Kafir

Kafir : Kafir menurut bahasa bermakna menutupi. Oleh itu seorang yang terkeluar dari agama Allah ini digelar kafir kerana dia telah menutupi kebenaran atau kerana kekafirannya itu, dia menutupi apa yang sepatutnya dia imani.

Kafir menurut syari‘at terbahagi kepada dua iaitu kafir akbar (besar) dan kafir asghar (kecil).

Pertama: Kafir Akbar
Ini adalah bentuk kekafiran yang menyebabkan pembuatnya kekal dalam neraka selama-lamanya. Kafir akbar terbahagi kepada 5 jenis:

1. Kafir Takzib (pendustaan)
Kekafiran jenis ini berbentuk mendustakan ajaran yang dibawa oleh para Rasul. Mereka mengingkari ajaran para Rasul dengan lidah dan hati mereka. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keterangan-Ku dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?” an-Naml 83-84.

2. Kafir iba’ wal istikbar (keengganan dan kesombongan).
Ada sesetengah manusia yang sebenarnya hati mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tetapi enggan untuk patuh kepadanya kerana kesombongan. Kekafiran ini adalah sama seperti kekafiran iblis. Iblis tidak menolak kebenaran Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Rabb yang berhak disembah dan dipatuhi perintah-Nya. Namun penentangan iblis adalah disebabkan kesombongannya. Sikap iblis ini adalah sebagaimana yang telah dihuraikan dalam al-Qur’an:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam." Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. Al-Baqarah 34]

3. Kafir I’radh.
Ertinya berpaling dengan pendengaran dan hatinya dari ajaran para Rasul, tidak membenarkan dan tidak pula mendustakannya, tidak mencintainya dan tidak pula memusuhinya serta sama sekali tidak mahu memperhatikan dan mendengar kepadanya. Perilaku ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla:

Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya. Al-Fussilat 3-4.

4. Kafir Syak (keraguan).
Ini adalah golongan yang senantiasa di dalam keraguan akan kebenaran ajaran para Rasul.

5. Kafir Nifaq.
Iaitu menampakkan keimanan dengan lisan dan perbuatan namun hatinya kafir (orang munafiq). Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Al-Baqarah 8.


Kedua: Kafir Asghar
Apabila seseorang itu tidak membuat sesuatu perintah agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan kewajipan perintah tersebut, dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini akan kewajipan membayar zakat harta tahunan, akan tetapi kerana leka mengejar kehidupan duniawi dia tidak membayar zakar tersebut. Maka orang ini tidak dihukum kafir.

Demikian juga, apabila seseorang itu tidak meninggalkan sesuatu larangan agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan keharaman perkara tersebut, dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini keharaman hukum minum arak, akan tetapi oleh kerana keterbiasaannya minum sekian lama, dia mendapati sukar untuk menukar tabiat tersebut melainkan bertahap-tahap. Maka orang ini tidak dihukum kafir.

Inilah yang dimaksudkan dengan kafir asghar. Kafir ini tidak mengeluarkan pembuatnya dari agama (masih termasuk dalam golongan yang beriman) dan tidak kekal dalam neraka. Berkata Imam Abu Hanifah rahimahullah dalam kitabnya Fiqh al-Akbar (ms. 102):

Kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim dengan setiap dosa, meskipun dosa besar. Kecuali ada unsur menganggap halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau seorang mukmin yang fasik (tetapi) tidak kafir.

Menurut Imam Abu Ja’afar al-Thahawi rahimahullah:

Kita tidak mengkafirkan seorangpun ahlul kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan perbuatan dosa tersebut.”

Syaikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah melanjutkan:

Maksud beliau (yakni Imam Abu Ja’afar al-Thahawi), sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jama’ah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang bertauhid, beriman kepada Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina, minum khamar (arak), riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak menganggap halal perbuatannya. Namun apabila pembuatnya menganggap halal perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari agama. Apabila mereka tidak menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya... (Dinukil dari kitab Dr. Ibrahim bin Amir ar-Ruhaili, Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad Syamsuddin, Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2002), ms. 97.)

Hal ini termasuklah tindakan kebanyakan pemerintah negara Islam pada zaman kini yang tidak melaksanakan hukum Allah. Berkata Imam Ibnu Abil ‘Izzi ‘Abdis Salaam dalam kitabnya Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah (ms. 323-324):

Di sini wajib untuk kita berfikir (secara cemerlang) bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan Allah kadang-kadang boleh menjadi kafir yang mengeluarkan pembuatnya dari Islam (kafir akbar) dan kadang-kadang boleh menjadi maksiat besar atau kecil atau boleh jadi kafir majazi atau kafir asghar (kecil), yang demikian sesuai dengan keadaan hakim/perlaksanaan hukum itu.

Apabila dia meyakini bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan Allah adalah tidak wajib dan bahawa dia diberi kebebasan (untuk berhukum dengannya atau tidak) atau dia menghina hukum Allah bersamaan dengan keyakinannya bahawa ia adalah hukum Allah, maka ini adalah kafir akbar.

Apabila dia meyakini wajib berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan dia mengetahuinya tapi dia berpaling darinya, bersamaan dengan pengakuannya bahawa dia berhak mendapat hukuman (atas perbuatannya berpaling dari hukum Allah), maka orang ini telah berbuat maksiat dan ini dinamakan dengan kafir majazi atau kafir asghar

(dipetik dari posting Mohd Yaakub bin Mohd Yunus)

No comments: