Ukuran Solat

UKURAN SOLAT:
Dalam era membaiki diri ini, kita semak solat kita, nanti akan terjawab kenapa kita tidak ‎dibantu oleh Allah, doa tidak dimakbul, maksiat tidak dapat dihindari, berkat tidak ‎menghampiri. Ini juga merupakan gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam ‎terbiar dan tiada pembela dan umat Islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti ‎dulu. Semuanya kerana solat yang tidak berkualiti dan tidak diterima oleh Allah s.w.t.‎

Oleh itu orang yang melakukan solat yang berbeza-beza keadaan itu boleh dipecahkan ‎kepada beberapa golongan.‎

‎1. Golongan Kufur. ‎
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak solat, bahkan ramai juga yang ‎tak tahu nak solat, mereka telah jatuh kafir. Kata Imam Malik, jatuh kepada hukum kafir ‎kalau tak solat tanpa sebab. Imam Syafie pula berkata hukumnya fasik kalau ia masih ‎yakin solat itu fardhu (wajib).‎

‎2. Golongan Taqlid Jahil. (Jahil dan Ikut buta) ‎
Orang yang mengerjakan solat secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid ‎buta, ikut-ikut saja. Tidak belajar solat samada secara rasmi atau tidak. Ilmu tentang solat ‎tiada. Golongan ini tertolak amalannya bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan ‎derhaka kepada Allah Taala.‎

‎3. Golongan Fasik. (Orang-orang rosak agamanya). ‎
Orang yang mengerjakan solat, bahkan tahu ilmu mengenai solat, tetapi tak mampu ‎melawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap solat, sekejap ‎tidak. Kalau ada masa dan mood yang baik baru dia solat, kalau sibuk dan terkejar-kejar, ‎ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka dia tak ‎menunaikan solat. Orang ini jatuh hukum fasik.‎

‎4. Golongan Saahun. (Orang-orang yang lalai). ‎
Orang yang solat, dalam keadaan berilmu tetapi riak dan ujub, fasih bacaannya, tetapi ‎tidak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak ‎fahami, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada solat yang ‎dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dibaca. Cuma hafal saja. Jadi ‎fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara ‎dalam solat, orang ini lalai dalam solat. Neraka wail bagi orang ini.‎

Firman Allah s.w.t.:‎

الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ‎ ‎فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ‎ ‎
‎“maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (laitu) mereka yang ‎berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”‎

‎5. Golongan Awamul Muslim. (Orang-orang Islam tahap biasa). ‎
Golongan yang mengerjakan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan ‎solat, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam solat itu. Fikirannya ‎masih melayang mengingatkan perkara dunia, solatnya tidak dihayati. Golongan ini ‎dikategorikan sebagai solat Awaamul Muslimin.‎

‎6. Golongan Mulhamah. (Orang yang mendapat Ilham dari Allah)‎
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi dalam keadaan tarik tali ‎didalam solatnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di ‎dalam solatnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah ‎secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya ‎untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam solatnya. Begitulah sehingga ‎selesai solatnya. Dia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini ‎adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya berada pada tahap Mulhamah (ertinya ‎menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada ‎kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah ‎mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, ‎namun tiada pahala nilai solat itu. Ertinya solatnya tiada memberi kesan apa apa. Allah ‎belum lagi cinta orang ini. Solat mereka tidak dapat menghalang mereka daripada ‎melakukan dosa-dosa besar, apatah lagi dosa-dosa kecil. Tetapi mereka cepat insaf dan ‎cuba memperbaiki diri.‎

‎7. Golongan Abrar Wa Ashabul Yamin. (orang yang terselamat). ‎
Golongan yang mengerjakan solat yang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan ‎setiap lafaz didalam solatnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan ‎sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar ‎solat itu tidak mempengaruhi solatnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan ‎kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak ‎mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam solatnya. Golongan ‎ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin. Inilah golongan yang ‎terselamat. Solat mereka dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan dosa-‎dosa besar. Kalaupun mereka melakukan dosa-dosa kecil dengan tidak disengaja atau ‎disedari akan cepat-cepat mereka bertaubat kepada Allah.‎

‎8. Golongan Muqarrabin. (Orang yang hampir dengan Allah). ‎
Golongan ini seperti juga golongan ketujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu ‎bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam solatnya, malahan dia dapat ‎menghayati setiap makna bacaan solatnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa ‎iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai ‎dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi ‎namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat ‎dirasai pada gerak dalam solatnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan ‎Muqarrabin (Yang hampir dengan Allah ).‎

‎9. Golongan Siddiqin. (Orang-orang Siddiqin). ‎
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ‎ibadah solat itu dijiwai didalam solat malahan ia dapat mempengaruhi di luar solat. Kalau ‎ia bermasalah langsung ia solat, kerana ia yakin solat punca penyelesai segala masalah. Ia ‎telah fana dengan solat. Solat telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan ‎didalam sejarah, seperti solat Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk ‎mencabutnya, beliau lakukan solat sunat dua rakaat dahulu, maka didalam solat itulah ‎panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan solat. Makin banyak solat makin lazat, ‎solat adalah cara mereka nak lepaskan kerinduan dengan Allah. Nak berbicara dengan ‎Khaliqnya. Melalui solatlah mereka mengadu suka duka kepada Tuhannya. Alam ‎sekelilingnya langsuk ia tidak hiraukan. Apa yang terjadi disekelilingnya langsung tidak ‎diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan ‎Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.‎

Setelah dibuat penilaian keseluruhan 9 peringkat solat itu tadi, maka dapatlah kita nilai ‎solat kita di tahap yang mana. Maka ibadah solat yang boleh membangunkan jiwa, ‎membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, ‎menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah ‎golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Solatnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada ‎kufur fasik dan zalim.‎

Jadi dimanakah tahap solat kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan ‎tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah ‎solat. Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar ‎terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.‎


No comments: