Bid'ah

Bid’ah: ( بدعة ) dari segi bahasa ialah setiap perkara yang diadakan atau dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya. Manakala dari segi istilahnya, iaitu setiap perbuatan yang dilakukan bukan berasal daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Dasar hukum yang pertama yang dipegang oleh kebanyakkan ulama' ialah dari zahir nas hadits:

كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة فى النار

Maksudnya:”Setiap yang baharu (kullu muhdathatin) adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu sesat (dhalalah), dan setiap yang sesat itu ke Neraka.”

Hadits di atas diriwayatkan dari Jabir oleh al-Nasa'i dengan sanad Hasan dan dari Ibn Mas'ud oleh Ibn Majah dengan sanad Dha’if. Hadith ini Sahih mengikut Imam Muslim berdasarkan riwayat dari Jabir dengan ungkapan: "Setiap yang baharu itu bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu sesat” tanpa menyebut “setiap yang sesat ke Neraka’.

Ibn Taimiyyah di dalam Minhaj al-Usul dalam Majmu' al-Fatawanya (hal. 19:191) menyebut bahawa ungkapan "setiap yang sesat itu ke Neraka" tidak Sahih daripada Rasulullah . Lihat juga pelbagai riwayat sepertimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan pengesahan beliau dalam lampiran kitab Tuhfatul Abrar oleh al-Lucknawi (hal. 139-144) terhadap kenyataan Ibn Taimiyyah itu.

Kalau mengikut apa yang diistilahkan mungkin perkara yang baru diada-adakan itu tidak pernah dibuat, dikata atau dipersetujui oleh Nabi s.a.w. dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu petunjuk yang baik atau Hasanah dan penyesatan atau sayyi’ah atau dhalalah.

Al Allamah Asy Syeikh Abdurrahman bin Nashir As Sa`di rahimahullah memaparkan tentang bid`ah : "Bid`ah adalah perkara yang diada-adakan dalam agama. Sesungguhnya agama itu adalah apa yang datangnya dari Nabi s.a.w. sebagaimana termaktub dalam Al Qur'an dan As Sunnah. Dengan demikian apa yang ditunjukkan oleh Al Qur'an dan As Sunnah itulah agama dan apa yang menyalahi Al Qur'an dan As Sunnah bererti perkara itu adalah bid`ah. Ini merupakan definisi yang mencakupi erti bid`ah. Beliau mengkategorikan bid`ah itu kepada dua bahagian, iaitu Bid’ah Iktiqad dan Bid’ah Amaliah.

Bid`ah I'tiqad
Iaitu bid`ah yang bersangkutan dengan keyakinan. Bid`ah ini juga diistilahkan bid`ah qauliyah (bid`ah dalam hal pendapat) dan yang menjadi rujukannya adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dalam kitab hadits:
"Umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan, semuanya berada dalam neraka kecuali satu golongan". Para shahabat bertanya : "Siapa golongan yang satu itu wahai Rasulullah ?. Beliau menjawab : "Mereka yang berpegang dengan apa yang aku berada di atasnya pada hari ini dan juga para sahabatku".

Jumhur ulamak bersependapat bahawa yang selamat dari perbuatan bid`ah ini hanyalah Ahlus Sunnah Wal Jama`ah kerana mereka itu berpegang dengan ajaran Nabi s.a.w. dan apa yang dipegangi oleh para sahabat radliallahu anhum dalam perkara usul (pokok) secara keseluruhannya, pokok-pokok tauhid , masalah kerasulan (kenabian), takdir, masalah-masalah iman dan seumpamanya.

Sementara kelompok-kelompok lain (yang menyimpang/keluar dari jalan yang benar) seperti Khawarij, Mu`tazilah, Jahmiyah, Qadariyah, Rafidhah, Syi’ah, Murji`ah dan pecahan dari kelompok-kelompok ini, semuanya merupakan ahlul bid`ah dalam perkara i`tiqad. Ajaran sesat dengan caranya sendiri yang menyimpang jauh dari ajaran al-Qur’an mahupun Hadits. Lihat sahaja cara mereka berzikir dan beribadat. Dan hukum yang dijatuhkan kepada mereka berbeza-beza, sesuai dengan jauh dekatnya mereka dari dasar agama, sesuai dengan keyakinan atau penafsiran mereka. Dan perincian dalam permasalahan ini sangatlah panjang untuk dihuraikan di sini.

