa kemakmuran, tanah-tanah banyak yang subur dan banyak menghasilkan kurma dan anggur. Ketika itu Umar r.a. bertanya: Bagaimana pendapatmu tentang sebatan minum arak (khamar) pada masa sekarang?, jawab Abdul Rahman bin Auf: Saya kira ramai orang yang menganggap ringan tentang hukuman peminum arak itu. Sesudah itu Umar melaksanakan sebatan sampai lapan puluh”. (Hadits riwayat Muslim).

Pada zaman Rasulullah s.a.w. diperintahkan memukul di bahagian punggung, sebagaimana yang diceritakan di dalam hadits, sabda Rasulullah s.a.w. kepada Syarik Ibnus-Samha’ dalam masalah tuduhan zina ke atas isterinya:

“Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal lalu berkata: Ya Rasulullah, apabila salah seorang dari kita melihat seorang lelaki dengan isterinya (berbuat curang), apakah dia harus pergi mencari saksi? Maka Nabi s.a.w. tetap berkata; Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal berkata: Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan hak, sesungguhnya aku benar. Dan Allah pasti akan menurunkan sesuatu yang dapat membebaskan punggungku dari hukuman (pukulan)”.

Dengan sebab peristiwa di atas maka turunlah ayat dari surah An-Nur ayat 6 hingga 7, berkenaan syarat-syarat Li'an.

No comments: