Uthman bin Affan

UTHMAN BIN AFFAN : Khalifah Rasyidin yang ke 3 selepas kewafatan Saidina Umar al-Khattab. Dilantik sebagai khalifah bermula tahun 23 hijrah sehingga tahun 35 Hijrah, iaitu memerintah kerajaan Islam kira-kira 12 tahun. (644-656 M)

Nama lengkapnya adalah Uthman bin 'Affan bin Abul `Ash bin Umaiyah (47SH-35 H/577-656M), berasal dari suku Quraisy keturunan Umaiyah. Khalifah ketiga ini lahir di Mekah dan masuk Islam tidak lama setelah kenabian Mahammad s.a.w. Beliau termasuk orang kaya yang terpandang pada masa Jahiliyah. Beliau termasuk dalam kumpulan pencatat wahyu.

Sifat Peribadi Sidina Uthman

Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan ‎agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan ‎hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam ‎berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. ‎Oleh itu Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga ‎‎20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.‎

Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan bersikap wara'. Tengah ‎malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-‎Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya ‎mengalir air mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan ‎kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah ‎melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habasyah, dan yang kedua ke ‎Madinah.‎

Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya kerana menikahi dua ‎orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Setelah Ruqayyah ‎meninggal dunia, Rasulullah SAW telah menikahkan beliau dengan puteri Baginda iaitu ‎Ummi Kalthum. Uthman berkahwin sebanyak 7 kali lagi selepas kematian Ummi ‎Kalthum dan seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir ialah ‎Nailah binti Furaifisha.‎

Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar ra yang ditikam. Beliau ‎dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh ‎Khalifah Umar al-Khattab ra.‎


Jasa Sidina Uthman.

Banyak jasa-jasa dan juga kejayaan yang telah dilakukan oleh Khalifah Uthman dalam ‎menyebar dan memperkembangluaskan Islam. Ini termasuklah kejayaannya dalam:‎

‎1. Bidang Ketenteraan
Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara ‎dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang ‎dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman ‎kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, ‎Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. ‎

Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang ‎pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-‎negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.‎

‎2. Melakukan Pembukuan Al-Quran.‎
Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ‎ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara ‎sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang ‎paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari al-Quran.‎

Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu ‎tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan ‎saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul ‎pembacaannya.‎

Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah al-Quran yang baru yang mana ‎ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah ‎menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana al-Quran yang berbeza telah ‎dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali ‎dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian ‎al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.‎

‎3. Beliau Telah Membesarkan Masjid Nabawi.‎
Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, ‎Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah ‎bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 ‎Hijrah.‎

‎4. Usaha Khalifah Uthman Dalam Menyebarkan Dakwah Islam.‎
Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai ‎banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai ‎pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga ‎telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang ‎membetulkan saf-saf sembahyang. Beliau juga banyak menggunakan al-Quran dan as- ‎Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.‎

Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)‎

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut ‎adalah Saidina Uthman ra hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.‎

Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh ‎orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rajab.‎

Saidina Ali bin Abi Thalib ra bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal ‎tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera ‎dijawab oleh mereka, "Uthman telah membakar mushaf-mushaf, solat tidak diqasar ‎sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan ‎mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala fasilitas ‎untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain."‎

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, ‎‎"Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku."‎

Saidina Ali ra menjawab, "Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi ‎perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama keshahihannya. ‎Adapun solat yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di ‎Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. ‎Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga mereka ‎besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah ‎melakukan ini sebelumnya. ‎

Adapun mengangkat kakitangan dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata ‎kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW ‎juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, ‎Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani ‎lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan ‎Bani Umayyah ke syurga." ‎

Setelah mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para ‎peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan merencanakan perancangan jahat mereka. Di ‎antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu dari pada ‎sababat termuka yang memburuk-burukkan Saidina Uthman. Mereka juga menuntut agar ‎Uthman dibunuh.‎

Fitnah kejipun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar umat termakan fitnah ‎tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas dirinya, setelah sebelumnya terkepung ‎selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa inilah yang disebut dengan "Al-Fitnah al- ‎Kubra" yang pertama, sehingga merobek persatuan umat Islam. Saidina Uthman ra telah ‎mati dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang mengepung rumahnya pada tahun 35 ‎Hijrah, bersamaan dengan tahun 656 Masihi. Pemerintahannya memakan masa selama 12 ‎tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan ‎Khulafa’ ar-Rasyidin.‎

Kewafatannya

Saidina Usman mati dibunuh pada petang khamis 16 Zulhijjah tahun 35 hijrah dan dimakamkan pada hari jumaat keesokannya pada usia 80 tahun atau 82 tahun. Menjadi khalifah selama 11 tahun 11 bulan dan 14 hari. Meninggalkan 16 orang anak iaitu 9 lelaki dan 7 perempuan.

Saidina Uthman dibunuh oleh oleh golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’. ‎Para sahabat pernah mencadangkan agar kaum munafik ini di bunuh, akan tetapi Uthman ‎ra. melarang kerana mengikuti langkah Nabi yang melarang membunuh kaum munafik ‎kerana di khuatiri musuh Islam akan menuduh orang Islam membunuh rakan mereka ‎sendiri.‎

Ibn al-Musayyib menjelaskan bahawa terhadap 7000 bangsa Mesir datang mengadu ‎kepada Uthman ra. mengenai gobenor mereka Ibn Abi Sarh yang zalim. Maka Uthman ‎pun berkata : Pilihlah seseorang yang akan memerintah kamu. Lalu mereka memilih ‎Muhammad ibn Abi Bakr. Uthman ra. menulis perlantikan untuknya dan merekapun ‎kembali.‎

Didalam perjalanan pulang, yang mengambil masa perjalanan 3 hari dari Madinah, ‎seorang hamba hitam bertemu mereka dengan membawa berita bahawa terdapatnya ‎arahan dari Uthman ra. kepada Gobenor Mesir. Mereka mengeledahnya dan mendapati ‎surat dari Uthman ra. kepada Ibn Abi Sarh mengarahkan kematian Muhammad ibn Abi ‎Bakr dan beberapa orang sahabatnya.‎

Merekapun kembali ke Madinah dan mengepong Uthman ra. Mereka mendapati bahawa ‎Unta, hamba hitam dan cop mohor adalah kepunyaannya, akan tetapi Uthman ra. ‎bersumpah bahawa dia tidak menulis surat tersebut atau mengarahkan agar surat tersebut ‎ditulis. Diketahui bahawa surat tersebut ditulis tangan oleh Marwan ibn al-Hakam. ‎Uthman ra. telah dikepong selama 22 hari dimana beliau enggan menyerahkan Marwan ‎dan enggan mengundurkan diri.‎

Pemberontak yang terdiri daripada perancang pemberontakan dan mereka yang diperdaya ‎dan termakan hasutan untuk turut serta dalam pemberontakan, mereka merempuh masuk ‎ketika para sahabat telah kembali ke rumah masing-masing setelah diperintahkan oleh ‎Saidina Uthman. Pintu rumahnya di bakar, diugutnya untuk melepaskan jawatan, atau ‎dibunuh! ‎

‎“Aku tidak akan menanggalkan pakaian (jawatan khalifah) yang telah Allah pakaikan ‎kepadaku! Aku akan terus berada dikedudukanku sekarang sehingga Allah memuliakan ‎ahli sa’adah (orang yang dijanjikan kebahagiaan oleh Allah) dan menghina ahli syaqa’ ‎‎(orang yang dijanjikan kecelakaan oleh Allah ). ” demikian kata Uthman sebagaimana ‎yang diriwayatkan didalam tarikh al-Tabari ketika diugut meletakkan jawatan khalifah ‎kaum muslimin.‎

Akhirnya beliau dibunuh, ditetak perutnya..mengalir darah syahid.. menitis darah di ‎mushaf yang berada ditangannya,isterinya Na‘ilah, yang cuba mempertahankan suami ‎tercinta, putus tangannya ditetak pemberontak laknatullah. Kedua-dua pihak gembira dan ‎berbahagia dengan peristiwa ini, berbahagialah Uthman menemui tuhannya sebagai ‎syahid,berbuka puasa bersama Baginda s.a.w didalam syurga, sedang munafiq ‎bergembira dengan kejayaan perancangan mereka menjatuhkan khalifah, nantikanlah ‎kalian azab Allah yang membakar di akhirat kelak..‎

Beliau telah di bunuh pada hari terakhir Zulhijah, pada hari Jumaat, dalam keadaan beliau ‎berpuasa, oleh beberapa orang pemberontak yang merempuh masuk kerumahnya. [al-‎Dhahabi, Siyar A`lam al-Nubala’ 1/2: 566-614]‎

No comments: