Qunut

Qunut : Qunut adalah dari perkataan Arab yang bererti ‘taat dan khusyuk kepada Allah’. Ia adalah satu istilah kepada perbuatan Rasulullah SAW yang mengangkat tangan berdoa selepas bangkit daripada rukuk rakaat yang terakhir.

Qunut yang warid (bersumberkan amalan) daripada Rasulullah adalah seperti qunut Solat Witir dan Qunut Nazilah. Mazhab Imam Syafi'e meletakkan Qunut Subuh Sebagai perkara sunat yang amat dituntut iaitu Sunat Mua'akad. Jika tertinggal qunut subuh maka hendaklah digantikan dengan Sujud Sahwi. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: "Solat yang lebih utama ialah memanjangkan qunut".

Menurut Imam Maliki, beliau berkata bahawa qunut subuh itu 'mustahab' (sesuatu perbuatan yang disukai nabi, tetapi tidak dibiasakannya).

Imam Malik dan Imam Syafi'e bersandarkan kepada hadits : Dari Anas r.a. berkata : Sentiasalah Rasulullah s.a.w. melakukan qunut dalam solat subuh sehingga beliau meninggal dunia". (HR Jama'atul Huffaz)

Dari Ibnu Sirin berkatalah dia, "Pernah aku bertanya kepada Anas : Pernahkah Rasulullah s.a.w. qunut pada solat subuh?. Ia menjawab: Ya, iaitu sesudah rukuk sebentar". (HR Bukhari dan Muslim)

Akan tetapi Abu Hanifah pula berkata: "Bahawa sesungguhnya diwaktu solat subuh tidak boleh membaca qunut, sebab qunut itu tempatnya hanya di Solat Witir".

Beliau berpegang kepada dalil, dari Abi Hurairah r.a. bahawasanya nabi pernah qunut di solat subuh, hingga katanya: "Kemudian sampai khabar kepada kami, bahawa qunut itu telah ditinggalkan tatkala turun ayat. 'Itu bukan urusan engkau wahai Muhammad, apakah Allah memberi taubat mereka, atau mengazab mereka sebab mereka orang yang aniaya". (HR Muslim).

Dari Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. pernah qunut sebulan lamanya sesudah rukuk, yang mendoakan suku-suku Arab, kemudian ditinggalkannya".(HR Bukhari dan Muslim).

Hadits-hadits di atas dijawab oleh ulamak mazhab syafi'e, bahawa qunut yang ditinggalkan hanyalah qunut nazilah, yang sifatnya mengutuk dan mendoakan kehancuran, tetapi qunut yang sifatnya tidak mengutuk tidak ada keterangan yang jelas bahawa nabi meninggalkannya, terutamanya qunut subuh.

No comments: