Hukum Hudud

HUDUD : ( حدود ) jamak daripada perkataan ( حد ). Dan segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh. Dan segi segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T. Kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:"…….. dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah,
maka mereka itulah orang-orang Yang zalim".(
Al-Baqarah, 2:229).

Walau bagaimanapun ijmak ulamak memperincikan hukum hudud tadi dengan mengambil kira kriteria-kriteria tertentu sebelum seseorang yang dituduh melakukan kesalahan hudud dijatuhkan hukumannya. Mereka berpegang dan merujuk kepada banyak hadits-hadits yang telah diambil daripada Rasulullah s.a.w. Jika hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu, jenis hukuman yang lain boleh diambil kira, misalnya qisas, diyat dan ta’zir.

Kesalahan Hudud
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Zina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`. Zina pula terbahagi kepada 2 jenis pelakunya, iaitu Zina Muhsan dan Ghairu Muhsan. Muhsan ertinya penzina itu telah berkahwin atau pernah berkahwin dan telah melakukan persetubuhan, manakala Ghairu Muhsan pula lelaki atau perempuan yang belum pernah berkahwin. Kedua-dua jenis penzina ini apabila dilaksanakan hukum hudud ke atas mereka adalah berbeza diantara satu sama lain.

b) Qazaf, atau Menuduh orang berzina, iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang perempuan yang baik lagi suci samada isteri atau bukan isteri atau menafikan keturunan yang dilahirkan olehnya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

c) Khamar, Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.

d) Sariqah, Mencuri : iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.

f) Hirabah, Merompak : iaitu keluar seseorang atau sekumpulanyang tertentu dengan tujuan untuk mengambil harta orang lain yang bukan haknya atau membunuh orang tidak bersalah atau menakutkan orang ramai dengan cara kekerasan.

g) Bughat, Sesuatu kumpulan yang sengaja menentang pemerintah sesebuah negara atau negeri yang melaksanakan Islam. Mereka beranggapan hanya kumpulan mereka yang betul. Mereka ini harus diperangi jika memenuhi beberapa syarat antaranya:

  • Mereka mempunyai kekuatan hingga berani menentang pemerintah yang adil, atau mereka telah menawan sesuatu daerah dalam pencerobohannya.
  • Mereka benar-benar tidak mahu mengaku pemerintah yang adil sebagai pemerintah.
  • Mereka mendakwa mempunyai dasar yang serupa dengan al-qur'an dan hadits dan menganggap mereka boleh keluar dari pemerintah yang sah. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil". (al-Hujurat : 9)

Peralatan mendera, bilangan dan bahagian didera.
Kalau zaman ini hukuman kepada pesalah takzir kebayakkannya dilakukan menggunakan rotan, tetapi pada zaman Rasulullah s.a.w. dilaksanakan dengan beberapa perkara, antaranya sandal dan pelepah tamar.

Hal ini dibuktikan dari hadits yang diriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya: “Nabi s.a.w. pernah memukul seseorang dengan sandal, pelepah kurma empat puluh kali, kerana orang itu minum khamar”. (Hadits riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melaksanakan sebatan (dera) pada seseorang dengan pelepah kurma dan dengan sandal. Kemudian Abu Bakar juga melaksanakan sebatan empat puluh kali.

Dan semenjak Umar bin al-Khattab memerintah, kaum muslimin mendekati masa kemakmuran, tanah-tanah banyak yang subur dan banyak menghasilkan kurma dan anggur. Ketika itu Umar r.a. bertanya: Bagaimana pendapatmu tentang sebatan minum arak (khamar) pada masa sekarang?, jawab Abdul Rahman bin Auf: Saya kira ramai orang yang menganggap ringan tentang hukuman peminum arak itu. Sesudah itu Umar melaksanakan sebatan sampai lapan puluh”. (Hadits riwayat Muslim).

Pada zaman Rasulullah s.a.w. diperintahkan memukul di bahagian punggung, sebagaimana yang diceritakan di dalam hadits, sabda Rasulullah s.a.w. kepada Syarik Ibnus-Samha’ dalam masalah tuduhan zina ke atas isterinya:

“Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal lalu berkata: Ya Rasulullah, apabila salah seorang dari kita melihat seorang lelaki dengan isterinya (berbuat curang), apakah dia harus pergi mencari saksi? Maka Nabi s.a.w. tetap berkata; Bawa saksi atau (engkau) dihukum (dipukul) pada punggungmu. Hilal berkata: Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan hak, sesungguhnya aku benar. Dan Allah pasti akan menurunkan sesuatu yang dapat membebaskan punggungku dari hukuman (pukulan)”.

Dengan sebab peristiwa di atas maka turunlah ayat dari surah An-Nur ayat 6 hingga 7, berkenaan syarat-syarat Li'an.

Hukuman Hudud Ke Atas Pencuri

MENCURI : ertinya mengambil barang orang lain dengan cara sembunyi-sembunyi yang telah disimpan di tempat yang sesuai tanpa izin tuannya.

Hukumannya.
Harus dipotong tangannya jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Pencuri sudah baligh dan berakal sihat.

2. Pencuri yang mencuri dengan rasa bangga atas perbuatannya atau kerana tamak atau dengki, bukan kerana lapar atau dharurat.

3. Barang yang dicuri nilainya melebihi satu nisab atau seperempat dinar. Sekiranya barangan yang dicuri tidak sampai seperempat dinar tidak harus dipotong tangannya, walaupun sabit kesalahan. Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak dipotong tangan pecuri, kecuali kalau telah mencuri seperempat dinar”. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Barang yang dicuri bukan milik sendiri atau bukan serupa dengan milik sendiri.

5. Barangan yang dicuri telah disimpan ditempat yang selayaknya dan dijaga rapi.

Dari Abdullah bin Umar bin Al-‘As r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang buah kurma yang tergantung (di pohon). Nabi s.a.w. menjawab:”Barangsiapa yang memerlukan mengambil secukupnya, tidak dengan kain sarungnya, maka tidak jadi apa. Dan barang siapa yang keluar (dari kebun) dengan membawa sebahagian (buah kurma), maka wajib baginya mengganti dua kali ganda dan mendapat pengajaran (hukuman). Tetapi barangsiapa yang mengambil kurma itu setelah disimpan dalam tempat simpanannya, sebanyak harga perisai (seperempat dinar), maka wajib dipotong tangannya”. (Hadits riwayat Abu Daud dan lain-lain).

Jika memenuhi syarat-syarat di atas maka hendaklah dilaksanakan hukuman hudud. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: “Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (QS Al-Maidah : 38)

Cara Pelaksanaan Hukuman
Jika sabit kesalah seperti syarat-syarat di atas maka wajib dihukum hudud.

1. Mecuri kali pertama kali dipotong tangan kanannya dari sendi pergelangan;
2. Mencuri kali kedua dipotong kaki kirinya dari sendi pergelangan;
3. Mencuri kali ketiga dipotong tangan kirinya dari sendi pergelangan;
4. Mencuri lagi kali keempat dipotong kaki kanannya dari sendi pergelangan.

Jika masih mencuri walaupun kaki dan tangan telah dipotong maka hendaklah dijatuhkan hukuman ta’zir (ditentukan oleh hakim atau qadhi). Menurut sebahagian pendapat pencuri itu dihukum bunuh. Hukuman ini berdasarkan firman Allah menurut bacaan Ibnu Mas’ud “maka potonglah tangan kanannya”.

Diriwayatkan oleh at-tabrani bahawasanya Nabi s.a.w. pernah dibawa kehadapannya seorang pencuri, kemudian baginda memerintahkan supaya dipotong tangan kanannya”. (Mughni-Muhtaj, ayat 177/4)

Diriwayat dari Ali k.w. ia berkata: “Apabila pencuri telah mencuri, maka harus dipotong tangan kanannya, apabila mencuri lagi, maka harus dipotong kaki kirinya” (Hadits riwayat Daraqutni)

Abu Hurairah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila seseorang mencuri, maka potonglah tangannya, kemudian apabila mencuri lagi potonglah kakinya, dan bila mencuri lagi potonglah tangannya. Bila diulangi lagi potonglah kakinya”. (Mughni Muhtaj, 178/4, al-Um 138/6)

Kembali Ke Tajuk Asal - HUKUM HUDUD

Hukuman Hudud Ke Atas Peminum Khamar

Khamar : Iaitu sesuatu jenis minuman atau makanan yang boleh memabukkan, dalam pengertian bahasa arab khamar bererti arak, akan tetapi hukuman dera bukan hanya dikenakan kepada peminum arak semata-mata, ini termasuk juga minuman atau makanan yang memabukkan yang lain seperti tuak masam, air daun ketum, susu masam atau samsu, dadah dan ganja, dan sesuatu yang bersifat seumpamanya. Barangsiapa meminum khamar atau arak atau minuman yang memabukkan maka didera 40 kali sebatan, dan boleh sampai 80 sebatan apabila perlu tetapi atas dasar memberi pengajaran, bukan ata dasar memberi hukuman.


Hukum Minum Arak

Dalil haram arak di dalam al-Qur'an antaranya: Maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir". (Al-Baqarah: 219)

Dari Anas bin Malik berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melaksanakan sebatan (dera) pada seseorang dengan pelepah kurma dan dengan sandal. Kemudian Abu Bakar juga melaksanakan sebatan empat puluh kali. Dan semenjak Umar bin al-Khattab memerintah, kaum muslimin mendekati masa kemakmuran, tanah-tanah banyak yang subur dan banyak menghasilkan kurma dan anggur. Ketika itu Umar r.a. bertanya: Bagaimana pendapatmu tentang sebatan minum arak (khamar) pada masa sekarang?, jawab Abdul Rahman bin Auf: Saya kira ramai orang yang menganggap ringan tentang hukuman peminum arak itu. Sesudah itu Umar melaksanakan sebatan sampai lapan puluh”. (Hadits riwayat Muslim).

Begitu juga dengan hadits berikut, yang menyatakan dengan jelas bahawa hukuman yang dijatuhkan hanya sebagai pengajaran dan bukan atas dasar melaksanakan hukuman.
Diriwayatkan oleh Muslim, bahawa : Sesungguhnya Usman r.a. menyuruh supaya Walid bin Uqbah bin Abi Mu’aith didera. Maka Abdullah bin Jabir melaksanakannya. Setelah sampai yang keempat puluh maka Saidina Ali k.w. berkata: cukuplah. Kemudian Ali menambah katanya: Nabi s.a.w. memberi hukuman keatas peminum khamar hanya empat puluh kali, Abu Bakar juga melaksanakan empat puluh kali, tetapi Umar lapan puluh kali. Semuanya itu adalah sunnah, dan yang ini (empat puluh kali) adalah yang kusukai, kerana telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w., beliau sangat berhati-hati dalam melaksanakan hukum Allah”. (Hadits riwayat Muslim).

Sabit Hukuman

Hukuman ke atas peminum arak akan dijatuhkan apabila terdapat padanya salah satu daripada perkara berikut;
  1. Kerana ada tanda-tanda bahawa ia minum khamar.

  2. Kerana mengaku bahawa ia telah minum khamar.

Tetapi seseorang tidak akan disebat kerana muntah khamar atau dari mulut atau hidungnya berbau khamar.

Apakah jenis minuman yang diharamkan?

“Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang minuman yang terbuat dari madu dan minuman yang terbuat dari sya’ir atau gandum? Nabi s.a.w. bertanya: Apakah minuman itu memabukkan?, jawab orang yang bertanya : Benar. Nabi s.a.w. melanjutkan sabdanya: Tiap minuman yang memabukkan itu haram. Sesungguhnya Allah berjanji kepada orang-orang yang suka minum minuman yang memabukkan, akan diberi minuman ‘Thainatul-Khabal’. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah ‘Thainatul-Khabal’ itu?, Jawab Rasulullah s.a.w., iaitu peluh penduduk neraka atau tirai penduduk neraka”. (Hadits riwayat Muslim).

Apakah kadar minum yang kena hukuman?

Mengikut apa yang dicatatkan oleh para sahabat minuman yang memabukkan tetap haram walaupun sedikit.

Jabir r.a. berkata : “Rasulullah s.a.w. bersabda: Apapun yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan”. (hadits riwayat Abu Daud).

Apakah Peralatan Sebatan (dera) yang digunakan zaman Rasulullah?

Kalau zaman ini hukuman kepada pesalah takzir kebayakkannya dilakukan menggunakan rotan, tetapi pada zaman Rasulullah s.a.w. mungkin sukar untuk mendapat rotan. Dan rotan bukanlah perkara sebenar yang difirman Allah dalam al-Qur'an. ( فاجلدوا كل واحد ماءة جلدة ) Jildun bukan bermaksud rotan. Oleh itu di zaman Rasulullah s.a.w. hukumaan sebat dilaksanakan dengan beberapa perkara, antaranya sandal dan pelepah tamar. Hal ini dibuktikan dari hadits yang diriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya:

“Nabi s.a.w. pernah memukul seseorang dengan sandal (selipar/sepatu), pelepah kurma empat puluh kali, kerana orang itu minum khamar (arak)”. (Hadits riwayat Muslim).

Apakah Sebatan 40 atau 80

Dari Anas bin Malik berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melaksanakan sebatan (dera) pada seseorang dengan pelepah kurma dan dengan sandal. Kemudian Abu Bakar juga melaksanakan sebatan empat puluh kali. Dan semenjak Umar bin al-Khattab memerintah, kaum muslimin mendekati masa kemakmuran, tanah-tanah banyak yang subur dan banyak menghasilkan kurma dan anggur. Ketika itu Umar r.a. bertanya: Bagaimana pendapatmu tentang sebatan minum arak (khamar) pada masa sekarang?, jawab Abdul Rahman bin Auf: Saya kira ramai orang yang menganggap ringan tentang hukuman peminum arak itu. Sesudah itu Umar melaksanakan sebatan sampai lapan puluh”. (Hadits riwayat Muslim).

Kembali Ke Tajuk Asal - HUKUM HUDUD

Hukuman Hudud Ke Atas Penqazaf

Qazaf : ertinya melemparkan atau asalnya menuduh orang berzina, iaitu membuat tuduhan zina ke atas perempuan yang baik lagi suci samada isteri atau bukan isteri atau menafikan keturunan yang dilahirkan olehnya dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi yang adil. Dalam masalah suami menuduh isteri berzina ianya disebut sebagai Li’an, jika mengikut syarat-syarat tertentu.

Jika seseorang menuduh orang lain berzina (yang dituduh biasanya perempuan) tanpa ada bukti atau 4 orang saksi akan dikenakan hukum hudud iaitu 80 kali dera, dan jika hamba sahaya yang berzina maka separuh daripada orang merdeka.

Syarat-syaratnya
Syarat bagi orang yang menuduh ada 3.

1. Orang yang menuduh sudah akil baligh.
2. Orang yang menuduh berakal sihat.
3. Orang yang menuduh bukan ibubapa tertuduh.

Dan 5 syarat bagi yang dituduh:

4. Yang dituduh orang muslim
5. Yang dituduh sudah baligh
6. yang dituduh berakal sihat
7. Yang dituduh orang merdeka.
8. Yang dituduh orang yang selalu menjaga kehormatan dirinya atau bukan orang yang buruk akhlaknya.

Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:“ Sesungguhnya orang-orang Yang menuduh perempuan-perempuan Yang terpelihara kehormatannya, Yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi Yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa Yang besar;”. (An-Nuur : 23) Maksudnya:“ Dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik;” (An-Nuur: 4)

Orang yang menuduh akan terlepas daripada dikenakan hukuman jika dapat mengadakan salah satu daripada tiga perkara;
1. Apabila dapat menunjukkan bukti-bukti.
2. Dimaafkan oleh orang yang dituduh.
3. Berani Li’an – iaitu bersumpah lima kali dengan disaksikan orang ramai di depan hakim jika suami isteri.
Kembali Ke Tajuk Asal - HUKUM HUDUD

Hukuman Hudud Ke Atas Penzina

Penzina : terbahagi kepada 2 jenis pelakunya, iaitu Muhsan dan Ghairu Muhsan.

Muhsan ertinya lelaki atau perempuan itu telah berkahwin atau pernah berkahwin dengan akad yang sah dan telah melakukan persetubuhan, manakala Ghairu Muhsan pula lelaki atau perempuan yang belum pernah berkahwin. Kedua-dua jenis penzina ini apabila dilaksanakan hukum hudud ke atas mereka adalah berbeza diantara satu sama lain.

Muhsan terdiri di antaranya, suami, duda, janda atau isteri. Jika yang berzina itu Muhsan, jika sabit kesalahan maka hukumannya direjam (dengan batu) sampai mati.

Ghairu Muhsan terdiri daripada mereka yang dikenali sebagai jejaka, teruna, gadis atau dara. Hukuman dera ke atas ghairu Muhsan 100 rotan dan dibuang daerah selama satu tahun.

Dalil daripada hadits Nabi s.a.w.:
“Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Ada seorang lelaki (Maiz bin Malik Al Aslam) datang kepada Nabi s.a.w. ketika baginda sedang di masjid, katanya: Ya Rasulullah, saya berzina. Mendengar ucapan itu Rasulullah berpaling darinya. Tetapi orang itu mengulang-ulang perkataannya, bahkan bersumpah pula. Maka Nabi s.a.w. memanggilnya dan bertanya: Apakah engkau berzina Muhsan?, jawabnya: Benar. Nabi s.a.w. bersabda: Bawalah orang ini dan rejamlah!”

Jika yang berzina itu Ghairu Muhsan, jika sabit kesalahan maka hukumannya 100 sebatan dan dibuang negeri (sejauh perjalanan solat qasar atau melebihi 2 marhalah) selama satu tahun. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “Perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman”. (An Nur : 2)

Dalil dibuang satu tahun berdasarkan sabda nabi s.a.w.:
“Zaid bin Kholid r.a. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya orang yang zina ghairu muhsan, didera seratus kali dan dibuang satu tahun …..”. (Hadits riwayat Bukhari)

Ibnu Syihab berkata : Pernah aku diberitahu oleh Urwah bin Azzabair, bahawa Umar bin al-Khattab membuang orang berzina. Sesudah itu turunlah sunnah Rasulullah yang demikian.

“Ubbadah bin Askshomit r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Jejaka berzina dengan gadis, hukumannya seratus kali dan dibuang selama satu tahun”.

Pembuangan harus dilakukan paling dekat jarak sah solat qasar atau lebih jauh jika perlu. Hal ini tidak ada beza di antara lelaki dan perempuan. Tetapi pembuangan untuk wanita harus disertai dengan mahramnya.

Penzina Hamba Sahaya

Hukuman bagi hamba sahaya adalah separuh daripada hukuman orang merdeka. Mengikut jumhur ulamak hamba baik yang muhsan atau ghairu muhsan hukumannha 50 kali dera dan dibuang setengah tahun. Hal ini kerana rejam tidak dapat dibahagi dua. Ini berdasarkan firman Allah: Makdudnya:"…... kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa Yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan Yang merdeka. (Hukum perkahwinan) Yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin Dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang Yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin Dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (An-Nisa’ : 25).

Syarat-syarat zina Muhsan
Syarat-syarat zina Muhsan empat perkara : baligh, berakal, merdeka dan pernah bersetubuh dalam akad nikah yang sah.


Kembali Ke Tajuk Asal - HUKUM HUDUD

Hukuman Hudud Ke Atas Murtad

MURTAD : Ertinya keluar dari Islam, menjadi kafir. Barangsiapa yang murtad, maka hukuman pertamanya harus diingatkan bahkan diperintah agar bertaubat. Peringatan ini dilakukan hingga tiga kali. Jika ia bertaubat maka ianya diterima. Jika tidak mahu bertaubat setelah tiga kali diberi peringatan harus dibunuh dan tidak boleh dimandikan atau disolatkan malah tidak boleh (haram) dikuburkan di tanah perkuburan orang-orang Islam. “…… dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”
.(al-Baqarah: 217)


Harus diperingatkan supaya bertaubat

Berdasarkan hadits: Dari Jabir r.a. berkata: Ada seorang perempuan bernama Ummu Rauman telah murtad, maka nabi s.a.w. memerintahkan orang menyuruh perempuan itu kembali kepada Islam. Bila (dia) mahu bertaubat, biarkanlah. Tetapi apabila tidak mahu bertaubat, bunuhlah”. (Hadits riwayat daruqutni).

Menurut sebahagian pendapat, sesudah diperingatkan, harus ditangguhkan (ditahan) sehingga tiga hari;

Umar r.a. berkata: Apakah tidak kamu tahan lebih dahulu tiga hari, setiap harinya kamu kamu beri ia makan roti dan kamu perintahkan bertaubat, mungkin dia mahu bertaubat dan kembali kepada ajaran Allah?. Kemudian Umar r.a. berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku tidak hadir, aku tidak memerintahkan dan tidak rela apabila sampai padaku”. (al-Muwatto’: 737/2)

Akan tetapi pelaksanaan hukuman bunuh bagi orang islam yang murtad bukan tiga hari, tetapi diperingatkan tiga kali, kemudian jika masih enggan ia harus dibunuh. Ini adalah menurut pendapat yang rajih. Sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits mereka. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Ketika majlis pelantikan Abu Musa al-Asy’ari r.a. sebagai Gabenor Yaman yang diikuti oleh Mu’adz bin Jabal. Setelah ia datang di sini, maka dipersilakan ia duduk di majlis, tiba-tiba berhampiran tempat duduknya ada seorang tawanan lelaki, lalu ia bertanya: Apakah ini?, lalu dijawab oleh salah seorang sahabat: Orang ini asalnya orang Yahudi, kemudian masuk Islam, tetapi keluar (murtad) semula dan menjadi Yahudi lagi. Abu Musa tidak mahu duduk, jawabnya: “Saya tidak akan duduk kecuali kalau orang ini telah dibunuh. Hukum Allah dan RasulNya harus disegerakan”. Maka diperintah membunuh tawanan murtad itu

Kembali Ketajuk Asal - HUKUM HUDUD

Hukuman Hudud Ke Atas Perompak

Hukuman hudud ke atas perompak atau penyamun dapat dibahagikan kepada empat keadaan jika sabit kesalahan.

  1. Perompak yang hanya membunuh dan tidak mengambil harta rompakan maka harus dibunuh dan digantung.

  2. Perompak yang mengambil harta dan membunuh maka harus dibunuh dan digantung.

  3. Perompak yang mengambil harta dan tidak membunuh maka harus dipotong tangan dan kakinya secara bersilang (tangan kanan dan kaki kiri).

  4. Jika hanya menakut-nakut orang yang lalu lintas, tetapi tidak pula merompak atau membunuh, maka ditawan dan dibuang negeri.


Apabila perompak itu orang Islam, maka sesudah dibunuh harus dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Sesudah itu disalibkan dipapan selama tiga hari jika tidak busuk atau reput. Ini adalah sebagai peringatan dan pengajaran kepada orang yang melihatnya. Hukuman ini adalah sebagaimana disebut di dalam al-Qur’an, firman Allah: Maksudnya:"Hanyasanya balasan orang-orang Yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah Dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja Dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). hukuman Yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa Yang amat besar. (al-Maidah : 33)

Kembali ke Tajuk Asal - HUKUM HUDUD

Sedekah

Sedekah : Sedekah ialah memberikan zat dengan tidak ada tukarannya kerana mengharapkan pahala dari Allah s.w.t. di Akhirat. Sedekah yang dimaksudkan di sini ialah sedekah 'tatawwuk' (sedekah sunat). Dengan fahaman yang lain bahawa sedekah itu ialah pemberian sesuatu barangan atau wang oleh seseorang kepada seseorang yang lain, dengan maksud untuk mencari keredhaan Allah.

Sedekah berbeza daripada Hadiah walaupun dari segi perbuatannya sama iaitu memberi dan menerima. Sedekah berlaku di antara pemberi dari kedudukan tinggi kepada penerima yang lebih rendah kedudukkannya.

Sedekah wajid ialah zakat; zakat hanya dapat dilakukan jika ada kekayaan tertentu yang dihasilkan melalui usaha. Maka sungguh beruntunglah para pengusaha dan pedagang yang dengan kekayaan yang dilimpahkan Allah kepada mereka, dapat menunaikan zakat hartanya setiap tahun. Di sinilah kelebihan para saudagar dan pengusaha beriman dan bertakwa dapat menjadi ‘tangan atas’ (pemberi) dibandingkan dengan penerima sedekah.

Untuk menjadi dermawan yang mampu diperlukan harta, ini dapat diperolehi melalui usaha dan berdagang (jual beli) yang halal.

Memberikan sedekah, baik yang wajib iaitu zakat, mahupun sedekah sunat kepada fakir miskin adalah kebajikan yang dituntut agama Islam.

Hartawan dan pengusaha muslim yang hidupnya mengarah kepada keredhaan Allah, akan mencari harta sekuat tenaga, lalu tanpa ragu-ragu menginfakkan kepada saluran-saluran yang telah ditentukan syarak.

Dalil-dali dari al-Qur’an dan Hadits yang menggalakkan bersedekah antaranya firman Allah sw.t.:
Ertinya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (at-Taubah : 60)
Ertinya:"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan". (al-Baqarah: 271)

Syarat-syarat sah sedekah
Sedekah dipandang sah jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
  • Pemberi Sedekah itu sihat akalnya dan tidak dibawah pengawasan (wali) orang lain. Tidak sah seekahnya jika dilakukan terus oleh orang gila, anak-anak belum baligh dan orang-orang yang kurang sihat jiwanya (seperti pemboros). Tetapi jika anak-anak di bawah jagaan ibubapa sah sedekahnya jika pemberiannya diizinkan oleh ibubapa dan pahalanya akan kembali kepada ibubapa.
  • Penerima Sedekah adalah orang-orang yang sangat berhajat, seperti kerana keadaannya terlantar sakit, tidak mampu untuk bekerja, keperluan hidup tidak mencukupi atau dengan kata lain pendapatannya tidak mampu menampung keperluan minimanya. Maka sedekah yang diberikan kepada orang yang mampu tidak sah tetapi bertukar menjadi hadiah.
  • Penerima sedekah haruslah orang yang berhak memiliki. Jadi sedekah kepada anak di dalam kandungan tidak sah.
  • Barang yang disedekahkan itu harus bermanfaat kepada penerimanya.

Rukun Sedekah
Rukun sedekah ada 4 perkara iaitu:

  1. Pemberi.
  2. Penerima.
  3. Ijab dan Qabul, ertinya: Pemberi menyatakan memberikan sesuatu dan Penerimanya menerima dengan rela dan gembira.
  4. Barang (benda) yang disedekahkan.

Hadiah

Hadiah : iaitu memberikan zat dengan tidak ada tukarannya serta di bawa ke tempat yang diberi kerana hendak memuliakannya, atau dengan fahaman lain bahawa hadiah itu ialah pemberian sesuatu barangan atau wang oleh seseorang kepada seseorang yang lain sebagai penghormatan kepada yang diberi.

Hadiah berlaku diantara sesama taraf dan kedudukan atau kepada yang lebih tinggi juga kepada yang lebih rendah kedudukkannya.

Hukum Hadiah
Hukum memberi hadiah adalah sunat. Agama Islam menganjurkan kita menerima hadiah dan membalasnya, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. biasa menerima hadiah dan selalu memberi balasannya”.
(hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya hadiah-menghadiahkan itu dibolehkan antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Dan tidak dibenarkan kita membatal atau menarik balik pemberian hadiah yang telah sampai ketangan penerimanya, kecuali ibubapa dan anak-anaknya. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Tidak halal bagi seseorang yang telah memberi sesuatu pemberian atau menghibahkan suatu hibah menarik kembali kecuali orang tua yang memberi kepada anaknya”.
(Hadits riwayat Abu Daud).

Islam juga menggalakkan perbuatan saling memberi hadiah kerana ia boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjadi unsure penghubung kasih saying, sebagaimana sabda nabi s.a.w.:

“Saling hadiah menghadiahkan kamu, supaya kamu berkasih-kasihan”.
(Hadits riwayat Abu Ya’la)

Syarat-syarat Sah Hadiah
Sedekah dipandang sah jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
  • Pemberi Hadiah itu sihat akalnya dan tidak dibawah pengawasan (wali) orang lain. Tidak sah hadiahnya jika dilakukan oleh orang gila, anak-anak belum baligh dan orang-orang yang kurang sihat jiwanya (seperti pemboros).
  • Penerima Hadiah adalah orang-orang yang setaraf atau lebih tinggi daripada pemberi tetapi bukan orang yang memintanya. Tidak sah hadiah diberi kepada orang meminta-minta.
  • Penerima hadiah haruslah orang yang berhak memiliki. Jadi hadiah kepada anak di dalam kandungan tidak sah.
  • Barang yang di hadiahkan itu harus bermanfaat kepada penerimanya.

Rukun Hadiah
Rukun hadiah ada 4 perkara iaitu:

  1. Pemberi.
  2. Penerima.
  3. Ijab dan Qabul, ertinya: Pemberi menyatakan memberikan sesuatu dan Penerimanya menerima dengan rela dan gembira.
  4. Barang (benda) yang disedekahkan.

Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 Dinar

Maksudnya: ".....dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan ‎meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari ‎segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak ‎terlintas di hatinya dan (Ingatlah), dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, ‎maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ‎Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan ‎kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". (QS. At Talaq: 2-3

Sejarah Dinamakan 1000 Dinar‎

Ayat 2 dan 3 surah at-Tolaq atau lebih dikenali sebagai ayat 1000 dinar merupakan ‎amalan yang masyhur dalam hal berkaitan kerezekian serta perlindungan diri. Ramai ‎orang mengamalkan ayat ini untuk tujuan meminta agar Allah mengurniakan kemurahan ‎rezeki, kemudahan dan penyelasaian masalah. Sesiapa yang berminat bolehlah ‎mengamalkannya tetapi haruslah secara berterusan. Namun ayat ini ada kisahnya.‎

Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi nabi Khaidhir. ‎Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. ‎Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi ‎yang beliau alami itu adalah benar. Sesuai seperti yang diperintahkan, pedagang itu pun ‎bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut ‎bermimpi bertemu nabi Khaidhir. Lalu nabi Khadhir pun mengajarkanlah akan pedagang ‎itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat ‎berkenaan.‎

Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat ‎yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayarannya ‎datang angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu ‎hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah ‎diajarkan nabi Khaidhir. Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua ‎penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda ‎angin taufan yang melanda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah ‎negeri, bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah ‎tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat ‎yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri ‎tersebut.‎

Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk ‎negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Tolaq, sehinggalah ‎beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). ‎Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Khaidhir itu digelar ayat ‎‎1000 dinar.‎

Hikmah ayat 1000 Dinar.‎

Barangsiapa mengamalkan ayat ini insya-Allah akan:‎

‎1.Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.‎
‎2.Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.‎
‎3.Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan, ‎kezaliman dan bencana alam.‎
‎4.Jika berperang insya-Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.‎
‎5.Allah akan menyampaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.

Ulasan.

Terdapat perselisihan dan tentangan dari para alim ulama akan kelebihan dan kesohehan sumbernya, kerana tidak ada dalil dari al-Quran atau hadits. Walaubagaimanapun beramal dengan ayat-ayat Allah tidak akan merugikan sesiapa bahkan Allah akan mengurniakannya dengan kelebihan yang banyak.

Apabila diperhatikan kepada makna setiap ayat, memang tepat dan benar bahawa ayat ini amat penting untuk diamalkan oleh setiap umat Islam, agar lebih tinggi kebergantungan seseorang itu kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan.

Intipati dari ayat tersebut ialah bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan rezeki dan kebergantungan. Hanya Allah yang Maha Berkuasa menentukan rezeki dan jalan keluar dari sebarang masalah dalam hidup setiap hambaNya.‎ Jika keyakinan itu disematkan dihati dan fikiran maka sudah tentu Allahlah tempat penentu kesudahan.

Wasiat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara".

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Roh

Roh : Roh berada dalam diri seseorang manusia, kerana dalam diri manusia itu terdiri dari dua unsur, iaitu jasad yang jelas nyata dan Roh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak dapat difikir walau oleh pakar pemikir sekalipun. Bahkan nabi Muhammad (S.A.W.) sendiri tidak pernah mengetahui jawapannya apabila ada orang bertanya beliau tentang apa itu roh.

Al-Qur’an menjelaskan bahawa Roh itu urusan Allah, sebagaimana firman Allah (S.W.T.) :

“Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad (S.A.W.) mengenai Roh, katakanlah; Roh itu adalah urusan Tuhanku dan kamu semua tidaklah diberi pengetahuan melainkan hanya sedikit sekali”. (al-Isra’ : 85).

Hanya Allah (S.W.T.) yang mengetahuinya, kerana Roh adalah salah satu daripada rahsia Allah (S.W.T.) yang hanya sedikit sahaja manusia dapat mengetahui tentangnya. Rohlah yang membezakan di antara manusia dan haiwan atau benda-benda hidup yang lain. Ada setengah para ulama mentafsirkan bahwa Roh itu adalah suatu zat yang memiliki sifat yang tersendiri dan berada dengan benda-benda lain. Ia adalah jisim nuraniyyah, amat tinggi kedudukannya dan hidup. Roh itu sama dengan jiwa.

Roh sentiasa berada berada bersama-sama jasad, apabila ianya berpisah dengan jasad dan jasad yang ditinggalkan itu tidak bergerak sama sekali dan adakalanya akan mati sebagaimana matinya pokok dan lain-lain makhluk., tetapi apabila dikembalikan jasad tadi akan hidup kembali. Roh biasanya keluar meninggalkan jasad apabila jasad tidur, jika Allah (S.W.T.) tidak mengembalikannya semula ke dalam jasad maka akan matilah jasad itu, sebagaimana firman Allah (S.W.T.):

“Allah yang mengambil jiwa (roh) manusia itu ketika wafatnya dan ketika tidurnya sebelum wafat, lalu ditahannya jiwa (roh) yang sudah wafat, serta dikembalikan jiwa (roh) yang lain (yang sedang tidur), sampai waktu yang ditentukan”. (az-Zumar : 420).

Oleh kerana itulah tidur diibaratkan orang sebagai mati kecil. Atau mati sebelum mati. Jika menggerakkan orang tidur hendaklah dipanggil namanya yang baik, kerana roh akan pulang apabila namanya disebut.

Peranan Roh menjadikan manusia dapat menemukan, mengingat, berfikir, mengetahui, berkehendak, memilih, mencintai, membenci dan sebagainya.

Roh sesudah berpisah dengan jasad, maka di saat itulah terjadinya kematian. Namun demikian roh tersebut masih tetap dapat menangkap untuk mendengarkan siap-siap yang menziarahinya, ia dapat mengenalnya bahkan dpat membalas salam seseorang yang memberikan salam padanya. Roh itu pula dapat merasakan lazatnya kenikmatan dan dapat pula merasakan sakitnya sakit siksa neraka jahim.

Ibnu Taimiah berkata:“Banyak sekali huraian-huraian dari hadits yang menyebutkan bahawa mayat itu dapat mengenal serta mengetahui hal ehwal keluarganya dan sahabat-sahabatnya di dunia dan bahawa soal-soal sedemikian itu ditunjukkan padanya. Ia dapat mengetahui pula apa yang dilakukan berhampirannya, selanjutnya ia akan merasa gembira jika apa yang dilihatnya itu sebagai kegembiraan yang menyenangkan, tetapi akan merasa sedih apabila yang dilihatnya itu sebagai berita dukacita yang menyusahkan”.

Diriwayatkan bahawa (Aisyah r. anha, setelah dimakamkannya Umar r.a., lalu Aisyah menutup seluruh auratnya badannya dan berkata: “Dahulu yang dikuburkan di sini adalah ayah dan suamiku, tetapi sekarang ditambahkan dengan Umar sedang ia adalah orang lain (bukan mahramnya, maka ia harus menutupi auratnya)”.

Jelaslah dari maksud riwayat ini bahawa Syaidina Umar yang bukan Mahramnya dapat melihat dirinya. Ada pula hadits lain yang menyebut bahawa orang-orang yang telah mati bertanya kepada mayat yang baru ditanam perihal keluarga dan lain-lain, maka mereka mengetahui hal ehwal sesiapa yang ditanyakannya itu. Ia dapat mengerti pula pertanyaannya itu bahawa si fulan itu dapat anak atau si Fulanah itu itu sudah kahwin.

Ahli Sunnah wal Jamaah sependapat bahawa apabila seseorang itu telah meninggal dunia, setelah ditanam pasti ia akan ditanya dengan berbagai soalan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Inilah yang disebut su’alil qabri (soalan kubur), yakni pertanyaan dalam kubur. Soal itu tetap akan ditanya samada mayat itu ditanam di dalam kubur atau dimakan binatang buas, atau tenggelam di dalam air sungai atau lautan atau ditelan oleh ikan atau dibakar menjadi abu dan dihambur-hamburkan ke udara, maka dalam keadaan bagaimana sekalipun ia pasti akan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nakir. Jikalau amalan dan kehidupannya di dunia baik dan taat kepada perintah Allah maka baiklah balasannya di dalam kubur dan jika sebaliknya maka azablah balasannya di dalam kubur.

Menurut Ibnu Qayyim, beliau berkata bahawa apabila seseorang manusia meninggal dunia, dia akan mendapat balasan siksaan atau kenikmatan di dalam kuburnya. Kedua bentuk balasan itu dirasai oleh jasad dan roh. Roh sekalipun telah terpisah dari jasad tetap akan merasai kenikmatan atau keazaban, kerana roh itu adakalanya akan kembali semula kepada jasadnya untuk sama-sama merasai kenikmatan atau kesiksaan tewrsebut.

Di padang Mahsyar apabila jasad-jasad dibangkitkan semula untuk menghadapi hari Perhitungan roh akan kembali dicantum kepada jaad, dan manusia akan hidup di sana sebagaimana mereka hidup di dunia ini. Kesahihan ini telah disepakati oleh semua penganut agama yang berasal dari Allah, iaitu seluruh kaum Muslimin, Yahudi dan Nasrani.

Tempat tinggal bagi roh sementara menunggu hari dibangkitkan semula di padang Mahsyar adalah berbeza-beza tempatnya, di antaranya;

Tempat yang tertinggi; mereka itu ialah roh kalangan para Nabi salawatullahu alaihim. Namun begitu roh-roh mereka masih juga berada di tempat yang berlainan. Berterbangan seperti burung di dalam syurga yang indah; mereka adalah roh dari kalangan para syuhada, tetapi sebahagiannya sahaja. Jika orang yang syahid meninggalkan hutang yang tak berbayar, rohnya terkurung tidak dapat memasuki syurga.

Ada juga roh yang dipenjarakan di dalam kuburnya sahaja, tidak boleh naik ke langit, misalnya seseorang yang mencuri harta benda orang lain. Ada juga roh-roh yang berada di pintu-pintu syurga di tepi sungai dan diriwayatkan bahawa Ja’afar bin Abi Talib yang kudung kedua-dua belah tangannya kerana mempertahankan panji-panji Islam dalam peperangan menentang musuh Islam telah digantikan oleh Allah (S.W.T.) kedua-dua tangannya dengan sepasang sayap dan dia bebas terbang di dalam syurga semahunya.

Terdapat juga roh-roh yang terpenjara di dalam bumi, iaitu roh-roh orang yang ingkar kepada perintah Allah (S.W.T.). Roh-roh penzina lelaki dan perempuan akan diletakkan di dalam tungku api, ada pula roh yang berendam di dalam sungai darah dan memakan batu-batu.

Solat Khauf

SOLAT KHAUF : Iaitu Solat dalam keadaan ketakutan disebabkan peperangan dan sebagainya. Solat khauf itu disyari’atkan bagi umat Muhammad hingga hari Qiamat. Setelah ditinggalkan Rasulullah (S.A.W.) para sahabat juga menjalankan solat khauf, kerana adanya sebab yang tetap, maka dapat dilaksanakan sebagaimana solat Qasar. Solat ini boleh berlaku dalam tiga keadaan dengan cara yang berbeza-beza.

Imam Ahmad mengatakan terdapat 6 atau 7 hadis yang memuatkan kaedah ‎melakukan solat khauf ini. Ibnu Qayyim pula mengatakan pada dasarnya ‎terdapat 6 cara, tapi oleh sebhgn ulama’ dibuat lebih banyak lagi.‎

1. MUSUH BERADA BUKAN DI ARAH KIBLAT

Jika demikian imam hendaklah membahagikan pasukannya menjadi dua bahagian, sebahagian berdiri menghadapi musuh dan sebahagian lain berdiri di belakang imam, kemudian imam mengimami bahagian yang ada di belakangnya satu rakaat, kemudian bahagian yang ada di belakang imam itu menyempurnakan solatnya secara mufaraqah dan setelah selesai lalu pergi menggantikan bahagian orang menghadap musuh, dan bahagian yang digantikan mereka itu lalu datang dan bermakmum kepada imam dan imam solat satu rakaat mengimami bahagian yang baru datang itu, sebelum Imam salam lalu bahagian ini menyempurnakan solatnya sendirian sementara Imam menunggu selepas tahiyyatnya untuk salam bersama bahagian yang kedua ini.

Kedudukan masalah ini ialah tatkala musuh berada di selain arah kiblat, sekira-kira kita tidak dapat melihat musuh di dalam solat, dan tidak selamat dari serangan musuh ketika di dalam solat itu, dan bilangan kaum muslimin banyak sekira-kira setiap kelompok muslimin mampu menahan serangan musuh.

Apabila demikian keadaannya, maka satu kelompok muslimin hendaknya menghadapi musuh, dan sekelompok yang lain supaya undur sekira-kira tidak terkena panahan atau tembakan musuh, lalu Imam memulakan solat dengan mengimani kelompok yang tidak berperang itu satu rakaat.

Apabila imam telah berdiri pada rakaat yang kedua, maka kaum muslimin yang bermakmum terlebih dahulu itu keluar dari mengikuti imam dengan niat mufaraqah (berpisah), (jika tidak niat mufaraqah, maka batal solatnya). Kemudian apabila telah memisahkan diri (mufaraqah), maka mereka menyempurnakan solatnya sendirian meghabiskan rakaat yang kedua dan tasyahhud lalu salam dan berangkat menghadapi musuh; dan kelompok muslimin yang menghadapi musuh lalu datang bermakmum kepada imam yang menunggu atau memanjangkan pada rakaat yang kedua. Jika mereka telah sempat menyusul, maka Imam meneruskan solat untuk rakaat yang kedua.

Kemudian apabila imam telah duduk tasyahhud, maka kelompok muslimin yang bermakmum itu bangun berdiri dan menyempurnakan rakaat yang kedua, dan imam menunggu pada tasyahhud. Jika kelompok makmum yang kedua itu telah menyusul tasyahhud, lalu imam salam bersama-sama makmum itu.

Solat dengan kaifiyah yang demikian itu adalah solat yang di­laksanakan oleh Rasulullah (S.A.W.) dalam Perang Dzatir Riqak, sebagai­mana yang diriwayatkan oleh lmam Bukhari dan lmam Muslim dari riwayat Sahal.

Dzatir Riqak adalah suatu tempat di negeri Najd. Perang itu dinama­kan Dzatir Riqak sebab peperangan itu berlangsung di bawah pepohonan yang bernama Dzatir Riqak. Ada yang mengatakan bahawa kerana kaum muslimin membalut tetapak kakinya dengan kain pembalut, kerana telapak kaki mereka berpecah-pecah. Ta’lil yang kedua itulah yang shahih, kerana ta’lil yang kedua itu telah tetap di dalam Hadits sahih.

Dari Soleh bin Khawwat dari Sahl bin Khaitsamah, katanya, “Nabi SAW ‎berbaris dengan satu kelompok lainnya menghadapi musuh. Beliau ‎bersembahyang bersama kelompok pertama itu serakaat dan tetap berdiri. ‎Kelompok itu menyelesaikan sendirinya solatnya lalu pergi menghadapi musuh, ‎lalu datanglah kelompok kedua yang bersembahyang serakaat bersama beliau ‎‎– bagi Nabi saw merupakan rakat kedua- Beliau tetap saja duduk menunggu ‎mereka menyelesaikan solatnya, kemudian beliau memberi salam dengan ‎mereka bersama2.”[diriwayatkan oleh Jamaah kecuali Ibnu Majah]‎

Dari Ibnu Umar ra katanya, “Rasulullah saw bersembahyang dengan salah satu ‎dari dua kelompok satu rakaat, sedang kelompok lainnya menghadapi musuh. ‎Kemudian kelompok pertama pergi menggantikan kelompok kedua untuk ‎menghadapi musuh, sementara kelompok kedua ini datang bersembahyang ‎dengan Nabi saw serakaat, lalu beliau memberi salam dan kedua kelompok itu ‎masing2 menyelesaikan serakaat lagi.”[Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan ‎Muslim]‎

Dari Ibnu Mas’ud katanya, “Kemudian imam memberi salam dan mereka –yakni ‎kelompok kedua- berdiri dan menyelesaikan serakaat lagi, kemudian memberi ‎salam.”‎

IMAM BERSEMBAHYANG DENGAN KEDUA2 KELOMPOK 2 RAKAAT‎

Dari Jabir ra katanya, “Nabi saw bersembahyang dengan sekelompok ‎sahabatnya dua rakaat, lalu bersembahyang lagi dengan kelompok yang lain ‎dua rakaat, kemudian beliau memberi salam.”[Hadis riwayat Syafi’I dan ‎Nasa’I]‎

Dari Jabir ra katanya, “Nabi saw melakukan solat khauf bersama kami. Beliau ‎bersembahyang dengan sebahagian sahabatnya dua rakaat lalu memberi ‎salam, dan jamaah inipun undur. Lalu sahabat2 lain maju ke muka dan ‎beliaupun bersembahyang dengan mereka dua rakaat lagi kemudian memberi ‎salam. Jadi Nabi saw bersembahyang 4 rakaat, sedang jamaah itu masing-‎masing 2 rakaat.”[Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa’I]‎

Dari Jabir ra juga katanya, “Kami ikut bersama Nabi saw dalam peperangan ‎Dzatur Riqa’. Solat dibacakan qamatnya. Beliau bersembahyang dengan satu ‎kelompok dua rakaat, lalu mereka ini undur kebelakang. Kemudian beliau ‎bersembahyang dengan kelompok yang lain 2 rakaat pla. Maka solat Nabi saw ‎adalah 4 rakaat, sedang kedua kelompok masing-masing 2 rakaat.”‎

2. MUSUH BERADA ARAH KIBLAT

Imam hendaklah mengatur para muslimin menjadi dua barisan, imam bertakbiratul-ihram bersama seluruh kaum muslimin, lalu seluruh kaum muslimin ini solat bersama imam hingga pada i’tidal dari rukuk rakaat yang pertama, kemudian ketika imam sujud, maka salah satu barisan muslimin sujud bersama, sama ada barisan yang pertama ataupun yang kedua. Yang demikian itu adalah mazhah yang sahih. Dalam hal ini tidak ditentukan barisan yang manakah yang harus berjaga-jaga.

Kemudian apabila imam dan orang-orang yang sujud bersamanya telah bangun ke rakaat yang kedua, barisan yang satunya lagi sujud dan menyusuli imam. Imam membaca Al-Fatihah bersama-sama kaum muslimin dan rukuk bersama sekaliannya. Apabila imam i’tidal dari rukuk, barisan yang sujud pada rakaat yang pertama menjaga musuh dan barisan yang lainnya pula sujud bersama imam. Apabila barisan yang sujud bersama imam telah mengangkat kepalanya, barisan yang berjaga-jaga lalu sujud.

Yang demikian itu adalah solat Rasulullah (S.A.W.) di tanah ‘Asfan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan lain-lainnya, walaupun di dalam riwayat lmam Muslim ada keterangan bahawa barisan yang berdampingan dengan imam itu yang sujud terlebih dahulu dan barisan yang lainnya tetap berdiri menghadapi musuh.

Para Ulama Mazhab Syafi’i mengatakan bahawa untuk melaksanakan solat dengan cara seperti itu diperlukan tiga syarat:
1. Musuh harus berada di arah kiblat.
2. Musuh harus berada di atas gunung atau di tanah datar dan tidak ada sesuatu yang menghalangi penglihatan kaum muslimin
3. Jumlah kaum muslimin harus banyak yang dapat dibahagi dua, bahagian yang
satunya sujud dan bahagian yang lain berjaga.

Ketahuilah, seandainya imam mengatur mereka menjadi beberapa saf, hal itu boleh; demikian pula apabila sebahagian dari barisan itu berjaga, juga boleh.

Dalil Dari Hadits

Dari Jabi ra katanya, “Saya ikut solat Khauf bersama Rasulullah saw. Barisan ‎kami dibahagi 2, dan kedua2nya berdiri di belakang beliau, sedang musuh ‎berada di depan di arah kiblat. Nabi saw membaca takbir dan kamipun takbir ‎pula, beliau ruku’ dan kamipun ruku’, beliau I’tidal kami pun I’tidal pula. Ketika ‎beliau sujud, maka saf yang di muka (pertama) ikut sujud, sedang (saf) di ‎belakang tetap berdiri menghadap musuh. Setelah Nabi saw selesai sujud ‎dengan saf pertama, maka turunlah saf kedua untuk melakukan sujud lalu ‎kembali berdiri. Kemudian saf yang di belakang maju ke depan dan saf yang di ‎depan undur kebelakang. Lalu Nabi saw ruku’ dan kamipun ruku’ pula, beliau ‎mengangkat kepala, kamipun mengangkat kepala. Lalu apabila beliau sujud, ‎maka saf yang didepan yang diwaktu rakaat pertama saf di belakang ‎mengikutinya sujud, sedang saf yang kedua menghadapi musuh. Dan setelah ‎Nabi saw selesai sujud dengan saf pertama, maka sujudlah pula saf kedua, ‎kemudian beliau memberi salam dan kamipun sama-sama memberi salam ‎pula.”[Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Nasa’I, Ubn Majah dan Baihaqi]‎

KEDUA-DUA KELOMPOK SAMA-SAMA SOLAT DENGAN IMAM‎

Dari Abi Hurairah ra katanya, “Saya ikut melakukan solat Khauf bersama ‎Rasulullah saw pada peperangan di Najad. Beliau hendak solat asar, maka ‎berdirilah beliau dengan satu kelompok sedang kelompok lain menghadapi ‎musuh dengan punggung mereka menghadap kiblat. Beliau membaca takbir dan ‎seluruhnya –yakni yang sedang bermakmum dan sedang menghadapi musuh- ‎turut bertakbir pula, lalu melakukan solat satu rakaat bersama kelompok di ‎saf pertama serta sujud bersama mereka, sedang kelompok lain sedang ‎berdiri menghadapi musuh. Setelah berdiri kembali, kelompok yang telah ‎mendapatkan satu rakaat itu pergi menghadapi musuh menggantikan kawan-‎kawannya. Lalu kelompok yang digantikan itu kemudian sujud sedang ‎Rasulullah saw tetap berdiri. Lalu mereka berdiri untuk rakaat kedua, dan ‎setelah itu Nabi memimpin mereka ruku’ sujud sampai duduk. Kelompok yang ‎pertama pun datang lalu ruku’ dan sujud sendiri-sendiri. Setelah mereka ‎duduk, maka Nabi saw memberi salam diikuti oleh mereka. Jadi Rasulullah saw ‎bersembahayng 2 rakaat dan masing-masing kelompok juga 2 rakaat.”[Hadis ‎riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa’I]‎

SOLAT IMAM 2 RAKAAT MANAKALA MAKMUM SATU RAKAAT

Dari Ibnu Abbas katanya, “Nabi saw bersembahang dalam peperangan Dzi ‎Qird. Orang-orang berbaris dibelakang beliau dua saf, Satu saf dibelakang ‎beliau dan satu saf menghadapi musuh. Beliau bersembahyang dengan saf di ‎belakangnya itu satu rakaat, lalu saf yang sudah bersembahyang ini pergi ‎mengantikan yang belum. Yang digantikan ini melakukan solat dengan Nabi saw ‎satu rakaat dan tidak menambahi lagi.”[Hadis Riwayat an-Nasa’i]‎

Dari ibnu Abbas juga katanya, “Allah mewajibkan solat atas Nabi saw di ‎waktu menetap 4 rakaat, diwaktu berpergian 2 rakaat dan di waktu perang ‎satu rakaat.” [Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Nasa’i]‎

Dari Tsalabah bin Zahdan katanya, “Kami ikut dengan Sa’id bin Ash di ‎Thabristan, lalu tanyanya, “Siapakah di antaramu yang pernah sembahyang ‎Khauf bersama Rasulullah saw?” Hudzaifah menjawab, “Saya!” Iapun ‎bersembahyang dengan satu golongan satu rakaat dan dengan golongan lain ‎serakaat pula dan masing-masing mereka tidak menambahnya lagi.” [Hadis ‎riwayat Abu Daud dan Nasa’i]‎

3. SOLAT DALAM KEADAAN GAWAT

Tatkala para muslimin dalam keadaan yang sangat takut dan dalam berkecamuknya peperangan, dengan musuh menyerang dari segenap penjuru, baik depan maupun belakang, kiri ataupun kanan, sedangkan waktu solat semakin hampir habis, maka orang yang solat boleh dilakukan sekira-kira mampu, baik secara berjalan kaki atau naik kenderaan, baik menghadap kiblat ataupun tidak menghadap kiblat.

Jika waktu solat hampir tamat maka hendaklah solat sebagaimana ‎keadaan yang ada. Tidak perlu mengadap kiblat dan tidak perlu sujud dan ‎ruku’. Memadai dengan isyarat kepala. Cuma hendaklah ketika isyarat sujud, ‎hendaklah lebih rendah dari isyarat ruku’. Ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‎Umar riwayat Imam Bukhari. Ini sama juga ketika mengejar atau dikejar ‎musuh. Perlu juga diketahui, kaedah khauf juga boleh dilakukan dalam ‎sebarang keadaan yang memerlukannya seperti terperangkap dalam banjir ‎atau kebakaran. Kerana solat itu wajib.‎

Cara ini adalah dinamakan Solat Syiddatul Khauf (dalam keadaan yang sangat takut). Apabila datang sangat ketakutan dan tidak mungkin dapat membahagi pasukan muslimin kerana banyaknya musuh, atau yang seumpamanya dan berkecamuknya peperangan, jadi seandainya sedang naik kenderaan tidak dapat turun, dan seandainya sedang berjalan kaki tidak dapat berbelok, maka para muslimin boleh melakukan solat dengan berjalan kaki ataupun naik kendaraan, menghadap kiblat ataupun tidak, sambil berlari, merangkak atau meniarap. Allah Ta’ala berfirman:

“]ika kamu sekalian dalam ketakutan, kamu sekalian boleh solat dengan berjalan kaki atau naik kendaraan.” (Al-Baqarah: 239)

Ibnu ‘Umar r.a. berkata bahawa baik menghadap kiblat ataupun tidak. Demikian juga erti yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan Nafik, iaitu hamba merdeka dari lbnu ‘Umar r.a. Nafik mengatakan: “Aku meng­i’tikadkan bahawa lbnu ‘Umar tentu menyebutkan yang demikian itu dari Nabi Muhammad (S.A.W.)”

Al-Mawardi mengatakan bahawa perkataan Ibnu ‘Umar itu diriwayat­kan oleh Imam Syafi’i dengan sanad dari Nabi Muhammad (S.A.W.). Para Ulama Mazhab Syafi’i mengatakan: Para muslimin solat sedapat­-dapatnya dan tidak boleh mengakhirkan solat dan waktunya. Para muslimin yang menjalani solat menurut cara ini tidak wajib mengulangi solatnya.

Rukhsah

Rukhsah : Kelonggaran atau kemurahan Allah (S.W.T.) kepada hambaNya dalam mengerjakan sesuatu ibadat atau sebahagian daripada pekerjaan ibadat. Antara perkara ibadat yang diberi rukhsah kepadanya ialah,

1. Solat Jamak : Diharuskan menghimpunkan dua solat-solat tertentu dalam satu waktu, misalnya solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak apabila dalam keadaan bermusafir yang jaraknya melebihi 2 marhalah

2. Solat Qasar : Diharuskan memendekkan rakaat solat-solat tertentu apabila di dalam keadaan musafir yang melebihi 2 marhalah.

3. Khuffain : Menyapu air wudhu’ di atas sepatu (iaitu di atas lapisan kedua tanpa membukanya) bagi mengantikan membasuh kaki dalam wudhuk

4. Meninggal Puasa Ramadhan : Keharusan meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan bermusafir melebihi 2 marhalah.

5. Meninggalkan Puasa bagi Perempuan Mengandung : Keharusan meninggalkan puasa dan membayar kifarat bagi perempuan yang sarat mengandung kerana dikhuatiri membahayakan dirinya.

6. Meninggalkan Puasa Ramadhan bagi Perempuan Mengandung dan Menyusu Anak: Keharusan meninggalkan puasa dan menggantikannya bagi perempuan yang sarat mengandung atau sedang menyusukan anak kerana dikhuatiri membahayakan anaknya yang dikandung.

7. Meninggal Puasa Bagi Yang Uzur : Keharusan meninggalkan puasa Ramadhan dan membayar fidyah bagi orang yang sakit atau tua yang tidak ada harapan sembuh.

8. Menyapu di atas sanggul : Keharusan menyapu air mandian di atas sanggul sahaja kepada perempuan yang bersanggul rapi (susah untuk dibuka atau dikeringkan bila terkena air) bagi menggantikan syarat meratakan air ke seluruh badan ketika mengangkat hadas besar atau mandi janabah (junub).

9. Tayammum : Bertayammum sebagai menggantikan wudhuk dengan menggunakan debu halus yang bersih bagi menggantikan wudhuk atau mandi janabah (junub) bagi menggantikan air oleh kerana ketiadaan air, atau kerana anggota badan tidak boleh terkena air yang mungkin akan memberi lebih kemudharatan kepada sakitnya.

10. Menyapu rata air wudhuk di atas balutan atau simen : Keharusan menyapu air di luar balutan sahaja bagi orang sakit yang tidak diizinkan membuka balutannya selagi belum sembuh, dan lebih mudharat jika terkena air iaitu sekiranya balutan itu betul-betul pada anggota wudhuk.

11. Kiblat dengan niat: Keharusan menunaikan solat tanpa menghadap ke arah Kiblat yang sebenar, jika sekiranya bersolat di atas kenderaan yang sedang berjalan, atau berada di atas pembaringan yang tak mampu bergerak atau digerakkan. Cuma yang perlu ialah mengqasadkan (berniat) di dalam hati menghadap ke arah kiblat.

12. Solat Khauf :Keharusan melakukan solat Khauf (solat dalam peperangan/sakit dan sebagainya) bagi menunaikan kewajipan bersolat di dalam waktunya.

13. Menyapu Wudhuk di atas serban : Menyapu wudhu’ di atas serban bagi menggantikan menyapu kepala, kerana jika membukanya akan memberi kesulitan kepada pemakainya atau melengah-lengahkan waktu solat berjamaah.

Imam Nawawi

Imam Nawawi : Namanya ialah Mahyuddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Dilahirkan di Nawi, ( ) dalam wilayah Damsyik, Syam, pada bulan Muharram 637 Hijrah bersamaan 1233 masehi dan wafat pada tahun 676H ketika berusia 38 tahun. (Rujuk Matan al-Arba’iin: Mustapha Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1987)

Setengah berpendapat beliau dilahir pada tahun 618H dan wafat pada tahun 667 dalam usia 48 tahun. Pernah ditugaskan sebagai Pengasuh Darul Hadits Ash-Shalihiyah.

Ilmunya : di dapati dari hasil usahanya yang sungguh-sungguh. Beliau mulai menghafaz al-Qur’an sejak kecil lagi. Pada tahun 649 Hijrah semasa usianya baru dalam lingkungan sembilan belas tahun, beliau datang ke kota Damsyik untuk belajar, lalu mendiami di sebuah perkuburan yang bernama al-Rawahiyah (madrasah al-Rawahiyah) dengan mendapat perbelanjaan dari perkuburan tersebut.

Perhatiannya semasa belajar ditumpukan usaha mencapai ilmu pengetahuan segala bidang dan jurusan. Mulanya di hafal kitab fekah bernama at-Tanbih ( ) dalam tempoh 4 bulan setengah, di samping itu dihafalnya kitab al-Muhazzab ( ) bahagian ibadat.
Semasa dalam pelajaran, beliau tidak pernah membaringkan diri ditempat tidur kerana terlalu sibuk dengan pelajaran. Setiap hari beliau mempelajarai sebanyak 12 matapelajaran dalam berbagai jurusan ilmu agama.

Di antara guru-gurunya ialah, mahaguru Abdul Aziz bin Muhammad al-Ansari, Zainal Abidin bin Abdud Da’im, Zainuddin Khalaq bin Yusuf, taqiyuddin bin Abi al-Yasar, Jamaluddin as-Sairafi, Syamsuddin bin Abi Umar, Ibu Ishaq Ibrahim bin Isa al-Maradi, Ali al-Qadhi at-taflisi, Kamal Ishaq al-Mu’arri, Syamsudin Abdur Rahman bin Nuh dan ‘Izzuz Zin Umar bin Saad al-Arabali.

Penulisan dan Karangannya
Karangannya adalah banyak, di antaranya yang terkenal ialah ;
1. Syarah Sahih Muslim ( ),
2. Riadhus Salihiin ( ),
3. Al-Adzkar an-Naawawiyyah ( ),
4. At-Tibyaan Fi Adabil Jumlatil Qur’an ( ),
5. Al-Irsyaad Wat Taqrib Fi Uluumil Qur’an( ),
6. Al-Idhah Fi Manaasikil Hajji ( ),
7. Syarhul Muhadzaab ( ),
tak sempat diselesaikan wafat.
8. Ar-Raudhah ( ),
9. Tahziibul Asma’ wal Lughaat ( ),
10. Al-Manhaj ( ),
11. Matan Al-Arba’in ( ).

Di antara kitab itu ada yang digunakan dalam pengajian agama, terutamanya kitab Syarah Sahih Muslim (bahagian hadits), Al-Manhaj (Bahagian Fiqh) dan Matan al-Arba’iin (bahagian Hadits).
Kehidupannya sehari-hari, adalah sekadar memelihara kesihatan badannya. Makan minumnya sehari semalam hanya sekali. Masanya selama 24 jam digunakan sebahagian besarnya kepada bakti dan khidmat suci terhadap penyebara dan perkembangan ilmu pengetahuan agama Islam.

Pendek kata, beliau tidak sangat menghiraukan soal makanan, minuman dan pakaian serta perhiasan; apa sahaja yang ada memadailah. Dan beliau tidak berapa suka kepada makan buah-buahan kerana mengelak daripada mengantuk yang mengganggu tugasnya sehari-hari. Juga tidak gemar memakai pakaian yang menampakkan kemegahan, bagi beliau cukuplah pakaian yang kasar sahaja.

Keperibadiannya adalah penuh dengan takwa menurut ertikata yang sepenuhnya, waraknya dan kebersihan jiwanya. Sebagai seorang ulama’ amatlah suka ditemui. Ada riwayat yang mengatakan bahawa bahawa keengganan beliau memakan sebarang jenis buah-buahan bukan sahaja kerana mengelak daripada mengantuk, tetapi adalah juga kerana buah-buahan di Damsyik waktu itu dianggapnya lebih banyak mengandungi syubhat.

Beliau semasa hidup tidak pernah lupa daripada kewajipan menyebarkan ilmu dengan mengajar dan mengarang di samping beribadat, berpuasa, berzikit di tengah-tengah suasana hidup yang seba kurang. Hingga penuhlah hidupnya dengan usaha dan amal salih terhadap agama, masyarakat dan umat.

Imam Nawawi pernah diusir dari Syam akibat fatwanya yang tidak menyenangkan hati Sultan Al-Malik Al-Zahir. Imam Nawawi bukanlah sebagai seorang ulama’ yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja atau ulama’ yang merasa bahagia dengan ketinggian ilmunya, tetapi tidak berani menghadapi masyarakat sekeliling dengan petunjuk dan nasihatnya. Imam Nawawi bukanlah dari golongan ulama’ yang mencari keuntungan dengan ilmu, dengan membiarkan masyarakat umat di dalam kejahilan dan asyik dalam hiburan. Beliau memimpin umat; bukan umat memimpin beliau. Beliau menfatwakan kebenaran dengan tidak pandang kepada sesiapapun juga, walaupun akibatnya merugikan kedudukannya. Kerana inilah tugas ulama’ yang dikatakan Warasatul Anbiya’ ( ), iaitu mempusakai ajaran nabi dan menyampaikannya.

Imam Nawawi selama hidupnya telah banyak menulis dan mengarang, mengajar dan menasihat. Kegiatannya dalam bidang ini meletakkan peribadinya lebih terkemuka dan lebih dikagumi; terkemuka kerana kebenaran, dikagumi kerana kejujurannya. Beliau dalam tugasnya sebagai seorang ulama’ tidak membataskan ajaran dan nasihat dalam limngkungan para pengikut atau terhad dalam ruangan majlis pengajaran sahaja, tetapi meliputi ke seluruh masyarakat. Sedang pandagan hidupnya pun tidak sahaja ditumpukan di seditar pengajaran agama, tetapi ditinjaukannya ke arah masyarakat, sebab Islam baginya adalah menyeluruhi atau meliputi segala segi kehidupan. Islam menurut falsafahnya adalah seluruh hidup, tidak bercerai dan berpisah dari hidup.

Kerana ini, beliau selalu menyampaikan nasihatnya secara peribadi dan menulis beberapa pucuk surat kepada baginda Sultan Al-Malik Al-Zahir yang berdaulat di kala itu untuk menasihati baginda dalam urusan masyarakat kaum muslimin seluruhnya demi kepentingan negara.

Menurut riwayat, beliau pernah menulis kepada baginda menerangkan keadaan suasana negeri syam pada masa itu, yang awalnya disifatkan sebagai amat mengancam keselamatan rakyat akibat kesempitan hidup dan membumbung tinggi harga barang-barang. Di samping itu diterangkan pandangan dan pendapat secara ikhlas untuk segera bertindak bagi mengatasi keadaan itu. Tetapi amat disayangi, tulisannya yang ikhlas itu tidak dilayani baginda, malah dipandannya beliau seorang ulama’ yang suka mencampuri urusannya dan kerana ini beliau dianggap seorang yang tidak diingini. Sikap baginda itu tidaklah mencemaskan beliau, kerana hidupnya tidak mengharapkan sebarang kurnia daripada baginda. Apa yang akan terjadi akibat fatwanya adalah kerana sudah sewajarnya, kerana kebenaran dengan kebatilan adalah dua hal yang bertentangan.

Tidak beberapa lama kemudian, beliau menulis pula sepucuk surat kepada baginda, yang berisi kata-kata yang keras tetapi tegas. Surat ini bertalian dengan permintaan baginda mengenai fatwa bagaimana hukumnya mengambil harta rakyat untuk kepentingan negara yang sedang terancam oleh musuh.

Menurut riwayat bahawa apabila baginda sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tartar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama’-ulma’ yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.

Ketegasan Imam Nawawi
Ulama’ fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah: Masih adakah lagi orang lain?. Masih ada, iaitu al-Syeikh Mahyud Din An-Nawawi. Demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.

Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama’ fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu membri fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: Apakah sebab beliau enggan?. Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keengganan memfatwakan sama seperti fatwa para ulama’. Kerana beliau sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahawa baginda raja dahulunya adalah seorang tawanan perang, tidak ada sebarang hartabenda, tetapi pertolongan Allah (S.W.T.) telah dilimpahkan kurniaNya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja”.
“Ampun tuanku!”.
“ Adalah patik telah mendengar bahawasanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas, manakala dua ratus orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing. Mempunyai barang perhisan yang bernilai”.
“Andaikata tuanku sendiri membelanjakan semua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang iaitu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat”.

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaan sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepada beliau kerana fatwanya yang amat menggemparkan, sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima sahaja perintah pengusiran itu dengan girang hati. Lalu beliaupun keluar ke Nawi (tempat kelahiran beliau). Para ulama’ syam telah berusaha menjemput beliau balik ke damsyik tetapi beliau enggan sambil berkata: “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa”.

Kisah ini memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ulama’ yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai.

Keberanian Imam Nawawi menegak suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ulama’, di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu yang benar menurut hukum walaupun kepada sesiapa juga, dan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi oleh seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.

Kewafatan
Wafat Imam Nawawi pada 24 Rajab tahun 676 Hijrah bersamaan 1277 Masehi dan di makamkan di sama, setelah sekian lama hidup dengan membujang, tidak beristeri, di tengah-tengah suasana masyarakat Damsyik dan telah berjaya menyumbangkan tenaga, fikiran dan ilmunya kepada agama Islam dan umatnya.

Dajjal

Dajjal : Munculnya Alamat Qiamat yang besar, iaitu dengan kemunculan seseorang manusia yang menamakan dirinya Dajjal. Dia mendapat gelaran al-Masih Dajjal. Al-Masih ertinya menempuh perjalanan seluruh bumi dalam waktu yang lama sekali dan juga bererti kehilangan matanya, sebab kenyataannya ialah buta matanya yang sebelah.
Dajjal akan mempunyai ramai pengikut hari demi hari, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., dari Abu Hurairah r.a. katanya: Nabi s.a.w. bersabda; "Tidak akan berlaku qiamat sehigga munculnya hampir 30 orang pengikut Dajjal dan semuanya mendakwa bahawa Dajjal itu Rasul Allah". (HR Muslim: 1473)

Dajjal tampil di hadapan manusia diakhir zaman nanti dengan mengaku bahawa dirinya adalah “Tuhan”. Ia berusaha me­nyebarkan fitnah di kalangan seluruh umat manusia agar meninggalkan agama mereka yang benar, iaitu ajaran Islam yang telah disebarkan kembali oleh Imam al-Mahdi a.s.. Cara penampilannya ialah dengan menunjukkan peristiwa-peristiwa yang luar biasa yang dapat dilakukan olehnya dan banyak sekali keajaiban-keajaiban yang dipertonton­kan melalui kedua tangannya. Sebahagian orang ada yang terpikat, tetapi orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, pasti akan ditetapkan oleh Allah Ta’ala hati-hatinya, sehingga tidak akan terpikat sama sekali oleh ajakannya yang sesat itu dan tidak akan terpesona oleh keistimewaannya yang menggiurkan. Ring­kasnya orang-orang mukminin tidak akan tertipu sehingga sanggup mengikuti ke­sesatan-kesesatan yang dipropagandakan.

Dalil Dari Hadits Tentang Dajjal

Dari Nawwas bin Sam’an disebutkan: Di suatu pagi Rasulullah solallahu ‘alaihi wasallam menceritakan tentang Dajjal dengan suara perlahan, lalu suaranya meninggi seolah-olah Dajjal telah berada di salah satu kebun kurma ( di kota Madinah ). Kami beranjak dari majelis beliau, kemudian kami datang lagi. Seolah-olah beliau tahu, lalu berkata, “Ada apa?”

Kami menjawab, “Wahai Rasulullah, tadi pagi engkau menceritakan tentang Dajjal dengan suara lalu meninggikan suara, sehingga kami mengira Dajjal telah muncul di salah satu kebun kurma”. Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Ada selain Dajjal yang lebih aku khawatirkan. Jika Dajjal keluar sekarang, aku yang akan menghadapinya, namun jika ia keluar setelah aku tiada, masing-masing kalian menghadapinya. Allah subhana wa ta’ala menjadikan penggantiku pada seorang setiap muslim. Dajjal seorang pemuda berambut keriting, matanya sebelah kanan celek, aku menyerupakannya dengan Abdul Uzza bin Qathan (lelaki Quraisy yang hidup di zaman Jahiliyah). Maka barang siapa yang menemuinya bacalah surat Al-Kahfi. Ia keluar dari sebuah jalan antara Syam dan Iraq, lalu ia berbuat binasa kesana kemari. Hai hamba Allah, tetaplah dalam dien kalian!”

Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lama ia di bumi? Rasul shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Empat puluh hari. Satu harinya seperti setahun, satu harinya seperti sebulan, satu harinya seperti seminggu, sisa harinya seperti hari-hari biasa.” Kami bertanya lagi , “Wahai Rasulullah, satu hari seperti setahun itu, apakah cukup shalat sehari saja?” Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab lagi, ” Tidak, tapi perkirakanlah saja selama setahun. ” Kami bertanya, “Bagaimana kecepatan jalannya?” Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Seperti awan ditiup angin. Dajjal mendatangi suatu kaum lalu menyeru mereka, kemudian mereka beriman kepadanya dan mematuhinya. Ia perintahkan langit, lalu turunlah hujan. Ia perintahkan bumi, keluarlah tumbuh-tumbuhan. Punuk unta dan kantung susu hewan ternak penuh berisi. Kemudian ia mendatangi suatu kaum lalu menyeru mereka agar beriman kepadanya, tetapi mereka menolak seruannya. Kemudian ia meninggalkan daerah tersebut, lalu mereka ditimpa kekeringan sampai mereka tidak mempunyai sedikitpun harta. Setelah itu ia melewati gedung yang runtuh dan berkata, ‘Keluarlah harta karunmu!’ , maka harta berterbangan mengikutinya seperti lebah. Kemudian ia memanggil seorang pemuda dan menebasnya dengan pedang hingga badannya terbelah dua. Kemudian ia panggil lagi, si pemuda yang sudah terbelah itu bangkit sambil mentertawakan Dajjal. Di saat itulah muncul Nabi Isa ‘alaihisalam, lalu mengejar Dajjal dan mendapatinya (bertemu) di pintu gerbang kota Lud (di Palestina) yang kemudian ia membunuh Dajjal. ” (HR Muslim)

Keluarnya Dajjal dari arah pertengahan antara Laut Syam dan Laut Yaman di Timur Tengah, mengaku sebagai Nabi Isa a.s, tuhan orang Kristian dan Yahudi.

Dari Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang Nabi pun yang diutus Allah, melainkan ia memperingatkan kepada umatnya perihal kedatangan Dajjal. Dajjal itu akan keluar di kalangan kamu semua, maka tidak samar lagi bagimu semua bahawa Tuhan itu tidaklah bermata sebelah. Sesungguhnya Dajjal itu bermata sebelah, yang kanan tidak dapat digunakan untuk melihat, seolah-olah matanya itu macam biji yang menonjol;- (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dajjal pembawa fitnah;
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sejak Allah s.w.t. menciptakan Nabi Adam a.s. sampai ke hari kiamat nanti, tidak ada satu ujian pun yang lebih dahsyat daripada Dajjal”;- (Riwayat Muslim).

Ujian dan tanggungjawab setiap orang Islam melawan Dajjal;
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya tidak ada satu fitnah (ujian) Allah di atas muka bumi ini sejak ia menciptakan zuriat Nabi Adam a.s (sampai ke hari kiamat nanti) yang lebih dahsyat daripada fitnah Dajjal. Dan sesungguhnya Allah tidak mengutus seorang nabi jugapun kecuali nabi itu mengingat kaumnya akan ujian Dajjal ini: Aku (Rasulullah s.a.w) adalah Nabi yang terakhir sekali dan kamu adalah juga ummat yang terakhir sekali, maka sudah pasti Dajjal itu akan keluar pada zaman kamu (kerana telah terbukti sampai ke zaman Nabi s.a.w., bahawa Dajjal belum lagi keluar). Seandainya ia keluar dan aku masih berada di kalangan kamu, maka akulah yang akan berhujjah dengannya bagi mewakili setiap orang Islam. Dan jika ia keluar selepas kematianku, maka kamu semua bertanggung jawab untuk melawannya dan Allah s.w.t. sebagai penolong kamu sekalian”;- (Riwayat Ibnu Majah).

Dajjal membawa api dan air;
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Dajjal itu akan keluar dengan membawa air dan api, maka apa yang dilihat manusia sebagai air, sebenarnya itu adalah api yang membakar. Sedang apa yang dilihat oleh manusia sebagai api, maka itu sebenarnya adalah air yang dingin dan tawar. Maka barangsiapa yang menjumpainya, hendaklah menjatuhkan dirinya ke dalam apa yang dilihatnya sebagai api, kerana ia sesungguhnya adalah air tawar yang nyaman;- (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dajjal membawa sesuatu yang menyerupai syurga dan neraka;
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sukakah aku ceritakan kepadamu tentang Dajjal, yang belum diberitakan oleh Nabi kepada kaumnya. Sungguh Dajjal itu buta mata sebelahnya dan ia akan datang membawa sesuatu yang menyerupai syurga dan neraka, adapun yang dikatakan syurga, maka itu adalah neraka. Dan aku memperingatkan kalian sebagaimana Nabi Nuh a.s memperingatkan kepada kaumnya.

Dajjal membawa sungai air dan sungai api;
Dari Abu Hudzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku lebih tahu dari Dajjal itu sendiri tentang apa padanya. Dia mempunyai dua 2 sungai mengalir. Yang satu menurut pandangan mata adalah air yang putih bersih. Yang satu lagi menurut mata adalah api yang bergelojak. Sebab itu, kalau seorang mendapatinya hendaklah mendekati sungai yang kelihatan api. Hendaklah dipejamkan matanya, kemudian ditekurkan kepalanya, lalu diminumnya air sungai itu kerana itu adalah air sungai yang sejuk. Sesungguhnya Dajjal itu buta matanya sebelah ditutupi oleh daging yang tebal, tertulis antara dua 2 matanya (di keningnya) perkataan kafir yang dapat dibaca oleh setiap orang beriman pandai baca atau tidak;- (Riwayat Muslim).

Dajjal membunuh orang kemudian menghidupkan kembali;
Dari Abu Said Al-Khudri r.a. berkata: Pada suatu hari Rasulullah menceritakan kepada kami tentang Dajjal dalam suatu cerita yang panjang, di antaranya baginda menceritakan: “Dajjal itu nanti akan datang, dan dia terhalang untuk melalui jalan-jalan masuk kota Madinah. Maka sampailah Dajjal itu ke sebuah kebun dekat pinggir kota Madinah. Di hari itu datang kepadanya seorang laki-laki yang sangat lawa. Laki-laki tadi mengucapkan: “Saya mengakui bahawa engkau ini adalah Dajjal yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami.” Dajjal berkata (kepada pengikutnya): “Bagaimana pendapat kamu, kalau saya membunuh orang ini, kemudian saya hidupkan kembali, adakah kamu masih ragu-ragu tentang kekuasaanku?” Pengikut-pengikutnya menjawab: “Tidak ragu-ragu!” Lalu Dajjal membunuh laki-laki tadi, kemudian dihidupkan kembali. Ketika laki-laki itu telah hidup kembali, dia mengucapkan (kepada Dajjal): “Demi Allah! Sekarang, saya lebih mengerti tentang engkau (seorang Dajjal)” Lalu Dajjal hendak membunuhnya sekali lagi, tapi Dajjal tidak sanggup melaksanakannya.”;- (Riwayat Muslim).

Dajjal tidak boleh memasukki kota Makkah dan Madinah;
Dari Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap negeri (nanti) akan ditakluki oleh Dajjal, selain Makkah dan Madinah. Setiap jalan masuk ke sana, dikawal oleh malaikat yang berbaris. Maka sampailah Dajjal ke sebuah kebun (di pinggir Madinah) dan terjadilah tiga 3 kali gempa bumi di Madinah, lalu setiap orang kafir dan munafik keluar dari Madinah menuju kebun tadi;- (Riwayat Muslim).


Nabi Khaidir bertemu Dajjal.

Diriwayat dari Abi Sa'id al-Khudry r.a., katanya: "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami satu cerita yang panjang tentang Dajjal, antara lain diceritakannya bahawa Dajjal, masuk kepinggir kota Madinah hingga sampai ke tanah lapang dekat Madinah, lalu ia diwaktu itu ditemui oleh seorang lelaki yang terbaik di antara manusia. Lelaki itu berkata kepada Dajjal, aku yakin bahawa engkau ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan Rasulullah s.a.w. kepada kami. Lalu Dajjal berkata, bagaimana lalu ku bunuh ini ( هذا ) (tidakpasti apakah yang akan dibunuh) kemudian kuhidupkan kembali, apakah kamu masih ragu-ragu tentang aku ini?. jawab mereka tidak. Kata beliau lagi, lalu dibunuhnya kemudian dihidupkannya kembali. Lelaki itu berkata ia setelah kembali hidup, demi Allah belumlah aku tahu betul tentang dirimu (dengan mata kepalaku) sebelum sekarang ini. Kata Rasulullah s.a.w. kemudian Dajjal mahu membunuhnya lagi tetapi tidak berjaya. Kata Abu Ishak (perawi hadits), sesungguhnya lelaki ini ialah nabi Khaidhir a.s." (HR Muslim: 1474)

Selanjutnya dari sehari ke sehari akan nyatalah persoalannya, jelaslah bahawa Dajjal itu seorang penipu agung. Akhirnya fitnah yang disebarkan itu menjadi padam dan hilang dan ia sendiri terbunuh di tangan kaum Muslimin, di bawah pimpinan Nabiullah Isa a.s. pemimpin umat Islam di saat itu.

Seluruh Rasul Tuhan sudah memberikan peringatan kepada ummatnya, jangan sampai terkena oleh fitnah dan rayuan sesat Dajjal itu sebagaimana juga dilakukan oleh penghulu dan penghujung sekalian Rasul iaitu Nabi Besar Muhammad (S.A.W.). Dalam sebuah Hadis yang diceritakan oleh Umar r.a. bahwasanya Rasulullah (S.A.W.) dalam khutbah Haji Wada’ (haji yang terakhir bagi Rasulullah itu) meminta kepada umatnya yang hadir di saat itu supaya semua diam untuk mendengarkan ucapan khutbah yang hendak di­sampaikannya. Beliau, setelah memuji dan mengagungkan kebesaran Allah Ta’ala, kemudian menyebutkan perihal Dajjal. Huraian mengenai ini dijelaskan dengan panjang lebar oleh Nabi (S.A.W.) itu, akhirya beliau bersabda:


“Tidak Seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia memperingat­kan kepada umatnya perihal kedatangan Dajjal. DajjaI itu akan keluar di kalangan kamu semua, maka tidak samar lagi bagimu tentang hal ehwalnya. Tidak samar pula padamu semua bahawa Tuhanmu itu tidaklah buta sebelah. Sesungguh­nya Dajjal itu buta sebelah mata kanannya, seolah-olah matanya itu sebuah biji yang menonjol” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Syeikh Rasyid Ridha berkata: “Penilaian yang dapat dipetik dari hadits-hadits yang memuat persoalan-­persoalan mengenai Dajjal ini ialah bahawa Nabi (S.A.W.) telah menyingkap masalah itu sekadarnya, digambarkan perihal munculnya Dajjal di akhir zaman dan ia dapat menunjukkan hal-hal yang sangat luar biasa kepada seluruh manusia, juga beberapa keanehan dan keajaiban-keajaiban yang dapat menjadi fitnah kepada orang ramai, sehingga ramai yang terpikat oleh ajakannya dan terpesona oleh kepandaiannya itu. Dijelaskan pula oleh Rasulullah (S.A.W.); bahwa Dajjal itu adalah dari bangsa Yahudi dan bahawa kaum Muslimin hendaklah sama-sama memeranginya; bahkan diperangi juga kaum Yahudi yang membelanya di tanah suci ini. Akhirnya kaum Muslimin menang dalam peperangan melawan kaum yang sesat dan menyesatkan itu.

Semua peristiwa itu diterangkan secara keseluruhan dan tidak ada perinciannya sama sekali. Selain itu tidak ada satu pun wahyu dan Allah Ta’ala yang menguraikan hal ini. Rasanya hal ini tidaklah jauh bandingannya jikalau banyak kerajaan-kerajaan hari ini yang berusaha keras mengembangkan Fahaman Zionisme dan tentu saja mereka itu adalah dari kaum Yahudi juga. Mereka sentiasa memikirkan untuk me­nyebarkan fitnah dan mereka sertai pula dengan ilmu-ilmu pengetahuan moden dan teknik yang baru ditemukan seperti kimia, atom, teknologi moden dan lain-lain.

Apa yang telah dikemukakan oleh Syeikh Rasyid Ridha itu dikukuhkan dengan beberapa hadits di bawah ini. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah (S.A.W.) bersabda:

Maksudnya: “Sungguh belum akan tiba hari Qiamat sehingga kamu semua (kaum Muslimin) memerangi kaum Yahudi, sehingga batu yang di belakangnya ada orang Yahudi yang bersembunyi itupun akan berkata-kata: “Hai orang Islam, ini ada orang Yahudi, bunuhlah ia!”. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Ini adalah suatu kata kiasan yang memberi pengertian bahawa pada saat itu sudah tidak ada gunanya lagi bagi kaum Yahudi itu untuk bersembunyi walau di mana saja tempatnya. Mu’adz bin Jabal juga ada meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah (S.A.W.) bersabda:


“Keramaian Baitul Maqdis adalah hancurnya Yatsrib (Madinah) dan hancur­nya Yatsrib adalah sebagai tanda timbulnya perang besar, dan timbulnya perang besar itu adalah berhubungan dengan dibebaskannya kota Konstantinopel, sedang di saat dibebaskannya kota Konstantinopel inilah keluarnya Dajjal”.(Diriwayatkan oleh Abu Dawud)

Pembebasan kota Konstantinopel ini tentulah bukan pembebasan yang sudah pernah dilakukan oleh kaum Muslimin dahulu, sebab disebutkan pula dalam riwayat Tarmizi, iaitu:


“Dibebaskannya Konstantinopel bersamaan dengan tibanya hari Qiamat.”

Kesimpulannya kelahiran dan kemunculan Dajjal sebagai penyaksian muncul­nya fitnah-fitnah yang terbesar di akhir zaman yang tampil sebagai salah satu daripada tanda besar Hari Qiamat semakin hampir. Tujuannya ialah hendak melawan gerakan Islam serta berusaha untuk membuat fitnah kepada umat Islam dalam urusan agama mereka itu. Islam akan tegak semula memerintah dunia selepas kedatangan Imam al-Mahdi al-Muntadzar. (Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu).

Dajjal Yahudi dengan menggunakan ilmu pengetahuan, ke­pandaian dan kekuatan, mereka menyebarkan dakyah dan serangan mental mahupun fizikal terhadap umat Islam. Tetapi Allah Ta’ala pasti akan menghancurkan tipu daya Dajjal tersebut dengan jalan menunjukkan ayat-ayat yang lebih besar lagi dari fitnah yang dilancarkan olehnya. Ayat yang dimaksudkan itu ialah dengan turunnya Nabiullah Isa (a.s.) untuk mengukuhkan kebenaran yang dianjurkan oleh Imam Al-Mahdi pada waktu itu. Dengan demikian lalu timbullah saling tolong-menolong antara Nabi Isa (a.s.) dan Imam Al-Mahdi, sedang di belakang kedua pemimpin itu berdirilah para pemimpin-pemirnpin Islam lainnya yang berusaha keras hendak membunuh Dajjal itu serta me­lumpuhkan ajarannya.

Demikianlah peristiwa yang akan terjadi pada saat itu. Kemudian jikalau Dajjal telah terbunuh, maka hancur lebur pulalah kaum Yahudi yang ber­perang bersama Dajjal tadi. Diriwayatkan bahawa jumlah kaum Yahudi bersama Dajjal itu seramai tujuh puluh ribu orang. Ini menurut Hadis riwayat Muslim

ALLAH

ALLAH (S.W.T.) : Lafaz jalalah, iaitu nama Tuhan yang telah diakui oleh semua agama besar dunia, seperti Islam, Yahudi, Nasrani, Budha, Sikh dan lain-lain.

Kitab Taurat telah menggunakan berbagai nama untuk Allah bagi mengesahkan zatNya, perkataan yang paling terkenal ialah “Yahweh”, kemudian perkataan “Adunai” yang bererti kebesaran dan ketinggian. Di antara nama-nama yang dimaksudkan kepada Allah dalam kitab Taurat ialah “al-Wahim” (Aluh), “Al”, dan “al-Yasu”.

Sebebelum kedatangan Islam atau kelahiran Nabi Muhammad (S.A.W.), orang-orang Arab jahiliah sudah memahami makna Allah, iaitu Kuasa Yang Maha Tinggi. Kefahaman tentang Allah ini diwarisi daripada ajaran Agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim (a.s.) Perkataan Allah itu memang sering disebut oleh orang-orang Arab jahiliah dan ia dikaitkan dengan satu kuasa yang tertinggi lagi agung, mengatasi segala tuhan-tuhan yang ada di sekeliling mereka. Mereka menyembah berhala adalah sebagai perantaraan dengan Allah. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang yang mengambil perlindungan selain dari Allah, firman Allah: az-Zumar: 3,

3. Ingatlah! (hak Yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah Segala Ibadat dan bawaan Yang suci bersih (dari Segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik Yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi Pelindung dan Penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan Kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang Yang tidak melakukan syirik) tentang apa Yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

Nayatalah bahawa pada hakikatnya Allah itulah Tuhan mereka yang sebenar sementara berhala-berhala dan patung-patung yang disembah hanyalah semata-mata lambang atau alat perantaraan kepada Allah (S.W.T.). Mereka menyembah batu kerana mereka percaya bahawa setengah daripada batu-batu itu, misalnya Batu Hitam (al- Hajarul ul-Aswad) datangnya dari langit. Demikian juga halnya dengan peyembahan binatang-binatang dan matahari adalah semata-mata melambangkan pengabdian kebesaran Allah (S.W.T.) yang Maha Pencipta.

Allah menutur al-Qur’an itu ialah Tuhan Yang Esa. Allah mempunyai 99 nama-nama lain yang dinamakan dengan nama-nama yang baik, yang mempunyai segala sifat kesempurnaan, ketinggian, kebesaran dan keesaan. (Lihat Asma’ul Husna).

Pada umumnya Allah itu bersifat Ada dan Tiada Kesudahan, kebaikan yang mutlak, Yang menjadi, yang mengetahui lagi berkuasa, Tuhan yang Maha Esa. Tidak ada saingan, Tidak menyerupai dan tidak boleh diseruai dengan sesuatu, tidak berhajat kepada sesuatu yang lain dan berdiri di atas zatNya sendiri. Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Wajib dipercayai dan tidak boleh dipersekutukan dengan yang lain. Keraguan tentang adanya Allah hukumnya syirik, atau terkeluar dari Islam, batalah iman. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ikhlas :


1. "Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".

Akal manusia yang sihat dan waras akan mampu menetapkan wujudnya Allah (S.W.T.), samada menerusi logik atau menerusi dalil-dalil kejadian alam. Allah itu adalah tuhan sekalian alam.

Allah yang Maha Agung juga mempunyai sifat-sifat yang wajib bagiNya. Sifat-sifat ini dikenali sebagai sifat 20 atau sifat wajib bagi Allah dan lawan baginya juga adalah 20 sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t.

Setiap orang Islam wajib mempercayai, jika mengingkari salah satu daripada sifat yang wajib bagi Allah maka gugurlah imannya dan terkeluar dari Islam.