Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal-Jama'ah : Iaitu orang-orang yang mengikut perjalanan Nabi Muhammad sollallaahu 'alaihi wasallam dan menggunakan segala sumber dari al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih dan tsabit darinya dan mereka juga mengikut perjalanan sahabat -sahabat Radhiallaahu 'Anhum dan menggunakan segala perkataan-perkataan sahabat yang betul dan tsabit yang datang dari sahabat-sahabat itu, sebagaimana tersebut di dalam Kitab At Tabsir Fid Din.

Pengertian Sunnah ialah Sunnah Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam, manakala pengertian Jemaah pula ialah kumpulan Sahabat dan Tabi'en yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam.

Pengertian lain tentang Ahli Sunnah wal Jamaah ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah (al-Qur'an) dan Sunnah Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam (al-Hadits).


Berkata Syaikhuna Al 'Allamah Al Syeikh Muhammad Zahid Al Kauthari :

"Wajiblah kita berkata bahawa orang yang selamat (annaji) daripada api Neraka, siapa yang berjalan di atas perjalanan sahabat-sahabat RadhiAllahu 'Anhum dan di atas perjalanan golongan orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam, yang mereka berpegang kepada iktiqad-iktiqad dan hukum-hukum yang sabit adanya di dalam ugama Islam yang diketahui dengan ilmu dharuri (yang nyata tiada boleh disangkal dan tiada dapat dibantah sebagaimana adanya matahari dan adanya diri kita sendiri) dan lain-lain puak (yang tiada mengikut perjalanan sahabat dan perjalanan orang-orang Islam yang terbanyak daripada umat Islam) adalah mereka sesat",

Hendaklah diketahui bahawa berpecah puak-puak dalam perkara iktiqad dan bercabang-cabang puak-puak itu tiada berkesudahan sehingga habis tarikh hidup manusia, maka tiadalah sayugia ditentukan sekian-sekian banyak bilangan puak-puak yang sesat itu, kerana sentiasa ada sahaja puak-puak yang menimbulkan fikiran sesat itu dan fahaman yang menyeleweng (dari perjalanan sahabat dan perjalanan orang-orang Islam yang terbanyak), selagi ada hidup manusia dalam dunia ini.

Mazhab ini didokong kuat oleh 2 orang Imam yang terkenal iaitu, Abu Hasan al-Asy'ari dan Abu Mansur Al-Matuuridi.


Sejarah Kemunculan Awal Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al Imam Abu Al Hassan Al Asy'ari RadhiAllahu Anhu melihat apa yang telah kena ke atas umat Islam dari berbagai-bagai rupa serangan ke atas iktiqad dan dia bangun bagi mempertahankan Sunnah Rasulullah SallAllahu Alaihi Wasallam dan membasmikan bida'ah.

Mula-mula dia berusaha mendamaikan di antara dua pihak yang bertikai itu dengan mengembalikan kedua-dua pihak itu ke jalan tengah, maka dia berkata kepada puak yang pertama bahawa kamu benar apabila kamu kata al-Quran itu baharu lafaznya, baharu pada bacaannya, baharu pada tulisannya, dan dia berkata kepada satu puak yang lain bahawa kamu adalah benar bahawa tujuan kamu bahawa al-Quran itu qadim iaitu sifat yang ada pada zat Allah yakni kalam nafsi dan tiadalah kamu boleh ingkarkan baharu lafaz orang yang membaca al-Quran dan bacaan orang yang mengaji al-Quran itu, begitu juga kamu puak yang lain itu tiada boleh menafikan sifat yang ada pada zat Allah iaitu kalam nafsi yang tiada berlafaz dan tiada bersuara itu.

Al Imam Al Asy'ari telah berkata kepada pihak yang pertama bahawa menafikan Allah Taala dari sifat dekat dan bertemu dengan makhluk itu dan dari berupa adalah betul, tetapi wajib di atas kamu mengaku tajalli Allah itu dengan tiada berkaifiat. Dan dia berkata kepada pihak yang lain: Jangan kamu sabitkan rupa dan dekat dan bertemu dan segala perkara membawa Allah Taala menjadi baharu (muhaddas) dan kamu betul jika kamu sabitkan boleh melihat Allah bagi orang-orang mukminin di akhirat dengan tiada kaifiat.

Begitulah Al Imam Asy'ari telah berjaya menghimpunkan umat Islam dan menjadikan mereka bersatu padu, dan membasmikan orang-orang yang degil dan mematahkan keterlaluan mereka dan telah datang banyak soal dari merata negeri Islam dan dia menjawab semuanya, maka masyhurlah namanya merata-rata dunia Islam dan penuh dunia Islam dengan kitab-kitab Al Imam Al Asy'ari dan kitab tulisan pengikut-pengikutnya dalam perkara Sunnah Rasulullah dan perkara menolak berbagai-bagai puak ahli bida'ah dan ahli ilhad dan ahlul kitab Yahudi dan Nasrani. Para pengikut-pengikutnya telah berselerak di tanah Iraq, Khurasan, Syam dan Negara Maghribi.


Dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Telah berkata puak Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan telah ijma' dan muafakat mereka bahawa dasar iktiqad seperti berikut:

1. Alam iaitu tiap-tiap yang lain daripada Allah Taala itu baharu seperti Bintang-Bintang, Matahari, Bulan dan Langit, dan isi kandungan keduanya.

2. Wajib Allah Taala itu Wujud (ada)

3. Tiada siapa yang menjadikan sesuatu melainkan Allah jua.

4. Allah Taala itu qadim kekal selama-lamanya.

5. Allah Taala itu bersifat dengan sifat-sifat ilmu (ketahui), kudrat (kuasa) dan lain-lain sifat kesempurnaan bagi Allah Taala.

6. Tiada ada sesuatu serupa dengan Allah, dan tiada ada lawan bagi Allah dan tiada ada sebaya bagi Allah Taala.

7. Tiadalah Allah Taala bertempat di mana-mana tempat.

8. Tiadalah ada sesuatu yang baharu ada pada zat Allah Taala.

9. Allah Taala itu tiada mengambil sesuatu ruangan yang lapang, tiadalah Allah Taala ada pada suatu pihak, dan tiadalah Allah Taala dikatakan bergerak, berpindah tempat, jahil, bodoh, bohong, dan tiada ada sesuatu pun sifat kekurangan boleh disandarkan kepada Allah Taala.

10. Allah Taala itu boleh dilihat oleh orang-orang mukminin di akhirat kelak.

11. Apa yang Allah Taala berkehendakkan, nescaya ia akan berlaku, dan apa yang Allah Taala tiada berkehendak maka tiadalah ia akan berlaku.

12. Allah Taala itu terkaya dari tiap-tiap sesuatu dan Allah Taala tiada berhajat pada sesuatu.

13. Tiada wajib di atas Allah Taala membuat atau meninggalkan sesuatu, kiranya Allah Taala beri pahala kepada seseorang maka itu hanya dengan limpah kurnia kelebihan Allah, dan kiranya Allah Taala menyiksa seseorang itu maka itu hanya berlaku dengan keadilan Allah jua.

14. Allah Taala membuat sesuatu tiada dengan ada tujuan mendapatkan faedah dari sesuatu itu.

15. Tiada sesiapa yang menjadi hakim memerintah Allah Taala.

16. Tiadalah boleh dikatakan pada apa yang dibuat atau dihukumkan Allah Taala itu suatu perkara yang zalim dan aniaya dan menyeleweng. Kerana Allah memerintah manusia melakukannya atas sebab mampunya manusia itu. (Laa Yukallifullaahu nafsan illah wus’ahaa).

17. Allah Taala itu tiada bersuku-suku dan tiada ada baginya had, dan tiada ada baginya batasan dan perenggan dan sempadan.

18. Allah Taala berkuasa pada menambah bilangan makhlukNya dan Allah Taala berkuasa pada mengurangkan bilangan makhluk itu.

19. Jisim manusia dan makhluk akan dihidupkan semula pada hari qiamat adalah benar dan betul. Begitu juga benar bahawa balasan baik atau jahat di atas perbuatan makhluk, dan kira-mengira di atas perbuatan makhluk, Titian Sirat yang dilintangkan di atas api Neraka, Neraca Timbangan bagi amalan makluk, Syurga telah ada sedia dan Neraka itu telah ada sedia dijadikan, Kekal ahli Syurga di dalam Syurga selamanya dan kekal ahli Neraka dalam Neraka selamanya kecuali orang yang tidak syirik kepada Allah, semuanya itu benar dan betul dan hak.

20. Harus dan boleh bagi Allah Taala mengampunkan kesalahan orang yang berbuat dosa.

21. Rayuan syafaat minta ampunkan kesalahan kepada Allah Taala itu adalah rayuan itu hak dan betul dan benar.

22. Allah Taala telah menghantarkan Rasul-rasul dengan disokong oleh berbagai-bagai mukjizat itu, dari semenjak Nabi Adam Alaihis Salam sehingga Nabi kita Sayidina Muhammad SallAllahu Alaihi Wasallam kesudahan rasul-rasul tiada ada nabi atau rasul lepas dan sesudah Nabi kita Sayidina Muhammad SallAllahu Alaihi Wasallam, semuanya itu betul, benar dan hak.

23. Sahabat-sahabat yang mengikat taat setia kepada Rasulullah SallAllahu Alaihi Wasallam di bawah sebatang pokok yang dinamakan Bai'atul Redzwan itu dan sahabat-sahabat yang ada di dalam pasukan peperangan di tempat yang dinamakan Badar itu semuanya mereka dari golongan ahli Syurga.

24. Raja yang memerintah umat Islam wajib dilantik oleh orang-orang Islam yang berpengaruh yang dinamakan mereka Ahlul Hilli Wal Aqdi.

25. Pemerintah yang benar, betul dan hak selepas wafat Nabi kita Sayidina Muhammad SallAllahu Alaihi Wasallam ialah Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian Sayidina Umar, kemudian Sayidina Othman kemudian Sayidina Ali RadhiAllahu 'Anhum Ajmain.

26. Khalifah yang lebih afdal dan lebih utama mengikut tertib dan susunan di atas ini iaitu

Khalifah Sayidina Abu Bakar, kemudian
Sayidina Umar, kemudian
Sayidina Othman kemudian
Sayidina Ali RadhiAllahu 'Anhum Ajmain.

27. Ahli Sunnah Wal-Jama'ah tiada menghukum kafir ke atas seseorang yang sembahyang menghadap Kiblat Kaabah di Mekah Al Mukarramah, melainkan kiranya orang itu menafikan ada tuhan yang menjadikan alam ini yang bersifat Maha Kuasa dan bersifat Maha Mengetahui, atau kiranya dia menyekutukan sesuatu dengan Allah (syirik) atau kiranya dia ingkarkan seseorang Nabi daripada Nabi-nabi Allah yang telah nyata kenabiannya atau ingkarkan sesuatu yang telah datang daripada Rasulullah SallAllahu Alaihi Wasallam yang telah diketahui dengan ilmu dan ketahui yang dharuri, atau dia ingkarkan sesuatu perkara yang ijmak dan sekata ulama Islam seperti dia ingkarkan perkara yang telah sabit ijmak ulama di atas haram sesuatu perkara itu.

Ini adalah iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan pegangan kepercayaan mereka. Adapun puak-puak yang lain dari tersebut di atas adalah bida'ah dan tiada kufur, maka iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jama'ah itu seperti yang disebutkan di atas ini adalah iktiqad yang selamat dan sejahtera dan sentosa dari api Neraka. Adapun iktiqad yang lain adalah bida'ah dan tiada kufur dan tiap-tiap bida'ah itu sesat dan tiap-tiap yang sesat itu adalah balasannya Neraka.

Berkata Al Imam Tajuddin Assubki dalam Mu'aidunni'am Wal Mubidunniqam :

Ahli Sunnah itu adalah orang-orang mazhab Hanafi, orang-orang mazhab Asy Syafi'e dan orang -orang mazhab Maleki dan orang -orang yang baik dari mazhab Hanbali

Alhamdulillah dalam perkara iktiqad semuanya bersatu, semuanya mereka berjalan di atas fikiran Ahli Sunnah Wal-Jama'ah, semuanya berugama dan menyembah Allah Taala menurut Imam Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

No comments: