Imam Mahdi

Imam Mahdi : Sejak dahulu hinggalah ke hari ini masalah siapakah sebenarnya AI-Mahdi tidak henti-henti menjadi perkara yang diperbahaskan. Akibat daripada itu, terdapat setengah golongan umat Islam yang cuba mengandaikan seseorang sebagai Al-Mahdi. Sementara setengah pihak pula (Ahlu Sunnah WaI Jamaah) tidak menetapkan seseorang sebagai Al-Mahdi, sebaliknya men­yerahkan perkara tersebut kepada urusan Allah SWT. Apa yang penting bagi kita ialah yakin akan kemunculannya sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W..

Bagi menjelaskan siapakah sebenarnya Al-Mahdi, marilah kita merujuk kepada kitab-kitab para ulama Islam yang mu’tabar dan diakui kesahihannya. Di antara kitab-kitab tersebut ialah Al-Hawi Lii Fatawa karangan Imam As-Suyuti, Mukhtasar Fil Mahdi Al-Muntadzar dan As-S.a.w.aiqul Mukhriqat karangan Ibnu Hajjar Al-Haitami, At-Tawadhihu Fl Tawaturi Ma Jaa Fil Muntadziri Waddajal Wal Masihi karangan Al-Allamah As­Syaukani, Ibrazul Wahmil Maknun Min Kalam Ibni Khaldun karangan Al-Muhaddits Sayid Ahmad Siddiq Al-Ghumari dan banyak lagi kitab-kitab lainnya yang menerangkan secara jelas tanda-tanda dan sifat-sifat Al-Mahdi sebagaimana yang disebutkan oleh hadits-hadits Rasulullah s.a.w.

Kitab-kitab tersebut menerangkan bahawa nama Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdullah sementara gelarannya pula ialah Abu Abdullah. Menurut riwayat yang sah Al-Mahdi adalah dari keturunan Sayidina Hassan bin Ali. Sesungguhnya telah tsabit bahawa Al-Mahdi adalah keturunan Hassan bin Ali sebagaimana yang tersebut di dalam hadits sahih yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud dalam Sunannya,

“Telah berkata Ali sambil memandang puteranya ­Hassan,” Sesungguhnya Puteraku ini ialah sayid sebagaimana yang telah dinamakan oleh Nabi s.a.w. Dari keturunannya akan lahir seorang lelaki yang namanya seperti nama Nabi kamu, menyerupai baginda dalam perangai dan tidak menyerupai baginda dalam rupa dan bentuk.”

Hadits ini telah disahkan oleh para ulama di antaranya Al-Manawi di dalam kitabnya Al-Kabir, Ibnu Atsir dalam kitabnya An-Nihayah, Ibnu Qayyim Al Jauziyah dalan kitabnya Gharibul Hadits dan Al-Manarul Munif Fi Sahihi Wad Dha’if, Al-Muhaddits Sayid Ahmad Siddiq Al-Ghumari di dalam kitabnya Aqidah Ahlil Islam Fi Nuzuli Isa a.s. dan lain-lain lagi.

Di dalam kitab Naqdul Manqul, pengarang kitab tersebut memetik kenyataan lbnu Qayyim Al-Jauziyah, “Kebanyakan hadits-hadits menunjukkan bahawa Al-Mahdi adalah dari keturunan Sayidina Hassan bin Ali”.

Abu Thahir Muhd Syamsul Haq dalam kitabnya ‘Aunal Ma’bud (syarah Sunan Abu Daud), memetik kenyataan Al-­Hafiz Imanuddin yang menyebut bahawa hadits-hadits mengenai Al-Mahdi menunjukkan bahawa Ia dari Ahli Bait Rasulullah S.A.W., zuriat Fatimah dan anaknya Hassan bin Ali. (Sila rujuk Kitab ‘Aunal Ma’bud juzu’ II ).

Tersebut di dalam kitab Hasyiah As-Sabban ms 137, bahawa riwayat yang mengatakan Al-Mahdi dari keturunan Al-Hussin adalah terlalu lemah. Sementara di dalam kitab Al-Iza’ah m.s 147 riwayat yang mengatakan Al-Mahdi dari keturunan AI-Hussin bin Ali adalah dha’if.

Terdapat juga hadits-hadits yang menyatakan bahawa Al-Mahdi dari keturunan Al-Abbas bin Abdul Muttalib. Maka para ulama hadits menghimpunkan hadits yang berlawanan. Iaitu hadits-hadits yang mengatakan Al-Mahdi dari keturunan Sayidina Hassan bin Ali adalah sah dan hadits yang mengatakan AI-Mahdi dari keturunan Al-Abbas dan Al.Hussin adalah dha’if. Ini adalah sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh Al-Hafiz Abut Hassan Ad-Darqatni.

Hadits Tentang Al-Mahdi

1. Dari Jabir bin Abdullah ra katanya ; "Aku mendengar Rasulullah s.a.w.. bersabda, : "Sentiasa ada di kalangan umatku golongan yang berperang di atas kebenaran, mereka sentiasa zahir hingga hari Qiamat. Sabdanya lagi: "Kemudian turun Isa bin Maryam a.s. dari langit, dan berkata pemimpin mereka (Imam Mahdi), silalah menjadi imam solat kami dan Nabi Isa menjawab, tidak, bahawa sebahagian Kamu sebagai kemuliaan Allah s.w.t. ke atas umat ini (umat Islam) . (HR Muslim)

2. Dari Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah s.a.w.. bersabda : "Al-Mahdi itu dari Ahlul Bait, Allah membawa kebaikkan dengannya dalam satu malam”. (HR Imam Ahmad).

3. Dari Dzar dari Abdullah dari Nabi s.a.w. yang bersabda : "Sekiranya dunia hanya tinggal sehari sahaja (sebelum qiamat) nescaya Allah memanjangkan hari itu sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum keluargaku, yang namanya seperti namaku, nama bapanya seperti nama bapaku, ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman. (HR Abu Daud dan Turmizi).

4. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda ; "Akan lahir dari umatku seorang lelaki yang menyeru dengan sunnahku, Allah menurunkan hujan dari langit untuknya, bumi mengeluarkan hasil dan darinya bumi dipenuhi dengan kedurjaan dan kekejaman. Ia memerintah umat ini selama tujuh tahun dan akan berada di Baitul Maqdis. (HR at-Tabarani).

5. Dari Aishah r.ah katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Al-Mahdi itu seorang lelaki dari cucuku, ia akan berperang atas Sunnahku seperti aku berperang atas wahyu".(HR Na'im bin Hammad)

6. Dari Said bin Al-Musaiyab dari Ummu Salmah yang berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : "Al-Mahdi itu dari keturunanku dari anak cucu Fatimah". (HR Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, An-Nasa'i, At-Tabarani dan Al-Hakim)


Kenapa Imam Mahdi dinamakan Al-Mahdi

Tidak terdapat hadits yang menyebut mengapa Al-Mahdi dinamakan Al-Mahdi, tetapi terdapat dua atsar sahabat dalam hal ini. Abdullah bin Syuzab berkata, “Sebab ia dinamakan Al-Mahdi ialah kerana ia menunjukkan satu gunung di gunung negeri Syam. Ia mengeluarkan dari gua gunung tersebut lembaran-lembaran kitab Taurat. Al-Mahdi berhujah melawan orang-orang Yahudi menggunakan kitab tersebut dan mereka akhirnya kalah. Maka salah satu kumpulan orang-orang Yahudi memeluk Islam.” Atsar ini diriwayatkan oleh Al-Hafiz Ad-Dani dalam Sunannya.

Daripada Ka’ab bin Alaqamah berkata, “Sebab dinamakannya Al-Mahdi ialah kerana ia menunjukkan pada suatu perkara yang telah hilang, dia mengeluarkan peti dari negeri Antakiah (peti berisi lembaran kitab Taurat dan lain-lain). Diriwayatkan oleh Na’im bin Hammad dalam kitabnya Al-Fitan.

Al-Muhaddits Sayid Ahmad Siddiq Al-Ghumari menerang­kan di dalam kitabnya Aqidah Ahlil Islam Fi Nuzuli Isa a.s. bahawa Al-Mahdi dilahirkan di Madinah Al-Munawwarah serta dibesarkan di sana. Sebelum umat Islam berbai’at dengannya, berlakulah satu peperangan yang besar di antara penduduk Madinah dengan tentera-tentera As-Syufiani. Dalam peperangan tersebut, penduduk Madinah mengalami kekalahan dan mereka lari bersama-sama Al-Mahdi ke Makkah. Di Makkah datanglah orang dari berbagai-bagai negeri kerana berbai’at dengannya di suatu tempat iaitu di antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim.
Tanda-tanda Kemunculan Imam Mahdi

Tanda-tanda keluarnya Al-Mahdi dinyatakan di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Said, Ummu Salamah, Aisyah bin Malik dan Huzaifah Al-Yamani. Di antara tanda-tanda menunjukkan kemunculan Al-Mahdi itu ada beberapa perkara:

1. Pecah Sungai Furat dan Dajlah yang terbesar dalam negeri Iraq masuk ke Laut Parsi.

2. Gerhana bulan pada awal malan daripada bulan Ramadhan dan gerhana matahari dari awal bulan Ramadhan.

3. Gerhana bulan dua kali dalam bulan Ramadhan.

4. Naik tanduk di langit umpama beberapa gigi.

5. Naik bintang yang berekor yang cerah di sebelah timur.

6. Muncul api yang besar dari timur selama tiga malam atau tujuh malam.

7. Zahir warna kelam pada langit.

8. Zahir warna merah pada langit yang berhamburan ia pada segala tepi langit yang lain daripada merah di tepi langit yang biasa.

9. Seruan yang umum dari langit kepada sekelian ahli bumi dengan loghat masing-masing bahawa Al-Mahdi telah zahir.

10. Tenggelamnya kampung Khrastan di dalam negeri Syam (Syria).

11. Diserukan daripada Iangit akan nama Imam Mahdi dengan seruan yang tersangat kuat hingga didengar oleh penduduk bumi daripada Timur ke Barat. Maka orang yang tidur menjadi jaga, orang yang berdiri menjadi duduk dan orang yang terduduk menjadi terdiri di atas kedua kakinya kerana terlalu terkejut.

12. Zahir jemaah dari lelaki atau kuda di dalam bulan Syawal. Kemudian kedengaran suara yang menunjuk atas yang bathil. Berlaku peperangan dalam bulan Zulhijjah serta ramai yang mati sehingga mengalir darah di atas Jamratul Aqabah di Mina (tempat melontar).

13. Zahir banyak gempa bumi.

14. Datang dua seruan dari langit. Seruan yang pertama iaitulah seruan daripada langit dengan katanya, “Ketahuilah olehmu akan bahawa seorang yang keluar pada bumi yang bernama Mahdi itu sebenarnya keluarga Muhammad.” (Dan seruan kedua) iaitu seruan syaitan dengan katanya, “Ke­tahuilah olehmu bahawa seorang yang keluar pada bumi yang bernama Mahdi itu sebenarnya dari keluarga Isa.” (Lihat Ad­-Duratun Nafi’ah Fi Isyratis Sa’ah)

Setengah-tengah ulama’ telah menamakan tokoh-tokoh tertentu sebagai Al-Mahdi. Al-Mahdi yang mereka maksudkan ialah pemimpin-pem­inipin Islam yang adil selepas Rasulullah s.a.w., berpandukan hadits Rasulullah s.a.w.: “Tetaplah kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa Ar-Rasydin Al-Mahdi (yang mendapat petunjuk).”(HR Abu Daud dan At-Tarmizi).

Berpandukan hadits ini maka para ulama Ahli Sunnah Wal Jammah ada yang menentukan seseorang sebagai Al-Mahdi, tetapi bukanlah sebagai Al-Mahdi Muntadzar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. yang muncul di akhir zaman.

Hassan Ibrahimi Hassan dalam kitabnya, Tarikhul Islam jüzu’ I menyebut dengan panjang lebar akan masalah ini dan menjelaskan, “Bahawa Al-Mahdi yang dikatakan oleh beberapa ulama’ di dalam kitab-kitab mereka ada beberapa orang itu bukanlah Al-Mahdi yang akan muncul di akhir zaman.”

Al-Imam Ahmad Hanbal sendiri pernah menyebut, “Bahawasanya Umar bin Abdul Aziz tidak syak lagi adalah ia Al-Mahdi, tetapi bukanlah Al-Mahdi yang akan keluar di akhir zaman. Tetapi adalah Al-Mahdi yang mendirikan ke­benaran dan kebajikan” (sila lihat kitab Naqdul Manqul)

Golongan Syiah yang berpendapat bahawa Muhammad bin Al-Hassan Al-Askari sebagai Al-Mahdi juga tidak menyebutnya sebagai Al-Mahdi Muntadzar yang muncul di akhir zaman. Sebaliknya mereka menyebutnya sebagai Al-Mahdi yang akan memimpin mereka atas kebenaran dan kebajikan. (sila lihat kitab ‘Aunal Ma’bud juzu’ II )

Pendapat Ulamak Tentang al-Mahdi

Dari Dzar dari Abdullah dari Nabi s.a.w. yang bersabda : "Sekiranya dunia hanya tinggal sehari sahaja (sebelum qiamat) nescaya Allah memanjangkan hari itu sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum keluargaku, yang namanya seperti namaku, nama bapanya seperti nama bapaku, ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman. (HR Abu Daud dan Tarmizi).

Dari Abu Said Al-Khudri ra berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. :ersabda; "Akan lahir dari umatku seorang lelaki yang menyeru dengan sunahku, Allah menurunkan hujan dari langit untuknya, bumi mengeluarkan hasil dan darinya bumi dipenuhi dengan kedurjaan dan kekejaman. Ia memerintah umat ini selama tujuh tahun dan akan berada di Baitul Maqdis. (HR At-Tabarani)

Di antara tanda-tanda besar Qiamat ialah munculnya Imam Mahdi yang akan memerintah dunia ini dengan keadilan ketika dunia dicengkam oleh kejahatan kerana turunnya Dajjal. Walau bagaimanapun terdapat setengah-tengah pihak yang mempertikaikan kemunculan Imam Mahdi. Mereka berpendapat ia adalah perkara dongeng yang sengaja dicipta oleh orang-orang Yahudi dan Syiah.

Sesungguhnya kemunculan Imam Mahdi di akhir zaman telah diyakini dan diimani oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan ramai tokoh-tokoh utamanya meriwayatkan hadits tentang Al-Mahdi. Di antara mereka ialah Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Imam Ahmad, At-Tabarani, An-Nasai’e, Ibnu Hibban, Muslim dan Al-Bukhari.

Di samping itu, hadits-hadits mengenai kemunculan Al-Mahdi turut diriwayatkan oleh para sahabat utama Rasulullah s.a.w., seperti Ibnu Mas’ud, Ummu Salamah, Saidina Ali karramallahu wajhah, Tsu’ban, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Saidina Uthman Affan, Qurah bin Qias, Huzaifah Al-Yaman, Ammar bin Yassir, Anas bin Malik, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.

Pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berikut adalah beberapa pendapat ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai persoalan mengenai kemunculan Imam Al-Mahdi di akhir zaman secara ringkas.

1. AI-Imam Abu Hanifah menjelaskan di dalam kitabnya Fiqhul Akbar bahawa segala tanda-tanda hari qiamat adalah semuanya benar menurut hadits-hadits Rasulullah s.a.w., dan salah satu di antara tanda-tandanya ialah kemunculan Imam Mahdi.

2. Al-Hafiz Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan, “Menurut pendapat yang jelas bahawa di antara Imam yang memimpin manusia itu ialah Al-Mahdi yang telah diberitahu oleh hadits-hadits yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w,. yang menyebut perkara itu. Bukannya yang ditunggu­-tunggu oleh golongan Syiah Rafidhah, di mana menurut dakwaan mereka Mahdi itu telah dilahirkan kemudian akan muncul pula dari satu gua di Samira’ di dalam negeri Iraq. Pendapat ini tidak ada kebenarannya.”

3. Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut di dalam Fathul Bari (syarah sahih Al-Bukhari), “Telah berkata Abul Hussein Al-Aburie di dalam kitabnya Manaqib As-Syafie,” Telah menjadi khabar mutawatir bahawa Al-Mahdi itu lahir dari kalangan umat ini.”

4. Tersebut di dalam Sahih Muslim Masykul juzu’ kelapan, hadits Rasulullah s.a.w. : “Di akhir umatku kelak ada seorang khalifah yang membahagi-bahagikan harta tanpa mengira-ngira.”

Imam At-Tarmizi dan Abu Daud menyebut yang dimaksudkan seorang khalifah itu ialah Al-Mahdi. Dan mereka telah sepakat berkata bahawa hadits-hadits ini adalah hassan dan sahih.

5. Dalam kitab Tuhfah Al-A’laie Fi Ulmu Tauhid, “Dan bahawasanya turun Nabi Isa ketika Dajjal mengepung Mahdi serta pengikut-pengikutnya dalam kota Baitul Maqdis. Maka turun Nabi Isa a.s. daripada langit atas menara sebelah timur masjid Syam dan pergi ke Baitul Maqdis maka ia membunuh Dajjal dengan lembing dan Dajjal hancur dengan semata-mata melihat Nabi Isa seperti hancur garam di dalam air.

6. Ibnu Hajjar Al-Haitami menyebut di dalam kitabnya Fathul Mubin Li Syarah Al-‘Arbaiin : “Bahawa Nabi Isa a.s. turun di akhir zaman memusnahkan salib dan membunuh babi sebagaimana tersebut dalam hadits sahih dan ia membunuh Dajjal, ia turun ketika solat Subuh dan berjemaah di belakang Al-Mahdi”.

7. Tersebut di dalam kitab Mastika Hadits yang diterbitkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam bab Beriman Kepada Hari Akhirat, “Sayugia diingat, bahawa hadits-hadits berkenaan dengan zahirnya Mahdi, keluar Dajjal, dan turunnya Nabi Isa a.s. adalah hadits-hadits yang sampai kepada martabat hadits mutawatir, demikianlah ditegaskan oleh ulama hadits.”

8. Syeikh Daud bin Syeikh Abdullah Al-Pattani menyebut di dalam kitabnya Darus Tsamin.“(Dan ketiganya) daripada tanda qiamat yang akan datang daripada beberapa tanda yang besar seperti keluar Mahdi...”

9. Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Al-Minhajul Sunnah An-Nabawiyah juzu’ 4 menyebut, “Sesungguhnya hadits-hadits yang menyebut zahirnya Imam Mahdi adalah terdiri daripada hadits-hadits sahih yang telah diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud, Tarmizi, Imam Ahmad dan lain-lain.”

Kemudian Ibni Taimiyah menyebut pula bahawa Al-Mahdi itu daripada keturunan Sayidina Hassan bin Ali dan bukannya daripada Sayidina Hussin bin Ali sebagaimana yang disebutkan oleh Sayidina Ali r.a (HR Abu Daud).

10. Dalam kitab Al-Manarul Munif Fi Sahihi Wad Dha’if karangan Ibni Qaiyim Al-Jauziyah, “Orang-orang Islam telah bersalah faham pada perkara Al-Mahdi di atas 4 qaul (Pendapat), dan kebanyakkan hadits-hadits itu menunjukkan bahawa Al-Mahdi itu seorang lelaki dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. dan keturunan Sayidina Hassan bin Ali yang keluar pada akhir zaman kelak. Bahawa dunia ini sedang penuh dengan kezaliman dan kejahatan, maka Al-Mahdi itu memenuhkan bumi dengan keadilan dan kebajikan".

No comments: