BUGHAH: ( ) Pengertian
Bughah mengikut bahasa adalah melampau, manakala istilah syara` adalah “
segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam)
iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat
Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122)
Bughah mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan
sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak (menggunakan senjata dan kekuatan) untuk menentang dan
menderhaka kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu
kesalahan dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129)
Bughah Menurut al-Quran dan Sunnah
Bughah dalam pandangan Islam ada disentuh pada ayat 9 surah
al-Hujurat yang bermaksud;
“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang
maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh
ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu
sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika
ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil dan berlaku saksamalah,
sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan kesaksamaan”
Sementara al-Sunnah terdapat beberapa penjelasan terhadap
perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut;
1. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah sollallahu
alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; Sesiapa yang telah menghulurkan tangan
dan hatinya (memberi bai`ah atau kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka
hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang
cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala
penentangnya itu”. (HR Muslim)
2. Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu
alaihi wasallam bersabda yang maksudnya; Sesiapa yang melihat sesuatu perkara
yang ia tidak sukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya
sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka
matinya adalah mati jahiliah”. (HR al-Bukhari dan Muslim)
3. Daripada `Awf bin Malik al-Asja`i, beliau berkata yang
bermaksud: “Aku dengar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda;
Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu,
kamu memdoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah
pemimpin yang kamu benci dan mereka bencikan kamu, kamu melaknat mereka dan
mereka melaknat kamu. Kami berkata; Wahai Rasulullah sollallahu alaihi wasallam,
bolehkah kami memerangi mereka? Baginda menjawab; Jangan selagi mereka
bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin
yang melakukan maksiat maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukannya
itu dan janganlah sekali-kali kamu mencabut ketaatan”. (HR Muslim dan Ahmad)
4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. berkata yang
bermaksud bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda; Akan ada
selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan
sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan
dalam jasad manusia. Aku (Huzaifah) bertanya; Bagaimana harus aku lakukan jika
aku sempat hidup dalam suasana itu ya Rasulullah. Jawab baginda; Kamu dengar
dan taat walaupun dia menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu
dengar dan taat. (HR Muslim, al-Baihaqi dan lain-lain)
5. Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang
bermaksud; Kami telah membai’ah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam untuk
dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah,
mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin
melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah. (HR
al-Bukhari dan Muslim)
6. Daripada Abu Zar bahawa Rasulullah sollallahu alaihi
wasallam berkata yang bermaksud; Wahai Abu Zar, bagaimanakah kamu sekiranya
nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta
harta al-fai` ini?. Jawab Abu Zar; Demi Allah yang mengutus tuan dengan
kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku
bertemu tuan. Baginda pun bersabda; Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang
lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku. (HR
Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban , Ibnu
Hibban menthiqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)
Bughah Menurut Pandangan Ulamak
1. Imam Ghazali r.h. dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I`tiqad
mengatakan”….persoalan-persoalan ini membangkitkan pertentangan dan sesiapa
yang dapat menghindarkan diri daripadanya lebih selamat daripada orang yang
mencampuri atau terlibat dalamnya, meskipun pendirian yang diambilnya benar,
apatah lagi jika memilih jalan yang salah…”
2. Ibn Abi al-`Iz pula berkata,…”adapun wali al-Amri
berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah SUBHANAHU WA TAALA ,
ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah SUBHANAHU
WA TAALA dan rasul-Nya. Adapun kemestian
taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah SUBHANAHU WA
TAALA ) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan
mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada
kezaliman mereka. Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan
dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah S.W.T tidak menurunkan orang zalim ke atas
kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan
amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat
dan memperbaiki amalan. Firman Allah SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud:
“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia
telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah
musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri”. (Al-Quran
Surah Ali Imran ayat 165)
Dan Allah SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang bermaksud;
“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali
kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan”. (Al-Quran
Surah Al-An`am ayat 129)
Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman
pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang
mereka lakukan”.(Syarh al-`Aqidati al-Tohawiyah, juz 2, hal. 542,)
3. Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Sabil berkata,
“…kesabaran ke atas kezaliman imam (pemerintah) selain daripada yang wajib dari
segi syarak adalah lebih ringan mudharatnya daripada bangun menentangnya dan
menggugurkan ketaatan daripada mereka. Ini kerana natijah terhadap penentangan
terhadap mereka membawa kerosakan yang sangat besar. Kemungkinan bangun
menentang mereka akan membawa fitnah yang berpanjangan dan merebak
kemudharatannya yang membawa pertumpahan darah, mencabuli kehormatan, merampas
harta benda dan lain-lain lagi kemudaratan yang banyak dan musibah yang besar
ke atas negara dan rakyat”.( al-Adillatu al-Syar`iyyah fi Bayani Haqqi
al-Raa`iyyah. Riyadh)
4. Budaya `isyan bukanlah budaya Islam, menurut ahli sunnah
wal jamaah kerana ia adalah daripada sifat-sifat iblis. Jika berlaku kezaliman
daripada pemerintah, apa yang mesti dilakukan ialah menjalankan gerakan
mengislah rakyat supaya memperbaiki kerosakan yang mereka lakukan kerana
kezaliman pemerintah itu adalah diutus oleh Allah SUBHANAHU WA TAALA sebagai balasan atas kerja-kerja jahat yang
mereka lakukan. Apabila rakyat berjalan di atas landasan yang benar dan berada
dalam keadaan yang diredhai oleh Allah SUBHANAHU WA TAALA maka Allah SUBHANAHU WA TAALA akan menarik balasannya dengan memilih dan
melantik orang yang adil menjadi pemerintah mereka.
Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda yang
bermaksud;
“Sesungguhnya akan berlaku selepas zaman kamu kekecohan dan
perkara-perkara yang tidak menyenangkan kamu. Sahabat-sahabat bertanya, apakah
yang patut kami lakukan? Baginda bersabda, “kamu hendaklah menunaikan hak-hak
yang wajib ke atas kamu melaksanakannya dan memohon kepada Allah hak-hak yang
diperuntukkan kepada kamu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Nawawi berkata, “hadits ini menggesa supaya mendengar dan
taat walaupun orang yang memerintah itu zalim. Maka berilah hak ketaatan
kepadanya dan jangan menentangnya dan jangan melucutkan jawatannya, bahkan
hendaklah berdoa kepada Allah SUBHANAHU WA TAALA supaya menarik balik siksaan-Nya, berusaha
menolak kejahatan dan menjalankan usaha islah”. (Syarh al-Nawawi li Sahih
al-Muslim, juz 12, hlm. 232)
5. Sahl bin Abdullah al-Tastari berkata, “ … manusia
sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka membesarkan pemerintah dan
ulama`. Jika mereka membesarkan kedua-dua institusi ini, Allah akan memperbaiki
dunia dan akhirat mereka dan jika mereka merendahkan kedua-dua institusi ini,
binasalah dunia dan akhirat mereka”. (al-Jami` li Ahkam al-Quran, juz 5 hal.
260)
Kesimpulan
Pemberontakan atau bughah dengan mengangkat senjata untuk
memerangi pemerintah islam yang melaksanakan syariat Allah subhanahu wa taala merupakan
suatu perbuatan yang sangat bercanggah dengan ajaran yang disarankan oleh
Islam. Berdasarkan hadits serta pandangan para ulama, umat Islam digesa supaya
mengelakkan diri daripada perbuatan bughah sebaliknya berusaha mewujud dan
melindungi maslahat umum daripada perbuatan yang merosakan keharmonian hidup
mereka.
Perbuatan bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya
dengan kesalahan jenayah lain malah ia lebih merbahaya kerana ia akan mengheret
masyarakat kepada kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang
lain yang tidak bersalah.
RUJUKAN BAHAN:
BAHAGIAN PENYELIDIKAN JAKIM
AL-IMAM TAQIYUDDIN ABI BAKAR BIN MUHAMMAD AL-HUSAINI,
KIFAYAH AL-AKHYAR FI HILLI GHAYAH AL-IKHTISAR, DAR AL-KUTUB AL-ILMIYAH, BEIRUT,
JLD 2
QANUN JINAYAH SYAR`IYYAH, HAJI SAID HAJI IBRAHIM, CETAKAN
PERTAMA 1996, DARUL MA`RIFAH, KUALA LUMPUR
AHKAM AL-SULTANIAH WA AL-WILAYATI AL-DINIYYAH, ABI HASAN ALI
BIN MUHAMMAD BIN HABIB AL-BAGHDADI AL-MAWARDI, DAR AL-KUTUB AL-ILMIAH, BEIRUT
SYARH AL-`AQIDATI AL-TOHAWIYYAH, JUZ 2, CETAKAN KE-13 TAHUN
2000, MUASSASAH AL-RISALAH
AL-ADILLATU AL-SYAR`IYYAH FI BAYANI HAQQI AL-RA`IYYAH,
SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN SABIL, DAR AL-SALAF, RIYADH
SYARH AL-NAWAWI LI SAHIH MUSLIM, JUZ 12, CETAKAN KE-7 TAHUN
2000, DAR MA`RIFAH, BEIRUT.
No comments:
Post a Comment