Lihat sahaja cara Syi'ah menyambut hari kematian Saidina Hussin, dengan memukul diri, melukakan anak kecil, ini sudah tentu dapat dinilai oleh semua manusia bahawa itu adalah perbuatan melampau dan mengarut. Tidak ada apa-apa manfaat dari perbuatan tersebut, itupun jika betul mereka melukai tubuh, muka, belakang, kepala dan sebagainya sehingga mengeluarkan darah, ini bererti mereka menyiksa diri sendiri. Sekiranya perbuatan itu hanya lakonan semata-mata, maka mereka pula telah berbohong kepada umat Islam seluruhnya dan mempersenda-senda agama, sedangkan Allah mengharam daripada memudhratkan diiri sendiri, sebagaimana firman Allah:

Bid`ah Amaliyah
Iaitu bid`ah yang bersangkutan dengan amalan ibadah. Bid`ah amaliyah adalah penetapan satu ibadah dalam agama ini padahal ibadah tersebut tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan perlu diketahui bahawasanya setiap ibadah yang tidak diperintahkan oleh Allah s.w.t. baik perintah itu wajib ataupun mustahab (sunat) maka itu adalah bid`ah amaliyah dan masuk dalam sabda nabi s.a.w.:

"Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tidak di atas perintah kami maka amalannya itu tertolak".

Itulah kaedah yang dipegang oleh para imam termasuk Imam Ahmad rahimahullah dan selain beliau menyatakan :

"Ibadah itu pada asalnya terlarang (tidak boleh dikerjakan)".

Iaitu tidak boleh menetapkan atau mensyariatkan satu ibadah kecuali apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan mereka menyatakan pula :

"Muamalah dan adat (kebiasaan) itu pada asalnya dibolehkan (tidak dilarang)".

Oleh kerana itu tidak boleh mengharamkan sesuatu dari muamalah dan adat kecuali apa yang Allah s.w.t. dan rasul-Nya haramkan.

Allah ta’ala berfirman:

وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلاَّ ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللهِ

Al-Hadid: 27. Maknanya: “…dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah sedangkan kami tidak mewajibkannya kepada mereka melainkan (mereka sendiri yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah”.

Allah memuji perbuatan para pengikut Nabi Isa a.s. yang muslim kerana mereka menjauh dan memutuskan diri mereka daripada kesukaan nafsu syahwat yang tidak diwajibkan ke atas mereka semata-mata kerana menagih keredaan Allah.

Rasulullah s.a.w., bersabda:

مَن سَنَّ فِي الإِسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِن بَعْدِ

Maknanya: “Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut dan pahala orang-orang yang melakukan perbuatan itu selepasnya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Para sahabat Nabi dan generasi muslim selepas mereka banyak melakukan perkara-perkara baru yang baik dalam agama dan umat Islam menerima perkara itu seperti membina mihrab (tempat solat imam di masjid), azan kedua bagi solat Jumaat, meletakkan titik di dalam mushaf dan amalan Maulid Nabi.

Para Sahabat Melakukan Perkara Baharu Dalam Ibadah.
Berikut pula adalah beberapa peristiwa di mana para Sahabat melakukan ‘perkara baharu’
berasaskan ijtihad masing-masing berpandukan prinsip-prinsip Sunnah:

Rasulullah bersabda kepada Bilal – moga-moga Allah merahmatinya—pada ketika waktu Solat Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan Islam engkau yang manakah yang paling engkau harapkan ganjarannya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar bunyi tapak kasutmu di dalam Syurga.” Beliau menjawab: “Aku tidak melakukan apa-apa yang lebihku harapkan ganjarannya melainkan aku tidak pernah mengambil air solat samada siang atau malam melainkan aku lakukan solat apa yang patut aku solat”,

Dalam riwayat yang lain Bilal berkata: "Aku tidak pernah melaungkan Azan melainkan aku kerjakan solat dua rakaat selepas itu, dan tidak batal air solatku melainkan aku mengambilnya kembali dan mengerjakan solat dua rakaat selepas itu apa yang aku berhutang dengan Allah, ” mendengar itu Rasulullah bersabda “bihima”

Maksud “bihima” dengan dua amalan itu [kamu masuk Syurga]." Ibn Hajar berkata: "Hadith ini mengesahkan bahawa ijtihad dibenarkan dalam penetapan ‘masa’ bagi melakukan sesuatu amalan ibadat".

Golongan yang menolak dalil dari peristiwa di atas ini, akan beralasan bahawa pada ketika para Sahabat (r.anhum ajmain) melakukan amalan-amalan yang disebutkan ini, Rasulullah masih lagi hidup pada masa itu dan boleh membetulkan, samada membenar atau melarang perlakuan sedemikian.

Namun perlu kita ingat bahawa ‘semangat’ atau kecenderungan mengadakan ‘perkara baharu’ yang tidak diajarkan Rasulullah itu ternyata wujud di kalangan Sahabat dan mereka tidak merasakan itu suatu kesalahan. Malah Rasulullah sendiri tidak pula melarang Sahabat dari melakukan ‘perkara baharu’ itu, walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak pernah mengajarnya atau melakukannya, dengan syarat perlakuan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawanya, dan berasaskan prinsip umum Syari‘at.

Peristiwa yang seakan-akan sama turut terjadi kepada Sahabat bernama Khubayb ibn Isaf atau Yasaf al-Ansari (moga-moga Allah merahmatinya). Beliau meminta untuk mendirikan solat dua rakaat sebelum beliau dibunuh oleh orang-orang kafir Quraisy, seperti mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, moga-moga Allah merahmatinya. Abu Hurairah meriwayatkan sepertimana ditemui di dua tempat di dalam Sahih Bukhari dengan berkata: "Khubayb adalah orang pertama yang memulakan (sanna) mengerjakan dua rakaat Solat bagi setiap orang Islam yang akan dibunuh oleh musuhnya."

Begitu juga seorang Sahabat, Rifa'a ibn Rafi' al-Zurqi, mereka-reka satu doa ketika Rasulullah mengimami Solat Maghrib. Ketika Rasulullah menyebut:

( سمع الله لمن حمده )

sebaik bangkit dari ruku’: "Moga Allah mendengar orang yang memujinya!" Rifa'a menyambung:

( ربنا ولك الحمد )

"Tuhan kami! Segala puji bagi Mu, melimpah ruah, agung, dan penuh keberkatan!" Kemudian setelah selesai solat Baginda bertanya siapakah yang telah berkata sedemikian kerana para Malaikat telah berebut-rebut berlumba ingin menjadi yang pertama menulisnya. (HR Rifa'a oleh Bukhari, al-Nasa'i, Ahmad, dan Malik)

Ibn Hajar berkata: "Dari hadith ini boleh dirumuskan ‘kebenaran mencipta’ (jawaz ihdāth) doa di dalam solat selain daripada apa yang diterima dari Rasulullah selama mana ianya tidak bercanggah dengan apa yang diterima dari Rasulullah ." (Lihat Fath al-Bari cetakan 1959. 2:287 #766).

Insiden yang hampir sama turut berlaku kepada seorang Sahabat yang datang lambat ketika memasuki saf solat dan memulakan solat dengan perkataan:

“الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا”

Maksudnya: Allah itu Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Engkau Ya Allah pagi dan petang” Selepas selesai solat Rasulullah bertanya siapakah yang berkata sedemikian. Seorang sahabat mengaku dan berkata: "Wahai Rasulullah! Tidak aku lakukan itu melainkan berniat baik belaka”. Rasulullah bersabda: "Aku melihat pintu-pintu langit terbuka dengan kerana kalimat itu.”

Ibn 'Umar seterusnya menyambung “"Aku tidak pernah berhenti dari menyebutnya sejak itu selepas mendengar sabda Rasulullah itu".

Di sana ada banyak ayat-ayat dan hadith-hadith lain yang menjelaskan prinsip-prinsip sama seperti di atas. Ianya jelas sekali merupakan satu kejahilan yang amat sangat terhadap asas-asas prinsip Shari‘at dan ilmu Islam – suatu pendekatan yang menyalahi amalan Salaf dan Khalaf di kalangan Ahlul Sunnah wal Jama‘ah – bagi mereka yang mentafsirkan:

"Setiap yang baharu itu Bid‘ah" dalam makna yang mutlak tanpa merujuk kepada hukum Syari‘at yang sudah termaktub dalam setiap kes-kes tersebut.

Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata tentang hadith "Setiap yang baharu itu Bid‘ah": Ini adalah kaedah umum yang membawa maksud khusus (‘ammul maksud). Apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang baharu’ adalah yang bertentangan dengan Syari‘at. Itu dan itu sahaja yang dimaksudkan dengan Bid‘ah”.

Pandangan Abu Bakar Ibnu Arabi
Begitu juga Abu Bakar ibnu al-‘Arabī di dalam Syarahnya berhubung dengan hadith dalam al-
Tirmizi: “iyyakum wa muhdathat al-umur” iaitu “berhati-hati kamu dengan perkara baharu”. Beliau berkata: “Ketahuilah – moga-moga Allah mengajarmu! – bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘perkara baharu’ itu ada dua jenis: pertama yang tidak mempunyai asas dan mengikut hawa nafsu, yang semestinya ini tidak sah; atau perkara baharu yang selari dengan prinsip yang sudah ada, iaitu Sunnah para Khulafa’ dan para Imam-imam besar. ‘Perkara baharu’ (muhaddath) dan ‘bid‘ah’ bukanlah istilah yang semestinya terkandung di dalamnya makna keji dan dibenci.

Pandangan Imam Syafi'e
Al Hafiz Al Muhaddits Al Imam Muhammad bin Idris As Syafi’e rahimahullah (Imam Syafi'e), berkata Imam Syafi’e bahawa bid’ah terbagi dua, iaitu Bid’ah Mahmudah (terpuji) dan Bid’ah Madzmumah (tercela), maka yang sejalan dengan sunnah maka ia terpuji, dan yang tidak selaras dengan sunnah adalah tercela, beliau berdalil dengan ucapan Umar bin Khattab r.a mengenai solat tarawih : “inilah sebaik-baik bid’ah”. (Tafsir Imam Qurtubiy juz 2 hal 86-87)

Pandangan Imam Qurtubi
Al Imam Al Hafiz Muhammad bin Ahmad Al Qurtubiy rahimahullah“Menanggapi ucapan ini (ucapan Imam Syafii), maka kukatakan (Imam Qurtubi berkata) bahawa makna hadits Nabi saw yang berbunyi : “seburuk buruk permasalahan adalah hal yang baru, dan semua Bid’ah adalah dhalalah” (wa syarrul umuuri muhdatsaatuha wa kullu bid’atin dhalaalah), yang dimaksud adalah hal hal yang tidak sejalan dengan Al Qur’an dan Sunnah Rasul s.a.w, atau perbuatan Sahabat radhiyallahu ‘anhum. Hal ini telah diperjelas oleh hadits lainnya : “Barangsiapa membuat-buat hal baharu yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya dan tak berkurang sedikitpun dari pahalanya, dan barangsiapa membuat buat hal baharu yang buruk dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang yang mengikutinya” (Sahih Muslim hadits no. 1017) dan hadits ini merupakan inti penjelasan mengenai bid’ah yang baik dan bid’ah yang sesat”. (Tafsir Imam Qurtubi juz 2 hal 87)

Pandangan Imam Nawawi
Al Muhaddits Al Hafiz Al Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf An Nawawi rahimahullah (Imam Nawawi) “Penjelasan mengenai hadits : “Barangsiapa membuat buat hal baharu yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya dan tak berkurang sedikitpun dari pahalanya, dan barangsiapa membuat buat hal baru yang dosanya”, hadits ini merupakan anjuran untuk membuat kebiasaan-kebiasaan yang baik, dan ancaman untuk membuat kebiasaan yang buruk, dan pada hadits ini terdapat pengecualian dari sabda beliau s.a.w : “semua yang baharu adalah Bid’ah, dan semua yang Bid’ah adalah sesat”, sesungguhnya yang dimaksudkan adalah hal baharu yang buruk dan Bid’ah yang tercela”. (Syarah Annawawi ‘ala Sahih Muslim juz 7, hal. 104-105)

Pembahagian Bid'ah Mengikut Imam Nawawi
Dan berkata pula Imam Nawawi bahawa Ulama membahagi bid’ah menjadi 5, iaitu Bid’ah yang wajib, Bid’ah yang mandub, bid’ah yang mubah, bid’ah yang makruh dan bid’ah yang haram. Bid’ah yang wajib contohnya adalah mencantumkan dalil-dalil pada ucapan-ucapan yang menentang kemungkaran, contoh bid’ah yang mandub (mendapat pahala bila dilakukan dan tak mendapat dosa bila ditinggalkan) adalah membuat buku buku ilmu syariah, membangun majlis ta’lim dan pondok, dan Bid’ah yang Mubah adalah bermacam-macam dari jenis makanan, dan Bid’ah makruh dan haram sudah jelas diketahui, demikianlah makna pengecualian dan kekhususan dari makna yang umum, sebagaimana ucapan Umar r.a atas solat tarawih secara berjamaah bahawa inilah sebaik-baik bid’ah”. (Syarah Imam Nawawi ‘ala Sahih Muslim Juz 6 hal 154-155).

Pandangan Imam As-Suyuti
Al Hafiz Al Muhaddits Al Imam Jalaluddin Abdurrahman As Suyuthiy rahimahullah mengulas mengenai hadits “Bid’ah Dhalalah” ini bermakna “Aammun makhsush”, (sesuatu yang umum yang ada pengecualiannya), seperti firman Allah :

Al-Ahqaf: 25. Maksudnya: "Yang menghancur leburkan segala-galanya Dengan izin Tuhannya". (setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) - tidak ada Yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum Yang berdosa.

Allah Menghancurkan segala sesuatu dan kenyataannya tidak segala-galanya hancur, (atau ayat : “Sungguh telah kupastikan ketentuanku untuk memenuhi (neraka) jahannam dengan jin dan manusia keseluruhannya” QS Assajdah-13), dan pada kenyataannya bukan semua manusia masuk neraka, tapi ayat itu bukan bermakna keseluruhan tapi bermakna seluruh musyrikin dan orang zalim) atau hadits : “aku dan hari kiamat bagaikan kedua jari ini” (dan kenyataannya kiamat masih belum berlaku setelah beribu tahun setelah wafatnya Rasul saw) (Syarah Assuyuthiy Juz 3 hal 189).

Maka bila muncul pemahaman di akhir zaman yang bertentangan dengan pemahaman para Muhaddits maka mestilah kita berhati hati darimanakah ilmu mereka?, berdasarkan apa pemahaman mereka?, atau seorang yang disebut imam padahal ia tak mencapai darjat hafiz atau muhaddits?, atau hanya ucapan orang yang tak punya sanad, hanya menukil-nukil hadits dan mentakwilkan semaunya tanpa memperdulikan fatwa-fatwa para Imam?

Kesimpulan.
Mungkin tepat jika kita menerima hadits yang menyatakan setiap perkara baharu itu bid’ah, adalah amaran Rasulullah s.a.w. agar diakhir penghidupan manusia nanti tidak akan berlaku dengan sewenang-wenangnya perbuatan mengadakan perkara-perkara baharu dalam amalan ibadah.

Oleh itu jika perkara-perkara baharu itu tidak bersangkut paut dengan amalan ibadah, bahkan ianya dengan sejujurnya dilakukan demi kepentingan kemajuan umat Islam, penyatuan umat manusia, kebaikan ekonomi dan kemudahan dalam melakukan amalan hidup di dunia tidak dinamakan bid’ah.

Jika ditafsirkan setiap perkara yang dilakukan oleh manusia hari ini bid’ah jika tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., maka tidak akan ada yang akan terselamat dari perbuatan bid’ah. Semua umat Islam hari ini menaiki kenderaan bukan unta, menggunakan telefon, menggunakan komputer, memakai kain berwarna-warni, tidak memakai jubah, membina rumah batu, dan sebagainya.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa bid’ah sesungguhnya ada dua bahagian, iaitu yang baik dan yang buruk.

No comments: